SEORANG wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Benting Lintang dekat Besut, Terengganu pada Ahad.
Dalam tragedi yang dipercayai berlaku pukul 3 petang, mangsa, Norra Zafidah Ahmad Zaibidin, 45, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Honda City dipandu seorang lelaki bersama tiga penumpang wanita yang berusia antara 19 hingga 56 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Bachok, Kelantan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berumur 26 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 20 tahun yang datang dari arah Kampung Raja ke Setiu dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku perlanggaran.
"Akibat daripada kemalangan itu, salah seorang penumpang bahagian belakang kereta Honda City berusia 45 tahun meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hasil ujian saringan awal sampel darah terhadap pemandu Perodua Myvi mendapati lelaki itu positif methamphetamine. — PDRM
Tambah beliau lagi, pemandu Perodua Myvi yang cedera parah di kepala dan abdomen masih tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
"Mangsa lain yang terbabit dalam kemalangan sama dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
"Hasil ujian saringan awal sampel darah terhadap pemandu Perodua Myvi mendapati lelaki itu positif methamphetamine," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram