JIKA berbicara tentang konten mukbang, nama Isaac Osman menjadi antara susuk pempengaruh yang meniti di bibir peminat sejak kira-kira enam tahun lalu.
Amat sinonim dengan konten mukbang, dia merupakan antara perintis kandungan berkonsepkan menjamah makanan dalam kuantiti yang begitu banyak pada satu masa.
Tak pernah terbayang olehnya, video sulung memaparkan keletahnya mengulas sambil menghabiskan 10 jenis mi pedas ramen pelbagai produk pada Ogos 2018 telah membentang jalan untuk dia dikenali dalam 'dunia' mukbang Malaysia.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Memulakan kreativiti di saluran IsaacOsmanTV di YouTube, kini Isaac turut aktif memuat naik konten di aplikasi TikTok miliknya.
Selepas membina identiti tersendiri dalam bidang penghasilan video, pemilik nama sebenar Nur Muhammad Izzat Osman kini memulakan langkah sebagai usahawan dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Berusia 36 tahun, Isaac Osman bersama rakan kongsinya memulakan perniagaan Nasi Ayam Mak Chili pada 2021.
"Mulanya saya buat video secara suka-suka. Setelah beberapa tahun, saya sedar sudah tiba masa untuk beralih ke peringkat seterusnya dan mencuba pengalaman sebagai pemilik kedai makan.
"Idea perniagaan ini lahir daripada pengalaman menilai dan merasai pelbagai menu dari restoran lain.
"Disebabkan saya selalu buat ulasan restoran dan makanan orang, saya sudah mengenal pasti trend dan ada gambaran jelas tentang menu yang boleh menarik minat pelanggan.
"Setiap kali saya cuba sesuatu, saya akan perhatikan rasa masin, pedas dan keseimbangan rasa," katanya kepada Majoriti.
Nasi Ayam Mak Chili menekankan cita rasa selera unik Pantai Timur.
Melalui eksperimen dan pemerhatian tersebut, lelaki kelahiran Gerik, Perak itu bersama rakan kongsinya berhasil menghasilkan resipi Nasi Ayam Mak Cilli.
Dengan penekanan terhadap selera unik Pantai Timur, Isaac Osman berkata, restoran berkenaan menawarkan resipi sambal cili manis, yang jarang ditemui di Kuala Lumpur.
Percaturan bekas pereka bentuk gerai pameran itu bagaimanapun pada awalnya gagal menarik perhatian pelanggan yang kebanyakannya dilihat kurang terbiasa dengan pilihan sambal cili yang manis.
"Untuk enam bulan pertama beroperasi, ramai juga yang pertikai mengapa sos ini terlalu manis? Jadi saya memang tak senang duduk sebab terpaksa jelaskan kepada pelanggan.
"Namun lama-kelamaan Alhamdulillah warga kota mulai faham dan sudah menerimanya dan sambutan ketika ini juga sangat positif," ujarnya.
Isaac Osman amat sinonim dengan kandungan mukbang menerusi saluran YouTube.
Bermula dengan cawangan pertama di Sentul, Kuala Lumpur, usahawan itu membuka cawangan kedua di Wangsa Maju setahun kemudian.
Kedua-dua cawangan mendapat sambutan hangat dengan pengunjung yang menghargai rasa nasi ayam yang asli dan unik ditawarkan premis berkenaan.
Bersama rakannya yang berasal dari Kemaman, Terengganu, mereka berdua bertungkus lumus melakukan kajian dan pembangunan demi menghasilkan resipi tersendiri.
Ia demi memastikan rasa nasi, ayam, kicap dan sambal cili yang dihasilkan selari dengan cita rasa Pantai Timur seterusnya menawarkan rasa lebih autentik dan berbeza berbanding pilihan biasa di Kuala Lumpur.
“Kami jalankan proses R&D (penyelidikan dan pembangunan) untuk setiap komponen menu, daripada nasi hingga sambal cili dan kicapnya,” jelas Eksekutif Pemasaran Nasi Ayam Mak Chili itu lagi.
Menyedari aneka pilihan restoran ayam geprek dan konsep nasi ayam ala bandar di Kuala Lumpur, Isaac yakin bahawa nasi ayam ala Pantai Timur ini mampu menarik pelanggan yang inginkan pengalaman rasa berbeza.
"Kami menawarkan dua jenis hidangan iaitu ayam yang digoreng dan dikukus menarik penggemar tersendiri.
"Kedua-dua hidangan diperap bersama rempah ratus dan herba sekurang-kurangnya lapan jam sebelum dimasak. Jadi pelanggan akan dapat merasai kekayaan rasa dalam setiap suapan," jelasnya yang aktif bersukan untuk mengekalkan berat badan ideal.
Isaac yakin nasi ayam ala Pantai Timur ini mampu menarik pelanggan yang inginkan pengalaman rasa berbeza.
Isaac mengakui, pengaruh figura terkenal, Khairul Aming, menjadi salah satu dorongan besar buat dirinya menceburkan diri dalam dunia perniagaan penuh risiko ini.
Dia turut terinspirasi dengan kejayaan dan kesungguhan usahawan yang juga rakannya itu dalam membina jenama serta menembusi F&B makanan di Malaysia.
Apatah lagi ujar Isaac, susuk itu juga begitu menggalakkan kenalan di sekelilingnya untuk memulakan bisnes sendiri.
"Dia seronok buat bisnes jadi dia memang menyarankan kawan-kawan untuk berniaga, dan beri sokongan.
"Ia termasuk memberi idea dan nasihat dari segi kuantiti, rasa dan harga Nasi Ayam Mak Chili sendiri.
"Saya lihat kejayaan Khairul Aming bukan hanya dari segi produk yang berkualiti tetapi juga strategi pemasaran yang bijak dan konsisten," katanya sambil memberitahu nama Nasi Ayam Mak Chili sebenarnya berasal dari nama Kampung Mak Chili yang terletak di Chukai, Kemaman.
Khairul Aming (dua dari kanan) menjadi salah satu dorongan besar buat Isaac (dua dari kiri) untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
Ulasan pempengaruh
Baginya, kualiti makanan adalah aspek penting dalam menarik dan mengekalkan pelanggan, selain memastikan kedainya diingati kerana makanan yang enak dan berbaloi.
Bagaimanapun, pempengaruh dengan 585,000 pengikut di TikTok itu mengakui, cabaran utamanya bukan hanya untuk menyediakan makanan berkualiti, tetapi juga mengekalkan jualan.
"Untuk itu, saya aktif menghasilkan video untuk pemasaran di platform seperti YouTube, TikTok dan Facebook, termasuk bekerjasama dengan beberapa pempengaruh untuk membuat ulasan," katanya yang turut mendapat sokongan kuat daripada isterinya, Izzati Mazlan.
Dengan pengkhususan kepada nasi ayam bercili manis, Isaac menyuarakan harapan agar Nasi Ayam Mak Chili berjaya menambat hati lebih ramai pelanggan, dan terus berkembang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram