[VIDEO] Pernah dihalau pihak berkuasa tak lunturkan semangat bekas pelajar KV Bentong bantu ibu berniaga muruku


  • Bizz
  • Isnin, 04 Nov 2024

Muhammad Fakhrullah membantu ibunya menjual muruku sejak berumur 14 tahun.

"MURUKU kak".

Saat menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran nasi kandar dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, penulis disapa seorang remaja, dengan dua plastik besar penuh di tangan kiri dan kanannya.

Tersenyum ke arah penulis dan rakan-rakan, sambil mulut remaja lelaki berkenaan ligat bercerita tentang muruku yang diusungnya entah dari jam berapa.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Snapinsta.app_54447250_164963371165606_5567680497244118594_n_1080

Maizura (kiri) mula menjalankan bisnes muruku sejak 2016.

Terdetik di hati ingin bertanya, "Mana adik dapat muruku ini?" soalku.

Dengan kuntuman senyuman tidak lekang dari bibir, dia memberitahu bahawa makanan ringan tersebut dibuat sendiri oleh ibunya, yang dikenali sebagai Maizura.

Penulis tidak menunggu lama untuk mengajaknya duduk dan berborak seketika, sekadar ingin berkongsi cerita.

Memperkenalkan diri sebagai Muhammad Fakhrullah Farizad, remaja berusia 18 tahun itu berkata, dia dan adik-beradiknya membantu menjual muruku dan beberapa kerepek lain di kawasan sekitar Damansara, Bangsar dan Shah Alam bagi meringankan beban ibu mereka.

Sedari kecil katanya, dia menyaksikan ibunya berhempas pulas mencari nafkah untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Menggalas peranan sebagai ketua keluarga, ibu tunggal kepada 15 cahaya mata itu tidak pernah duduk diam. Ada sahaja pekerjaan yang dilakukannya untuk menjana pendapatan.

Ujar Muhammad Fakhrullah, walaupun ibunya berkhidmat sebagai pekerja pembersihan, wanita tersebut tidak pernah mengeluh untuk membesar dan membahagiakan anak-anak tercinta.

"Sambil bekerja, ibu mula mencari sumber pendapatan sampingan dengan menjual muruku bermula sekitar 2016. Ibu memang suka buat apa-apa sahaja kerja yang boleh mendatangkan pulangan.

"Selain muruku, ibu juga menjual kulit popia cheese, bertih jagung, kek coklat dan rempeyek. Setiap hari ibu akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk menyiapkan segala barangan jualan dan keperluan harian kami.

"Semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), walaupun tidak boleh berniaga secara fizikal, ibu aktif mempromosikan produknya di Facebook dan Instagram @maizura_maruku.

"Kemudian selepas tamat PKP, kami adik-beradik mengambil keputusan untuk bantu ibu berniaga di luar dan bergerak sendiri dari satu kawasan ke kawasan lain," katanya kepada Majoriti.

Menurut Muhammad Fakhrullah, mereka bukan sekadar membantu dari segi tenaga tetapi juga strategi pemasaran.

Ujar remaja berasal dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor ini, mereka berpecah di beberapa lokasi berbeza untuk memastikan produk buatan ibu sampai ke tangan lebih ramai pelanggan.

Snapinsta.app_367911081_1376318683310052_7720901897255967246_n_1080

Ibu Muhammad Fakhrullah sering berkongsi tentang jualan murukunya di laman Instagram @maizura_maruku.

Kongsinya lagi, setiap hari bermula pukul 3 petang, mereka akan mengatur langkah ke kawasan niaga masing-masing sehingga pukul 1 pagi atau sampai produk habis dijual.

"Biasa sehari, saya akan bawa 20 bekas, ada yang seberat 500 gram (g) dan 250g.

Jarak bukan penghalang untuk mereka melebarkan bisnes yang bermula dari rumah itu. Pengangkutan awam seperti perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan e-hailing digunakan sebaiknya untuk sampai ke destinasi dituju.

Kemudian, tambahnya, mereka akan berjalan kaki dari kedai ke kedai dan beberapa lokasi lain untuk menjalankan bisnes.

"Awalnya tidak dapat dinafikan rasa segan untuk menjual itu ada, tapi ikutkan saya memang sejenis yang suka bercakap dengan orang. Aktiviti menjual produk ini saya suka.

"Lagipun abang selalu pesan kalau nak bercakap dengan orang tak payah malu. Paling teruk pun kena tolak saja," ujarnya sambil tertawa kecil.

Meskipun berniaga secara kecil-kecilan, Muhammad Fakhrullah juga tidak terlepas daripada menerima ujian sepanjang tempoh bekerja.

Dihalau dari premis tertentu, antara dugaan paling kerap dihadapinya.

Kongsi bekas pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, Bentong, Pahang itu lagi, dia dan adiknya pernah diusir oleh polis bantuan semasa berniaga di kawasan sekitar Shah Alam pada hujung tahun lalu.

"Namun syukurlah tiada perkara buruk yang berlaku," katanya yang baru selesai menjalani Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

Snapinsta.app_11376184_1587784414808302_1675539761_n_1080

Setiap hari, Maizura akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk menyiapkan segala keperluan jualan.

Meski diuji dengan bermacam ragam manusia, berputus asa bukanlah jalan yang ingin diambilnya.

Apatah lagi, di sebalik cabaran ditempuhi adik-beradik ini, ada wanita besi yang tidak pernah sesekali menyerah untuk membesar dan mendidik mereka dari kecil hingga dewasa.

Bagi Muhammad Fakhrullah, membantu susuk wanita bergelar ibu itu bukan sekadar tugas, sebaliknya ia adalah panggilan daripada hati.

Mereka tidak diminta, jauh sekali dipaksa, sebaliknya, anak-anak ini terdetik untuk membantu meringankan beban ibu, terutama untuk menyara keperluan bagi adik-adik yang masih bersekolah.

“Saya mula tolong ibu sejak umur 14 tahun, waktu cuti sekolah saya akan bantu jual. Kami adik-beradik memang nak bantu ibu untuk dapatkan pendapatan lebih, apalagi dengan kos adik-adik yang belajar di asrama.

"Melihat pengorbanan ibu memberi inspirasi besar kepada saya untuk membina perniagaan sendiri suatu hari nanti, dalam masa sama mengembangkan bisnes muruku ibu supaya tak perlu penat-penat lagi," nekadnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram