Tak sempat solat Subuh, maut terjatuh perigi sedalam 4 meter ketika ambil wuduk di Rantau Panjang


  • 112
  • Ahad, 17 Nov 2024

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang lemas selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam lebih lima meter di Kampung Tasek Bakong pada Ahad. — Gambar JBPM

SEORANG warga emas maut selepas terjatuh ke dalam perigi di Kampung Tasek Bakong dekat Rantau Panjang, Kelantan pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Bahrum Ismail, 64, dipercayai mahu mengambil wuduk dekat perigi sedalam empat meter bekenaan untuk menunaikan solat Subuh.

Menurut jiran mangsa, Mohd Shamsudin Pa'sar, 50, dia difahamkan oleh ahli keluarga, mangsa selalu mengambil wuduk di telaga berkenaan untuk menunaikan solat Subuh.

BACA LAGI: [VIDEO] Titik buta dipercayai punca penunggang maut digilis treler di Lebuh Raya Pasir Gudang

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita Peru histeria lihat rakan hilang nyawa dihempap mesin pemampat

"Perkara itu menjadi rutin mangsa dan ketika kejadian, anak lelaki mangsa memberitahu saya yang bapa mereka telah terjatuh ke dalam perigi.

"Saya menghubungi talian Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Tambah Mohd Shamsudin, salah seorang anak Bahrum memberitahu dia terdengar suara bapanya ada meminta bantuan dan sempat menghulurkan tali.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.52 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota.

"Apabila tiba di lokasi kami mendapati mangsa tenggelam di dasar perigi. Seorang anggota telah turun ke dalam perigi tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Kami mengambil masa selama 30 minit untuk membawa keluar mayat menggunakan kaedah ikatan tali," katanya. — The Star/ R. SEKARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram