[VIDEO] Budak 3 tahun maut, pemandu treler 'microsleep' dipercayai jadi punca nahas di Bukit Gambir


  • 112
  • Rabu, 20 Nov 2024

Tangkap layar memaparkan kemalangan di Kilometer 148.1 arah Selatan dari Bukit Gambir ke Pagoh, Johor pada Rabu.

BEBERAPA individu dipercayai mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 148.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Bukit Gambir, Johor pada Rabu.

Berdasarkan maklumat awal dikongsikan, nahas yang berlaku kira-kira pukul 3.16 petang itu melibatkan beberapa buah kenderaan.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah treler yang terbabas sehingga menyebabkan beberapa kenderaan lain turut terpalit dalam insiden itu.

BACA LAGI: Pemandu lori kontena terbalik hempap kereta di P. Pinang tiada rasa bersalah, tak dibenar ikat jamin

BACA LAGI: ‘Mummy, saya sangat sakit’, kata-kata terakhir mangsa dihempap kontena di Bukit Mertajam kekal menghantui ibu sampai bila-bila

"Lorong tengah terhalang. Dikhabarkan seorang parah di lokasi dan beberapa yang lain cedera," menurut maklumat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pemandu treler yang disyaki mengalami microsleep (terlelap sejenak) dipercayai menjadi punca kemalangan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Menurutnya, budak lelaki itu maut selepas kereta yang dinaiki bersama tujuh sekeluarga dirempuh pemandu treler berkenaan.

"Kemalangan berlaku pada pukul 2.40 petang melibatkan Proton Iswara yang dinaiki keluarga berkenaan dengan treler dipandu lelaki berusia 28 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu treler terbabit mengalami microsleep menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan.

"Treler terbabit kemudian melanggar besi penghalang lebuh raya dan secara kebetulan, kereta dinaiki keluarga tersebut juga datang dari arah sama sebelum merempuhnya.

"Akibat rempuhan itu, kanak-kanak tersebut parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh lagi mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, pemandu treler terbabit hanya cedera ringan kemudian ditahan untuk membantu siasatan.

Ujarnya, lelaki itu direman di Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beberapa video insiden kemalangan tersebut turut tular di laman media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram