Rakyat Bangkit Enterprise bantu rakyat Malaysia urus sisa minyak masak terpakai cara bijak


  • Bizz
  • Khamis, 14 Nov 2024

Sisa minyak masak, apabila tidak diuruskan dengan betul, boleh mencemarkan alam sekitar.

MINYAK masak merupakan bahan asas dalam masakan yang amat diperlukan oleh masyarakat disebabkan fungsinya sebagai elemen utama dalam penyediaan pelbagai jenis hidangan.

Penggunaan minyak masak setiap hari menimbulkan satu isu berkaitan pengurusan sisa minyak masak yang telah digunakan.

Sisa minyak masak, apabila tidak diuruskan dengan betul, boleh mencemarkan alam sekitar terutamanya jika ia dibuang terus ke dalam saluran air atau tanah.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah dihalau pihak berkuasa tak lunturkan semangat bekas pelajar KV Bentong bantu ibu berniaga muruku

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Ini boleh menyebabkan pencemaran air dan memberi kesan negatif terhadap hidupan akuatik serta sistem ekosistem.

Perkara itu diakui pemilik Rakyat Bangkit Enterprise, Sharul Hafiz. Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab membeli sisa minyak masak terpakai, usahawan itu mengakui tahap kesedaran rakyat terhadap pengurusan sisa minyak masih rendah.

minyak5

Minyak masak merupakan bahan asas dalam masakan yang amat diperlukan oleh masyarakat.

“Lazimnya, minyak masak terpakai dibuang secara salah seperti dituang ke dalam sinki. Malah, ada juga segelintir peniaga menggunakannya berulang kali atas alasan menjimatkan modal, sedangkan ia tidak baik untuk kesihatan.

“Impaknya turut menyebabkan berlaku banjir kilat dan masalah penyakit bawaan nyamuk kerana sistem perparitan tersumbat,” katanya.

Menurut Sharul, ramai yang tidak menyedari bahawa ada alternatif lain selain membuangnya begitu sahaja iaitu dengan mengitar semula minyak masak terpakai bagi tujuan penghasilan biodiesel.

“Jika ia (minyak masak terpakai) dikitar semula menjadi bahan api biodiesel, kos pengeluaran biodiesel dapat dikurangkan sehingga lebih 60 peratus dan secara tidak langsung menjimatkan penggunaan petroleum sebagai bahan api.

“Biodiesel yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai ini bukan sahaja mesra alam, malah tidak mengeluarkan bau kurang menyenangkan berbanding petroleum,” katanya.

WhatsApp Image 2024-11-10 at 03.31.28 (1)

Penukaran minyak masak terpakai boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

Tambah Sharul, penggunaan minyak masak terpakai sebagai sumber alternatif untuk penghasilan biodiesel dapat mengurangkan kesan pemanasan global dan pelepasan gas rumah hijau ke alam sekitar.

Selain itu, dia memberitahu, penukaran minyak masak terpakai boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

“Kitar semula minyak masak terpakai boleh dijadikan sebagai rutin untuk menjana pendapatan dan boleh membantu ekonomi keluarga kerana setiap minyak yang diserahkan dibayar mengikut harga semasa,” jelasnya.

Sebelum mengasingkan minyak masak terpakai, Sharul menasihatkan orang ramai agar membiarkan minyak masak berkenaan sejuk terlebih dahulu sebelum menyimpannya dalam bekas yang sesuai.

“Rujuk lokasi pusat pengumpulan minyak masak terpakai, serahkan dan anda dibayar secara tunai. Harga berbeza mengikut tempat, kebiasaannya sekitar RM3 sekilogram,” ujarnya.

WhatsApp Image 2024-11-10 at 03.31.28

Minyak masak terpakai boleh dikitar semula bagi tujuan penghasilan biodiesel.

Info

Kitar semula minyak masak terpakai:

- Diproses menjadi bitumen untuk penurapan jalan.

- Boleh menjadi biodisel untuk menggerakkan kenderaan.

- Boleh dikitar semula sebagai sabun, pencuci, lilin dan sebagainya.

Impak negatif pembuangan minyak masak dengan cara yang salah:

- Paip atau parit tersumbat.

- Menarik serangga atau binatang yang membawa penyakit.

- Kos tinggi untuk selenggara sistem pembuangan air.

- Banjir kilat akibat sistem saliran tersumbat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram