[VIDEO] ADUN wanita Sabah ditumbuk rakan sejawat


  • Primer
  • Ahad, 24 Nov 2024

Tangkap layar insiden seorang individu lelaki didakwa menumbuk ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif selepas tamat persidangan DUN di Kota Kinabalu.

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif mendakwa ditumbuk seorang Ahli Parlimen lelaki selepas selesai persidangan DUN yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Jelasnya, hal itu disedari ketika dia sedang berbual dengan seorang ahli parlimen Datuk Flovia Ng yang seolah-olah merasakan kesan tumbukan di bahunya.

“Apabila saya menoleh ke belakang, saya nampak Sarifuddin Hata (Warisan-Merotai) berjalan pergi dan apabila saya memanggilnya, dia langsung tidak menoleh ke belakang,” katanya.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Norazlinah yang juga merupakan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, dia kemudiannya menunggu untuk melihat sama ada tindakan itu sekadar gurauan ataupun tidak namun ia tidak berlaku.

"Itu membuatkan saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku kerana tumbukan itu tidak sekuat mana tapi ia telah menyebabkan bahu saya sakit," katanya.

Sebagai bekas rakan seperjuangan yang pernah berkhidmat di bawah parti politik yang sama, beliau merasakan tindakan sedemikian adalah tidak sopan dan tidak wajar lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan orang yang berlainan jantina.

"Saya hanya mahu memberitahu orang ramai bahawa tindakan sebegitu tidak boleh diterima dan tidak menghormati saya sebagai seorang wanita, atau sesiapa sahaja dalam situasi tersebut," ujarnya.

Beberapa individu yang tahu akan insiden itu mencadangkan agar dia menyamannya dan jika dijatuhi denda, pelaku akan hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, Norazlinah berasa tidak perlu berbuat demikian kerana ia tiada kaitan dengan unsur politik dan dia tidak mempunyai sebab untuk membalas.

Namun, dia masih menanti permohonan maaf daripada Sarifuddin yang tampil meninggalkan komen pada hantaran video tular tersebut.

"Jangan salah faham, saya dan Datuk Azlinah adalah kawan", komen Sarifuddin yang kemudiannya turut menjelaskan bahawa beliau sedang tergesa-gesa ke sidang akhbar ketika kejadian dan tidak sempat untuk menoleh dan senyum padanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PGRS Kunak, Mohamad Latip Katik berkata, tindakan Sarifuddin itu tidak wajar dan dia seharusnya meminta maaf kepada Norazlinah tanpa diminta berbuat demikian.

"Saya mewakili rakyat Kunak menyuarakan kekecewaan kami terhadap tindakan ADUN Merotai, beliau harus tampil memohon maaf atas tindakannya kerana ia tidak wajar," katanya.

Ketika dihubungi, Sarifudin Hata enggan mengulas mengenai perkara itu.

"Tiada komen," katanya dan menambah bahawa dia mahu memberi tumpuan kepada isu sebenar dan bukannya memikirkan isu kontroversi itu.

Jelasnya, banyak masalah lain yang mendesak melibatkan rakyat untuk diselesaikan, isu salah guna kuasa, masalah pengurusan yang tidak cekap dan rasuah yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Ditanya sama ada dia mempunyai niat jahat apabila didakwa sengaja menumbuk bahu Norazlinah, dia berkata, "Sudah tentu tidak".

Beliau meminta orang ramai menonton video tular kejadian itu dan membuat pertimbangan sendiri berhubung kejadian tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram