[VIDEO] 'Semoga kematian terbela', lelaki sayu lihat rakaman rakan sendiri melambung dirempuh kereta di Putra Heights


  • Tular
  • Ahad, 17 Nov 2024

Tangkap layar kemalangan yang meragut nyawa, Mohd Azuan Abd Rahim (gambar kecil) di Putra Height pada Sabtu. — Gambar Facebook/Namaku Nazrul

SEORANG penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dalam satu kejadian di Putra Height, Selangor pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku di sebuah simpang tiga itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) pengguna jalan raya yang berada di tempat kejadian.

Kemalangan tersebut difahamkan berlaku kira-kira pukul 5.20 petang.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita Peru histeria lihat rakan hilang nyawa dihempap mesin pemampat

BACA LAGI: [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia

Berdasarkan video berdurasi kurang seminit itu memaparkan mangsa dilihat berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke arah kanan sebelum dirempuh sebuah kenderaan jenis Perodua Axia.

Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa melambung beberapa meter ke hadapan.

Turut kedengaran suara pemilik dashcam menjerit kejadian.

"ALLAHuakbar, ALLAHuakbar, anak kecil B, anak kecil B. ALLAHuakbar.

"B***h kereta ini," katanya.

Dalam pada itu, mangsa hanya dilihat terbaring kaku dan kelihatan pemandu kereta yang melanggar mangsa berlari keluar dari keretanya menuju ke arah mangsa.

Sementara itu, rakan mangsa, Namaku Nazrul melalui satu hantaran di Facebook pada Sabtu mengharapkan kematian rakannya itu dapat pembelaan yang sewajarnya.

"Semoga kematian arwah sahabatku Mohd Azuan Abd Rahim terbela. M*****t punya driver (pemandu).

"Melambung sahabat aku itu kau buat," tulisnya.

Menurut Nazrul lagi, jarak kemalangan tersebut hanya dua kilometer sahaja dari rumah mangsa.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial yang juga saksi kejadian, Zulkifli mendakwa pemandu Axia berkenaan meluru laju kerana mengejar lampu isyarat hijau.

"Axia kejar lampu hijau, saya siap ambil gambar pemandu kereta yang langgar itu. Saya lalu tadi pun kejadian baru berlaku lima hingga tujuh minit.

"Ada brother (saksi) cakap Axia kejar lampu hijau. Nasib baik pemilik dashcam orang Sabah ini sudah bagi video pada polis," tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram