PEMANDU lori kontena yang terbalik hingga menghempap seorang kerani wanita dalam nahas enam kenderaan pada Rabu lalu didakwa memandu secara cuai di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin.
Namun, Marhizan Johari, 51, mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, Marhizan didakwa memandu treler di Jalan Kebun Sireh dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu wanita Lee Zi Rou berusia 21 tahun d kira-kira pukul 9.30 pagi pada 13 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Harith menetapkan 24 Januari 2025, untuk sebutan kes.
Ketika prosiding pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes itu telah mendapat liputan meluas di media sosial.
mesti driver lupa lock kontena pastu layan corner.
Yang tak bersalah jadi mangsa meninggal dunia baru umur 21 tahun. Patutnya kontena ni jatuh atas kereta menteri, baru semua ada akal. pic.twitter.com/VfUcSjAAJb
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) November 13, 2024
Selain itu, tertuduh juga dilihat tidak menunjukkan rasa bersalah atas perbuatannya hingga sanggup menunjukkan isyarat 'peace' ketika wajahnya dirakamkan pihak media ketika membuat liputan proses tahanan reman.
Pada Ahad lalu, media melaporkan Marhizan akan menghadapi pertuduhan selepas tamat tempoh reman.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pemandu itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah seksyen sama Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian 13 November lalu, Majoriti melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan enam kenderaan di Jalan Bukit Tengah.
Mangsa yang maut memandu kereta Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah adalah pemandu Honda Jazz.
Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika lima kereta dan sebuah lori dari Jalan Kebun Sirih berhenti di lampu isyarat simpang tiga Jalan Bukit Tengah sebelum sebuah treler kontena dari Jalan Bukit Tengah tiba-tiba membelok ke kiri. — The Star/N. Trisha
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram