
MASYARAKAT Jepun memang terkenal dengan semangat dan dedikasi mereka dalam berniaga sehingga usia tua.
Budaya kerja yang kuat dan rasa tanggungjawab tinggi sering membuatkan mereka terus aktif walaupun sudah mencapai umur persaraan.
Masyarakat Jepun cenderung berniaga sehingga lanjut usia kerana gabungan nilai budaya, keperluan ekonomi dan gaya hidup yang menyokong kerja aktif walaupun di usia tua.
Ditambah pula, negara matahari terbit itu mempunyai jangka hayat antara yang tertinggi di dunia.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan negara berkenaan, bilangan penduduk berusia sekurang-kurangnya 100 tahun di Jepun dianggarkan mencecah 95,119 orang pada September 2024, iaitu rekod tertinggi selama 54 tahun berturut-turut.
Beberapa faktor yang mendorong orang Jepun untuk terus berniaga atau bekerja sehingga tua termasuk gaya hidup sihat dan sistem penjagaan kesihatan yang baik hingga membolehkan mereka kekal aktif lebih lama.
Bagi kebanyakan penduduk Jepun juga, berniaga bukan hanya tentang wang tetapi juga kepuasan dalam hidup.
Mereka menikmati hubungan dengan pelanggan dan peluang untuk terus relevan dalam komuniti.
Di sini Majoriti kongsikan tiga usahawan Jepun yang masih aktif menjalankan perniagaan meskipun sudah lanjut usia.
1) Imaya Hamburger
Selama lebih 50 tahun, Katsumi Imasaki, pemilik Imaya Hamburger yang berusia 78 tahun di Fukuoka, telah menyajikan burger dan sosej yang lazat.
Memulakan kerjaya di sebuah stesen minyak, Imasaki kemudian beralih arah dengan menguruskan gerai sosej selepas membeli trak makanan terpakai.
Perniagaannya berkembang maju di Nishi Park, apatah lagi ketika itu makanan lewat malam sangat terhad selain tiada mesin layan diri.
Yang menjadikan Imaya Hamburger unik adalah komitmen Imasaki terhadap kualiti dan harga mampu milik.
Dia menyediakan segalanya secara segar setiap hari, termasuk sos tomato buatan sendiri yang memerlukan lebih sejam untuk disiapkan.
Berbeza dengan kebanyakan restoran lain, usahawan tersebut mengelakkan penggunaan bahan beku.
Walaupun kos meningkat, Imasaki masih mengekalkan harga rendah selama lebih 20 tahun, malah tidak mengenakan bayaran untuk beg atau cukai penggunaan.
Daya tarikan premis itu terletak pada rasa nostalgik makanannya serta keperibadian Imasaki yang mesra.
Lelaki itu dikenali kerana sikap humor dan kebaikannya yang sering bergurau dengan pelanggan.
2) Yaoki Pan
Yaoki Pan adalah destinasi wajib dikunjungi di Fukuoka.
Diasaskan pada 1970, kedai roti tersebut diusahakan seorang nenek berusia 83 tahun bersama anak lelakinya.
Warga emas tersebut bangun seawal pukul satu menyiapkan aneka pastri yang dijual, termasuk proses pembungkusan dan penyusunan roti di kedai yang berlokasi di sebuah lorong dekat Higashi-ku, Hakozaki, Fukuoka.
Yaoki Pan diusahakan seorang nenek berusia 83 tahun bersama anak lelakinya.
Meskipun kehidupannya sudah menginjak hampir satu abad, keseronokan berinteraksi bersama pelanggan membuatkan dirinya masih gagah menjalani rutin hariannya.
Kedai berusia lebih lima dekad itu menawarkan roti dan pastri buatan sendiri pada harga yang sangat rendah.
Produk paling popular mereka ialah eclair dan cream puff. Selain itu, pemilik turut mengesyorkan roti melon dengan keju krim dan beri biru sebagai antara produk yang laris.
Dibuka seawal pukul 5 pagi hingga 7 malam, item popular di kedai itu sering habis dijual dengan cepat, jadi adalah lebih baik untuk menghubungi premis berkenaan terlebih dahulu.
3) Oden Yasubei
Restoran oden ini dimiliki pasangan suami isteri Jepun yang berumur lebih 80 tahun dan telah beroperasi selama 63 tahun.
Oden adalah hidangan berkhasiat dan sihat yang terdiri daripada pes ikan, tauhu dan sayur-sayuran yang dimasak dalam sup berasaskan kelp (rumput laut).
Di kawasan Kansai, oden dikenali sebagai kantodaki dan biasanya ditambah dengan daging seperti suji (urat daging lembu rebus).
Namun, Yasubei menyajikan oden gaya Kanto kerana asal-usul pemiliknya, keluarga Ogasawara, berasal dari Tokyo.
Ayah Ogasawara pernah berhijrah ke Manchuria tetapi selepas perang, keluarganya kembali ke Jepun dan membuka semula Yasubei sebagai kedai pub yang mengkhususkan menu oden di Fukuoka.
Oden adalah hidangan berkhasiat dan sihat yang terdiri daripada pes ikan, tauhu dan sayur-sayuran.
Kedai tersebut menggunakan perabot, termasuk bangku dan kaunter kayu yang telah lusuh, semuanya merupakan barangan klasik era Showa.
Ogasawara sehingga kini masih menggunakan periuk tembaga besar berbentuk bulat.
Menurutnya, bahan dan bentuk periuk tersebut menyebarkan haba dengan lebih sekata berbanding periuk keluli tahan karat berbentuk segi empat.
Semua bahan juga dibuat sendiri oleh pemiliknya dan sebagai makluman, periuk itu akan dikosongkan setiap malam dan disental dengan bersih.
Kuah rahsia yang disediakan secara berterusan selama lebih 60 tahun berwarna hitam pekat, tetapi rasanya tidak terlalu kuat dan mempunyai rasa ringan yang sangat lazat! — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram