Kad kahwin digital Nurfadilah raih perhatian pengantin Brunei, Singapura dan Indonesia


  • Bizz
  • Selasa, 12 Nov 2024

Nurfadilah sudah melebarkan bisnes kad kahwin digital ke negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

MAJLIS perkahwinan merupakan sebuah acara keraian yang memerlukan banyak persediaan. Menjadi kelaziman kepada tuan rumah untuk menyediakan kad jemputan sebagai hebahan kepada saudara-mara, sahabat handai dan tetamu mengenai majlis yang bakal berlangsung.

Ada kalanya, kad tersebut dicipta menggunakan poster digital, kemudian dikongsikan melalui pelbagai media sosial atau aplikasi seperti WhatsApp, Facebook mahupun Instagram.

Kini, seiring peredaran perkembangan teknologi, kad jemputan perkahwinan turut diinovasikan dalam bentuk elektronik atau digital bagi memudahkan pihak tuan rumah dan para tetamu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah dihalau dan kerepek hampir dirampas, semangat Abang Saad tak pernah luntur meniaga naik motor roda 3

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Kehebatan kad kahwin digital dapat dilihat menerusi tetapan yang dibina dan dikumpulkan dalam satu pautan, yang boleh dikongsikan ke platform digital pilihan.

Sejurus sahaja penerima menekan klik pautan tersebut, peranti akan membawa anda ke halaman khusus yang dipadankan bersama dendangan lagu sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran anda ke majlis tersebut.

WhatsApp Image 2024-11-08 at 11.51.53 (1)

Pelanggan boleh memilih pelbagai jenis rekaan kad kahwin digital yang disediakan Nurfadilah.

Maklumat tentang majlis akan menjadi paparan pertama bagi memudahkan tetamu mengetahui individu yang bakal berkahwin dan tarikh berlangsungnya majlis.

Ia termasuk disertakan lokasi perkahwinan bersama pautan navigasi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) seperti Google Maps atau Waze.

Objektif utama kad kahwin digital adalah untuk memudahkan tuan rumah mengira jumlah tetamu yang bakal hadir ke majlis berkenaan.

Di halaman sama, disediakan bahagian pengesahan kehadiran atau popular dipanggil RSVP dalam bahasa Perancis rezpondese s’il vous plait yang membawa maksud mohon beri maklum balas.

Ia mewajibkan penerima pautan untuk memaklumkan kehadiran mereka, termasuk jumlah ahli keluarga yang akan hadir.

Automatik

Ada kalanya, pilihan jawapan ‘kemungkinan hadir’ turut disertakan, namun ia jarang diletakkan.

Setiap maklum balas diberikan menjana maklumat kehadiran tetamu secara automatik terus ke dalam dokumen seperti Google Sheet.

Proses tersebut memudahkan tuan rumah membuat kiraan kos persediaan terutamanya penyediaan makanan dan minuman.

Seterusnya, ruangan ucapan yang memberi peluang kepada tetamu menzahirkan ucapan awal kepada pengantin.

Bercerita lanjut, usahawan Kad Kahwin Digital, Nurfadilah Rahmat berkata, kad kahwin digital semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia disebabkan penghantar boleh berkongsi pautan berkenaan hanya menerusi aplikasi WhatsApp, yang menjadi medium komunikasi popular hari ini.

WhatsApp Image 2024-11-08 at 11.51.53 (3)

Kad kahwin digital turut memasukkan lokasi majlis perkahwinan bersama pautan navigasi GPS.

Dia yang sudah melebarkan bisnes itu ke negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia, membangunkan kad kahwin digital menggunakan sistem pengekodan untuk memudahkan tetamu dan pengantin dalam satu klik sahaja.

Tutur usahawan berusia 31 tahun itu, gelombang kad kahwin digital mula mendapat perhatian selepas mereka menyertai ekspo perkahwinan di sebuah pusat beli-belah pada fasa awal perniagaan.

“Ketika itu, penganjur mahukan kelainan dalam acara, jadi kami bawakan konsep kad kahwin digital di reruai.

“Tidak menyangka penerimaan pengunjung terhadap kad kahwin digital amat luar biasa kerana menyifatkan ia mudah dan moden," katanya.

Tambah Nurfadilah, selari dengan zaman digital generasi muda khususnya lebih cenderung menggunakan kad kahwin digital kerana kaedah itu menjimatkan wang, masa dan tenaga.

“Kebanyakan pelanggan yang memilih kad kahwin digital berumur antara 25 hingga 40 tahun. Namun saya sedar, kaedah ini juga tidak menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang.

“Misalnya, individu berumur 40 tahun ke atas mereka kurang selesa dengan kad digital kerana lebih berbesar hati menjemput sendiri sambil menyerahkan kad jemputan fizikal kepada tetamu,” jelas Nurfadilah yang membangunkan perniagaan tersebut bersama suaminya, Amirul Hafiz Zulkefly. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram