Kos rawatan anak bulus cecah ribuan ringgit, 2 beradik asal Tambun buka bonet tawar kopi serendah RM3


  • Bizz
  • Rabu, 13 Nov 2024

Nurul Husna (kiri) dan adiknya, Nur Aishah Hanna (kanan) bersemangat untuk menjalankan perniagaan kopi pada setiap malam.

DEMI kelangsungan dan keselesaan hidup tujuh ekor kucing peliharaan, dua beradik berasal dari Tambun, Perak nekad memulakan perniagaan kopi lokal berkonsepkan jualan but kereta (car boot sale).

Meskipun masing-masing Nurul Husna Zulkepli, 36, dan adiknya, Nur Aishah Hanna Zulkepli, 23, mempunyai komitmen hakiki sendiri, mereka masih bersemangat untuk meneruskan rutin itu pada setiap malam.

Segalanya bermula pada November tahun lalu, apabila salah seekor kucing peliharaan mereka yang diberi nama Yam, mengalami masalah batu karang hingga menyebabkan kesihatan haiwan kesayangan itu terganggu.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Untitled design (32)

Nurul Husna memelihara tujuh ekor kucing di rumahnya dekat Ampang.

Susulan itu, Nurul Husna mengeluarkan belanja kira-kira RM3,000 untuk merawat Yam sehingga sembuh seperti sediakala.

"Dalam menjaga haiwan peliharaan, kita tidak dapat mengelak untuk mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi memastikan kucing-kucing kami terjaga dengan baik.

"Makanan kucing mahal dan kalau ada yang sakit, kos rawatannya juga tinggi.

"Dengan tujuh ekor 'anak bulus' yang memerlukan makanan premium, saya berharap usaha ini dapat memenuhi keperluan mereka," katanya kepada Majoriti.

Berbekalkan kereta jenis Perodua Axia miliknya, dua beradik ini aktif menjalankan bisnes Kopi Mini di beberapa lokasi seperti Dataran Merdeka dan sekitar Pasar Seni di Kuala Lumpur serta Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dekat Perak, selain turut membuka reruai di acara tertentu.

Untitled design (33)

Nurul Husna mengeluarkan belanja kira-kira RM3,000 untuk merawat Yam (kanan).

Kopi Mini yang diusahakan sejak November itu menawarkan kopi yang dijual dalam cawan bersaiz 355 mililiter (ml) pada harga serendah RM3 hingga RM5 sahaja.

"Kami menawarkan harga yang murah dengan niat untuk membolehkan minuman kopi mampu dinikmati semua golongan.

"Malah minat terhadap aneka kopi juga membuakkan lagi keinginan untuk kami menyediakan kopi berkualiti pada harga berpatutan.

"Kami tahu ramai yang suka kopi, tapi tak semua mampu beli di kafe yang harganya mungkin terlalu tinggi," jelasnya menambah kopi susu merupakan signatur Kopi Mini.

Untitled design (34)

Kopi Mini dijual dalam cawan bersaiz 355 ml pada harga serendah RM3 hingga RM5 sahaja.

Kereta rosak

Bercerita lanjut tentang cabaran yang ditempuhi sepanjang mengendalikan perniagaan tersebut, luah Nurul Husna, keadaan cuaca yang tidak menentu pastinya antara dugaan besar perlu dihadapi mana-mana peniaga yang menjadikan but kereta sebagai tapak niaga.

Jelasnya, apabila hujan atau cuaca buruk, jualan kopi agak terjejas disebabkan pelanggan mungkin kurang selesa untuk berhenti membeli.

"Selain cuaca, kenderaan juga perlu sentiasa dalam keadaan baik untuk memudahkan pergerakan ke lokasi perniagaan.

"Baru-baru ini kereta saya rosak, jadi terpaksalah berniaga menggunakan kereta Perodua Kancil milik bapa.

"Namun kami sedia malum, halangan cuaca dan kerosakan seperti ini adalah sebahagian daripada asam garam berniaga di luar," ungkap wanita itu.

WhatsApp Image 2024-11-12 at 14.48.55 (2)

Waktu operasi Kopi Mini bermula pada pukul 8 malam sehingga lewat malam.

Rasa kopi tempatan

Bercerita lanjut, pemegang sijil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berkata, dia memilih produk kopi bumiputera tempatan yang diperoleh daripada pembekal di Perak.

Akuinya, biji kopi buatan orang tempatan sebenarnya memiliki cita rasa yang unik dan tersendiri.

"Kopi tempatan ini memang ada rasa tersendiri yang tidak sama dengan kopi luar negara.

"Di Kopi Mini, kami menyediakan antaranya kopi hitam, latte, strawberi latte, matcha latte, matcha strawberi, coklat dan coklat strawberi.

"Hasil jualan kopi boleh mencapai purata 100 cawan sehari, menjadikan pendapatan sampingan ini cukup untuk menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada 'majikan' (kucing) kami di rumah," tuturnya sambil tertawa kecil.

6163411768253202466

Nur Aishah Hanna gembira dapat bersama-sama kakaknya menjalankan bisnes tersebut.

Ditanya bagaimana membahagikan masa antara kerja dan bisnes, pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta itu memberitahu, dirinya gembira menjalankan kedua-duanya.

Menurutnya, perniagaan kopi ini bukan sekadar usaha sampingan tetapi juga minat yang sangat dekat di hati.

"Walaupun sibuk dengan tugasan pada waktu siang, setakat ini saya berupaya mengatur masa untuk menguruskan bisnes yang dimulakan seawal pukul 8 malam hingga lewat malam.

"Saya seronok buat bisnes ini. Sebenarnya, selain kucing, bisnes kopi juga mendatangkan ketenangan kepada saya," ujarnya sambil memberitahu adiknya yang menuntut di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) kini menetap di kediamannya yang terletak di Ampang, Selangor.

Memulakan hari dengan menguruskan biji kopi, menghirup aroma kopi segar dan menyediakan minuman untuk pelanggan memberikan kepuasan tersendiri buat bekas jurutera ini.

Baginya, perniagaan tersebut bukan sekadar menjual minuman tetapi merupakan saluran untuk menyebarkan rasa tenang dan kegembiraan kepada orang lain.

“Kucing terapi saya di rumah, tetapi bisnes kopi adalah terapi jiwa saya,” bicaranya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram