Bantu ibu berniaga sejak kecil, depresi dorong suri rumah kembangkan produk teknologi kanak-kanak


  • Bizz
  • Ahad, 10 Nov 2024

Hizatulhana mengakui berpuas hati apabila melihat perniagaan yang dibina juga mampu membantu menambah baik kehidupan kakitangannya. — Instagram/mommyhanaofficial

MOMMY Hana, syarikat peneraju pengeluar produk teknologi kanak-kanak, kini menjadi sebuah jenama yang tidak asing lagi terutamanya dalam kalangan ibu bapa di Malaysia.

Berada di pasaran tempatan sejak 2016, kongsi pengasasnya, Hizatulhana Shahadan, 34, mereka pada awalnya bermula dengan memasarkan buku elektronik interaktif berjudul My First Book.

Penciptaan buku itu berjaya membantu proses pembelajaran kanak-kanak merangkumi sukatan asas pembelajaran dari segi agama dan sahsiah diri.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Mommy Hana kemudian menjadi fenomena pada 2016 apabila dalam masa tiga bulan sahaja, jenama itu berjaya meraih hasil jualan mencecah tiga juta unit menerusi jualan dalam talian.

Memulakan bicara, anak bongsu daripada enam beradik yang berasal dari Kuang, Selangor itu berkata, penglibatannya dalam dunia perniagaan bermula sejak kecil lagi, selepas sering membantu arwah ibunya menjual aneka barangan di kampung.

"Saya memang suka berniaga. Sejak kecil, saya memang sudah ikut arwah emak berjalan pusing satu kampung menjual macam-macam barang seperti pinggan mangkuk, makanan dan sebagainya.

“Sejak dari tadika hinggalah ke peringkat sekolah rendah, saya menyaksikan sendiri bagaimana emak menjalani rutin berniaga dari satu rumah ke satu rumah yang lain.

“Kami datang daripada keluarga susah, tiada kereta, motosikal mahupun basikal. Emak pula tak boleh menulis atau membaca. Jadi, setiap hari kami tunggu bas untuk berniaga,” katanya.

2824578

Jenama tersebut sudah berada di tujuh lokasi perniagaan antaranya di Aeon Shah Alam, Selangor dan KL East Mall, Kuala Lumpur.

Ibu hidap kanser

Ketika usia mencecah 15 tahun, kehidupan Hizatulhana diuji selepas ibunya disahkan menghidap kanser. Meskipun berat, mereka sekeluarga reda dengan ujian yang menimpa.

Akuinya, kehidupan selepas itu semakin perit, apatah lagi dia perlu mencari wang bagi membiayai kos rawatan hospital ibu, sehinggalah ibunya ditakdirkan menghadap Ilahi dalam tempoh berjuang melawan penyakit tersebut.

Meski jasad tiada di depan mata, pesanan arwah ibu masih kekal terpahat kemas dalam sanubari Hizatulhana, hingga kini.

“Selepas menghantar barang kepda pelanggan yang membeli secara berhutang, arwah emak selalu berpesan. Katanya, Hana nanti kalau dah besar, nak buat apa buatlah tapi kena pandai cari duit.

"Jadi saya rasa itulah antara titik mula untuk saya mula mencari duit,” kongsinya sambil memberitahu jenama tersebut sudah berada di tujuh lokasi perniagaan antaranya di Aeon Shah Alam, Selangor; KL East Mall, Kuala Lumpur; Aeon Bandaraya Melaka, Melaka dan Aman Sentral, Kedah.

.

2824577

Pengasas Mommy Hana, Hizatulhana.

Pernah ditipu

Hizatulhana kemudian bertemu jodoh dengan pasangannya, Mohd Farid Mohamed Sangido, 37, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Mommy Hana dan berkahwin pada 2015.

Berbicara mengenai inspirasi yang mendorongnya membina empayar Mommy Hana, usahawan itu mengakui, idea tersebut tercetus dek tekanan yang dialami selepas melahirkan zuriat pertama.

Sebagai suri rumah ujarnya, dia mengalami tekanan selepas ditipu semasa menjalankan perniagaan.

“Selepas bekerja sebagai penjual bunga semasa konvokesyen, bisnes makanan dan beberapa perniagaan lain termasuk menyertai MLM (Pemasaran Berbilang Aras) ketika menyambung pengajian di universiti, saya melabur pula dalam jual beli emas.

“Pada awalnya, sistem dan proses jual beli berjalan lancar dan banyak keuntungan diperoleh, sehinggalah pada suatu hari, saya melaburkan sejumlah wang untuk membeli emas sebanyak lima kilogram (kg). Malangnya, emas tersebut tidak sampai ke tangan saya," ceritanya.

Untitled design (28)

Syarikat peneraju pengeluar produk teknologi kanak-kanak itu kini menjadi sebuah jenama yang tidak asing lagi terutamanya dalam kalangan ibu bapa di Malaysia. — Instagram/mommyhanaofficial

Keadaan itu mengakibatkan dirinya depresi sehingga dia enggan melakukan sebarang aktiviti selain hilang selera makan.

“Saya jadi seorang suri rumah tanpa berbuat apa. Walaupun ketika itu saya masih ada beberapa pilihan untuk berniaga semula, saya beritahu suami saya dah putus asa untuk buat bisnes,” jelasnya.

Hizatulhana kemudian diberi peluang oleh kakaknya untuk menjual tudung jenama Bokitta.

“Alhamdulilah, jualan pada fasa pertama kami memperoleh RM10,000, dan dengan hasil tersebut saya gunakannya untuk kos rawatan bersalin.

“Selepas itu, keuntungan daripada perniagaan berkenaan, saya tambahkan duit sedikit dan gunakan sebagai modal untuk menjual baju kurta Hana. Allhamdulilah, jualannya sekali lagi memberangsangkan disebabkan ketika itu kami merupakan antara jenama pertama yang menjual kurta menerusi platform dalam talian,” jelasnya.

Bagaimanapun, memandangkan perniagaan tersebut tidak dapat diteruskan gara-gara berdepan masalah kekangan saiz dan warna baju, keuntungan yang diperoleh ketika itu menjadi modal permulaan untuk wanita tersebut menubuhkan Mommy Hana.

“Selepas bersalin, saya kata hendak buat sesuatu yang berkait rapat dengan anak sebab saya mahu duduk rumah dan lihat dia membesar,” ujar penerima Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2020.

Snapinsta.app_450563296_18450041482021914_7554845839969975854_n_1080

Sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuk Hizatulhana (empat dari kiri, berdiri) terus mengembangkan jenama Mommy Hana. — Instagram/mommyhanaofficial

Dari situlah tercipta buku pertama My First Book yang diinspirasikan daripada anak sulungnya, sebelum diimprovisasikan lagi kepada versi buku kedua bersama kandungan zikir dan selawat yang berjudul My Islamic Book.

Bercerita lanjut, lulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Open University Malaysia (OUM) itu berkata, sebagai usahawan, dia juga tidak boleh lari daripada menghadapi cabaran dalam perubahan pemasaran.

Akuinya, ia termasuk ketika sistem perniagaan ingin ditukarkan kepada kaedah moden iaitu platform digital.

“Terlalu ramai ejen yang menjual barang saya tidak mahu mengikuti perubahan tersebut, sedangkan ia adalah satu bentuk pertukaran yang bagus dan lebih efektif.

“Ketika itu sebahagian besar daripada pasukan telah meninggalkan syarikat kami dan hanya ketua-ketua yang mempercayai hala tuju Mommy Hana saja masih bersama dengan kami,” kongsinya.

Mommy Hana sudah mempunyai pelbagai jenis produk dari peringkat kanak-kanak sehingg sekolah rendah. Setakat ini, beliau sudah berjaya membuka tujuh outlet antaranya di Aeon Shah Alam (Selangor), KL East Mall (Kuala Lumpur), IOI Putrajaya (Putrajaya) dan beberapa lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram