MALAYSIA menyatakan pendirian tegas dalam mengorak langkah ke arah menjadi hab pelaburan hijau bagi memacu pembangunan mampan melalui inisiatif baharu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu dilaksanakan dengan tujuan menjaga alam sekitar, menyokong rakyat dan mengukuhkan tadbir urus ketika negara dalam usaha merealisasikan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Menurutnya, pencapaian cita-cita tersebut adalah penting untuk masa depan Malaysia sebagai ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan.
BACA LAGI: Anugerah Impak Positif iktiraf pemimpin industri laksana agenda ESG negara
BACA LAGI: Beri komitmen teguh pacu elemen ESG, 64 syarikat terima Anugerah Impak Positif
“Kita mesti mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan memastikan perjalanan menuju ke arah kelestarian boleh memberi manfaat kepada semua,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak ESG 2024 pertama yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Menekankan bahawa ESG bukan sekadar memenuhi penilaian skor, Nik Nazmi turut berkongsi mengenai kepentingan tadbir urus yang kukuh untuk memastikan usaha kelestarian negara berkesan dan inklusif.
SMG sentiasa komited terhadap kelestarian dan kesedaran mengenai isu ESG.
Beliau berkata, tadbir urus yang berkesan, terutamanya dalam rangka kerja ESG, berupaya membantu melindungi alam sekitar dan menyokong kesejahteraan rakyat Malaysia merentas semua sektor.
Agenda ESG, jelas Nik Nazmi, merangkumi pengenalan cukai karbon menjelang 2026 dalam sektor berintensifkan pelepasan karbon tinggi seperti besi, keluli dan tenaga, bersama inisiatif pembiayaan RM6.4 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur, pendigitalan serta peralihan tenaga.
Menteri itu juga menekankan bahawa kerajaan sedang mewujudkan dana pinjaman RM3.8 bilion untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam melaksanakan amalan mampan.
Beliau bagaimanapun mengakui, 'sentimen anti-ESG' dalam beberapa sektor di luar negara menyaksikan peningkatan apabila terdapat beberapa syarikat mengelak untuk memberi komitmen mampan disebabkan tekanan politik.
“Sentimen ini secara asasnya salah hanya merugikan diri sendiri pada akhirnya.
“Matlamat utama semua perniagaan adalah kelangsungan hidup masyarakat masing-masing di planet ini,” ujarnya sambil menekankan bahawa perniagaan tidak dapat berkembang sekiranya tindakan mereka hanya akan menjejaskan kebajikan masyarakat.
Sehubungan itu, Nik Nazmi menyeru warga korporat untuk melihat ESG sebagai satu pendekatan bagi melindungi alam sekitar dan kestabilan sosioekonomi Malaysia.
Beliau juga memberi amaran terhadap greenwashing dan menggesa syarikat agar mengamalkan amalan ESG tulen, termasuk langkah tadbir urus yang mengutamakan ketelusan, akauntabiliti dan piawaian etika.
Malah dengan Malaysia yang bakal mempengerusikan Asean pada 2025, beliau berkata, negara berhasrat untuk berdiri selangkah ke hadapan dalam mempromosikan amalan mampan di seluruh rantau.
Malaysia bakal mempengerusikan Asean pada tahun hadapan.
Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0
Mengulas lanjut, Nik Nazmi turut memaklumkan mengenai pelancaran terkini Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 oleh kerajaan dan usaha berterusan untuk memuktamadkan Peta Jalan Sumbangan Nasional (NDC), bersama Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang kini dalam perundingan awam.
Beliau menyatakan bahawa organisasi media memainkan peranan penting dalam hal tersebut.
“Dengan menggalakkan idea-idea yang boleh dilaksanakan, di samping mendorong rakyat Malaysia berfikir lebih mendalam mengenai amalan mampan, media dapat menekankan kepentingan ESG kepada lebih ramai khalayak,” tambahnya.
Dalam sidang kemuncak tersebut, Star Media Group (SMG) diiktiraf atas komitmennya terhadap kelestarian dan kesedaran mengenai isu ESG, mencerminkan betapa besar pengaruh media dalam membentuk wacana awam mengenai perkara tersebut.
“Peranan media untuk menyemai ESG dalam kalangan masyarakat adalah penting. SMG telah memilih landasan yang lebih bertanggungjawab dan untuk itu, saya ucapkan terima kasih.
“SMG sentiasa bekerja keras merapatkan jurang antara pakar industri, akademik, pengamal, saintis dan kerajaan dari seluruh dunia bagi merealisasikan persidangan ini,” tambahnya.
Ujar Nik Nazmi, rangka kerja terbaharu kerajaan menawarkan laluan kepada perniagaan dan PKS untuk berubah menjadi entiti mampan, memastikan amalan mereka menyumbang kepada ekonomi rendah karbon yang tahan iklim. — The Star/ARFA YUNUS
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram