Dulu fobia kini punca rezeki, suri rumah di Rawang pernah seriau sampai tutup telinga tengok suami pecahkan belon


  • Bizz
  • Khamis, 14 Nov 2024

Norsalmihartini mengakui dirinya masih dalam fasa belajar cara terbaik untuk menjalankan perniagaan dekorasi belon.

TIDAK semua individu dikurniakan bakat menjadi kreatif. Namun, kreativiti juga boleh diasah dan dipelajari jika seseorang itu mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang tersebut.

Mereka yang mempunyai sentuhan kreatif dapat mengubah sesuatu yang biasa, seperti belon atau bunga, menjadi karya seni indah.

Peluang menambah pendapatan menerusi cabang bisnes itu mencetuskan idea buat Norsalmihartini Sukri, 38, untuk menerokai perniagaan dekorasi belon.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Memulakan perniagaan di Rawang, Selangor sejak September lalu, wanita kelahiran Alor Pasir, Tanah Merah, Kelantan ini menyediakan servis dekorasi untuk acara istimewa seperti sambutan hari jadi, ulang tahun, majlis pertunangan, akikah dan baby shower.

Memiliki kemahiran dalam gubahan bunga dan belon, suri rumah itu bijak menggunakan kepakarannya hingga mampu menjana pendapatan sendiri menerusi bisnes amysukadeco.

Minat dalam seni gubahan diinspirasikan daripada ibunya, seorang bekas pembantu makmal di sebuah sekolah yang handal dalam seni gubahan pelamin.

"Tercetusnya idea nak buat bisnes apabila kebetulan mama beli barang perhiasan pelamin yang banyak, namun dibiarkan begitu sahaja.

"Jadi daripada tak digunakan, saya minta izin untuk cuba jalankan perniagaan dekorasi pelamin.

"Bagaimanapun bisnes tersebut kurang mendapat sambutan kerana persaingannya tinggi sehinggalah mama beri cadangan untuk saya belajar membuat deko belon dan Alhamdulillah ia berterusan hingga ke hari ini," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-11-13 at 00.01.45

Norsalmihartini menggunakan kepakarannya hingga mampu menjana pendapatan sendiri menerusi bisnes dekorasi belon.

Akui Norsalmihartini, meskipun mula berkecimpung dalam seni gubahan bunga sejak berusia 18 tahun, dia sama sekali tidak menyangka akan mengembangkan karier secara serius sebagai penggubah belon.

Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata ini pada mulanya berhasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai pendidik usai menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

"Namun rezeki saya bukan di situ (pendidik), jadi saya bekerja dalam bidang pentadbiran di beberapa syarikat swasta.

"Selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan zuriat, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti dan memberi fokus kepada suami dan anak-anak.

"Selepas beberapa ketika, saya terpanggil untuk memulakan perniagaan bagi mengisi masa lapang di samping membantu menambah pendapatan keluarga," ujarnya yang pernah mengusahakan bisnes pakaian pada 2018 hingga 2020.

Untitled design (37)

Antara dekorasi majlis sambutan hari jadi hasil tangan Amy.

Takut belon

Ironinya, walaupun Norsalmihartini atau lebih mesra disapa Amy memiliki minat dan bakat dalam dekorasi belon, ada satu cabaran besar yang sentiasa menghantui dirinya, iaitu takut belon pecah!

"Saya ini sebenarnya penakut belon, tetapi semasa proses meniup, terpaksalah redah sahaja.

"Namun saya tidak akan pecahkan (belon) sendiri, memang tak berani sebab bunyinya terlalu kuat.

"Adakalanya selepas tamat majlis, saya akan minta pertolongan suami untuk pecahkan belon, tapi saya akan tutup telingalah," ujarnya sambil tertawa.

Kongsi anak sulung daripada dua beradik itu, minat dalam mendalami pelbagai kemahiran menggalakkan dirinya untuk menimba ilmu terapi kecantikan dan solekan di GiatMARA Shah Alam, Selangor pada Januari lalu.

Baginya, mengasah kemahiran di institusi latihan tersebut memberi manfaat kepadanya untuk menambah nilai pada bisnes dekorasi belon sedia ada.

Ujar usahawan itu lagi, gabungan antara kreativiti hiasan belon dan kemahiran kecantikan boleh membuka lebih banyak peluang dalam perniagaan, terutama untuk acara-acara khas.

Usaha Amy semakin dikenali melalui promosi di media sosial Facebook dan aplikasi TikTok, yang menjadi medium utama bagi usahawan ini untuk menarik pelanggan.

"Sehingga kini, saya mula menerima empat hingga lima tempahan dekorasi setiap minggu dengan nilai jualan mencecah sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

“Syukur Alhamdulillah sambutan memang ada setiap minggu dan saya buat sebanyak yang termampu kerana masih dalam fasa belajar cara terbaik menjalankan perniagaan ini,” bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram