REMAJA lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya di Sungai Jeram Badoh, Kampung Mengsudut Lama dekat Buloh Kasap, Segamat, Johor Jumaat lalu, ditemukan lemas pada Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam satu kenyataan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, BBP Bandar Baru Segamat (PPDA), dan BBP Muar (PPDA) telah berjaya menemui mangsa selepas pencarian dijalankan selama hampir dua hari.
"Insiden tersebut dilaporkan pada 15 November lalu sekitar pukul 6.40 petang. Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.20 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 40 kilometer.
BACA LAGI : [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia
"Setibanya di tempat kejadian, pasukan operasi segera memulakan pencarian menggunakan kaedah surface searching.
"Pada hari kedua operasi, pasukan penyelamat memperluaskan pencarian sehingga 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
"Pelbagai teknik pencarian, termasuk selaman oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), digunakan bagi memastikan mangsa dapat ditemukan," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.
Menurut kenyataan itu lagi, mayat mangsa dijumpai kira-kira 450-meter dari lokasi asal dia dilaporkan hilang.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Mayat mangsa dijumpai kira-kira 450-meter dari lokasi asal dia dilaporkan hilang. — JBPM Johor
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superitenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa Muhammad Idham Abd Kadir yang berusia 14 tahun ditemukan pada pukul 12.05 tengah hari.
"Mayat remaja berkenaan ditemukan tersangkut pada akar-akar pokok di dalam sungai Jeram Badoh dan pemeriksaan polis mendapati mayat masih berseluar trek tanpa baju sebagaimana keterangan rakan mangsa yang sama-sama ke lokasi kelmarin (Jumaat)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk tujuan bedah siasat dan proses pengecaman mangsa sebelum diserahkan kepada keluarga.
Susulan itu ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua ditamatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram