
MINAT yang mendalam terhadap dunia perniagaan membawa Jarir Jafni Haron berani mengorak langkah menceburi pelbagai cabang bisnes.
Mengusahakan perniagaan dalam sektor makanan dan minuman (F&B), langkah yang diatur pengasas Tepen Yong Tau Foo ini tidaklah mudah.
Selepas menceburi beberapa bidang perniagaan, kini Tepen Yong Tau Foo yang ditubuhkan pada 2019 menjadi fokus utama Jarir Jafni.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
@jarirharun Abg pun macam korang dulu. Asyik terkejut je lepas cashier bagitau harga..hahaha #tepen #tepenyongtaufoo #yongtaufu #yongtaufoo #yongtaufoohalal #bostepen ♬ original sound - Bos Tepen
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), usahawan berusia 39 tahun itu pernah berkhidmat sebagai peguam sivil selama lima tahun sebelum beralih arah ke bidang perniagaan fesyen dan kini terjun ke dalam F&B.
Bercerita lanjut, Jarir Jafni memberitahu, dia sama sekali tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang kulinari.
Dia bagaimanapun mengakui, penglibatan dan pengalaman keluarga dalam perniagaan makanan, terutama katering, banyak membantunya sehingga kini.
"Semasa bergelar mahasiswa di UIAM juga, saya pernah membuka kedai menjual waffle dan jagung di kolej kediaman pelajar namun tidak bertahan lama akibat kekangan modal.
"Perbincangan bersama kakak sulung membawa kepada satu solusi sehingga saya memutuskan untuk membuka gerai pertama Tepen Yong Tau Foo di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.
"Lagipun kakak sulung saya juga telah menjalankan perniagaan ini di Taiping, Perak sejak 2004," katanya kepada Majoriti.
Ibu dan ayah Jarir Jafni bergambar di hadapan gerai Tepen Yong Tau Foo di Ipoh Night Market, Ipoh.
Ditanya modal yang digunakan untuk memulakan perniagaan itu, Jarir Jafni memberitahu, dia bermula dengan menggunakan keseluruhan wang simpanan yang ada di tangan ketika itu, berjumlah RM15,000.
Daripada wang tersebut ujarnya, digunakan untuk membayar deposit dan sewa kedai, kos mengecat, membeli peti sejuk serta barangan elektrik, perkakasan dapur dan juga stok bahan mentah.
Menurut anak bongsu daripada enam beradik ini, Tepen Yong Tau Foo bermula selepas perniagaan butik pakaian miliknya mengalami masalah, sehingga mendorongnya untuk mencari alternatif lain.
"Pada 2019, bisnes butik pakaian saya menghadapi masalah dan saya merasakan perlu mencari alternatif.
"Pelbagai idea terlintas di fikiran ketika itu termasuklah untuk berniaga burger dan bubur sehinggalah kakak mencadangkan resipi yong tau foo ini dibawa ke Lembah Klang untuk dikembangkan," ujarnya yang mendapat sokongan kuat daripada keluarganya.
Jarir Jafni pernah berkhidmat sebagai peguam sivil selama lima tahun.
Kuah hitam pekat istimewa
Berkongsi lanjut tentang strategi pemasaran, bapa kepada tiga anak itu berkata, dirinya sering menekankan keistimewaan dan keunikan jenamanya adalah terletak pada kuah.
Sehingga kini Tepen Yong Tau Foo dikenali dengan kuahnya yang hitam pekat berkilat dengan kombinasi rasa manis, masin, masam dan pedas-pedas 'manja'.
"Selain itu, kami juga membawa tiga variasi yong tau foo yang boleh dipilih pelanggan iaitu rebus, goreng, sup atau kuah tomyam.
"Pelanggan juga boleh mencuba sotong kangkung dan chee cheong fun sebagai menu ringan.
"Di sini, kami juga menyediakan set mengikut bajet pelanggan yang pastinya berbaloi dan mengenyangkan," katanya sambil memberitahu nama Tepen Yong Tau Foo diambil bersempena tempat kelahirannya, iaitu Taiping.
Tepen Yong Tau Foo turut menyediakan set mengikut bajet pelanggan.
Lebih dikenali dengan nama Jarir Harun dalam kalangan pengikutnya di media sosial, Jarir Jafni berkata, pada awal kemunculan, dia menggunakan platform Facebook dan Instagram sebagai medium pemasaran dan menyasarkan iklan di halaman Facebook komuniti setempat.
Bagaimanapun, selari dengan perkembangan digitalisasi, pihaknya mula beralih ke aplikasi TikTok dengan membuat personal branding di platform tersebut sambil mempromosikan Tepen Yong Tau Foo, sejak 2022.
"Selain itu, kami juga menggunakan khidmat pengulas makanan bagi tujuan promosi.
"Terus terang saya katakan dalam bidang F&B ini, cabaran terbesar adalah berurusan dengan pekerja. Daripada proses pencarian hinggalah melayan pelbagai kerenah pekerja, ia memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Kos bahan mentah yang meningkat juga menjadi antara dugaan yang terpaksa dihadapi, termasuk untuk mengekalkan harga jualan kerana yong tau foo sering dilabel sebagai makanan mahal," ceritanya.
Usahawan ini mengakui, peningkatan kos bahan mentah juga menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapinya.
Kehilangan anak
Meskipun berkecimpung dalam bidang diminati, usahawan yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola itu mengakui, perjalanan yang ditelusuri tidak semudah disangka.
Tambahnya, dia mengusahakan perniagaan tersebut sebagai sumber pendapatan utama selain ingin membayar kembali hutang dan liabiliti perniagaan terdahulu yang gagal diteruskan.
"Perjalananan ini tidak mudah dan penuh berliku kerana pada peringkat awal saya hanya mampu menjana keuntungan sekitar RM200 ke RM500 sahaja sebulan.
"Saya buntu dan tidak tahu sama ada perniagaan ini dapat membantu saya ataupun tidak," ujarnya.
Titik tolak sambutan luar biasa terhadap jenama Tepen Yong Tau Foo bermula ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.
Disebabkan orang ramai tidak dibenarkan keluar tanpa sebarang urusan, dia mengambil kesempatan itu dengan mengatur strategi penghantaran makanan dari rumah ke rumah.
Pelakon, Pekin Ibrahim (kiri) juga menjadi antara pelanggan Tepen Yong Tau Foo.
Masih segar dalam ingatannya, sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan sehingga runner terpaksa beratur di kedai untuk mengambil pesanan pelanggan sebelum dihantar ke rumah.
"Dari situ saya berjaya mengumpul modal untuk membuka cawangan kedua di Ampang kemudiannya di Bangi dan Ipoh.
"Hasil jualan ini saya gunakan sebahagian besarnya untuk membayar kembali hutang-hutang hingga ada (hutang) yang berjaya diselesaikan," bicaranya.
Namun begitu, langit tidak selalu cerah buat buat pengusaha makanan ini.
Di saat Tepen Yong Tau Foo meniti zaman kegemilangan, ALLAH SWT takdirkan Jarir Jafni kehilangan anak kedua, sekali gus membuatkan dirinya hilang fokus terhadap kehidupan dan juga perniagaan yang dibina.
Jarir Jafni menggunakan mesin untuk menghasilkan kuah yong tau foo.
"Akibatnya banyak isu yang timbul dari segi kekurangan pemasaran dan masalah kualiti. Namun Alhamdulillah setelah setahun peristiwa pahit tersebut berlalu, saya kembali bersemangat dan fokus untuk berniaga," katanya yang kini memperoleh nilai jualan mencecah RM80,000 hingga RM90,000 sebulan.
Jarir Jafni dalam pada itu turut menyuarakan hasrat untuk mengembangkan perniagaan tersebut ke seluruh Malaysia dan kini dalam proses membina satu pasukan yang mantap bagi merealisasikan impian itu.
"Selain itu saya juga bercita-cita untuk mempunyai kilang pengeluar bahan-bahan surimi (istilah Jepun bagi produk makanan laut separuh proses yang diperbuat daripada pelbagai jenis ikan segar) dan berhasrat menjadi pembekal Bumiputera dan Muslim dalam bidang ini," tuturnya mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram