Seniman asal P. Pinang guna gentian pisang, tanah liat hasilkan batu bata semula jadi


  • Bizz
  • Isnin, 11 Nov 2024

Yen Pheng ketika proses mencipta batu bata menggunakan bahan-bahan semula jadi.

MUNGKIN bagi sesetengah individu, batang pokok pisang atau tanah liat adalah bahan biasa yang tiada nilainya.

Namun persepsi berbeza buat seniman berasal dari Pulau Pinang, Cheng Yen Pheng, yang teruja setiap kali terjumpa batang pokok pisang yang dibuang atau tanah liat di sekitar kawasan kejiranannya.

Sumber-sumber berkenaan begitu berharga untuk Yen Pheng, yang dikenali dengan karya seni menjadikan sumber semula jadi sebagai bahan ciptaannya.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global

Menyedari potensi tersebut, wanita berusia 42 tahun itu mengitar semula gentian pisang untuk menghasilkan kertas dan juga menggabungkan gentian itu ke dalam batu bata tanah liat yang dibuatnya.

Sejak awal tahun ini, Yen Pheng memulakan perjalanan mencipta batu bata yang diperbuat daripada tanah liat, gentian pisang dan pasir.

Segalanya bermula apabila dia terjumpa sebilangan besar tanah liat yang tidak digunakan di bekas tapak pembinaan berhampiran rumahnya di Batu Arang, Selangor.

Daripada membiarkannya menjadi sia-sia, Yen Pheng melihatnya sebagai peluang untuk menggunakan semula bahan mentah tersebut dalam ciptaan artistiknya.

photos of artist Cheng Yen Pheng who creates bricks using sustainable material. (JUNE 20, 2024) — ART CHEN/The Star

Daripada serat pisang kepada tanah liat, Yen Pheng mengubah sumber semula jadi menjadi seni yang mampan.

“Melihat semua tanah liat dari tapak pembinaan memberi saya idea. Saya perhatikan bahawa beberapa orang kejiranan telah menggunakan tanah liat untuk plot sayur-sayuran mereka, tetapi masih banyak yang tinggal.

"Jadi saya fikir, mengapa tidak menggunakannya untuk hasil seni? Saya mula menjalankan penyelidikan termasuk mengenai earth oven (ketuhar tanah) dan terjumpa video tentang pembuatan batu bata menggunakan bahan semula jadi seperti tanah liat.

“Saya belajar asas membina ketuhar tanah daripada seorang rakan di Batu Arang, Selangor. Dia mempunyai pengalaman dengan ketuhar tanah dan mengajar saya teknik berkenaan," katanya yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk membina ketuhar pertama.

Bagaikan syurga seniman. Itulah yang dapat digambarkan mengenai beranda milik Yen Pheng.

Dipenuhi sumber bahan mentah daripada batu bata, tanah liat, batang pisang segar dan gentian pisang kering hinggalah kepada alatan yang digunakannya dalam proses kreatif dan karya seni.

photos of artist Cheng Yen Pheng who creates bricks using sustainable material. (JUNE 20, 2024) — ART CHEN/The Star

Yen Pheng mencampurkan tanah liat, gentian pisang dan pasir untuk menghasilkan batu bata yang mampan.

Ujar wanita tersebut, dirinya memperoleh inspirasi daripada artis di beberapa kawasan yang pernah dilawatinya seperti Chiang Mai, Thailand yang menggunakan sumber tempatan untuk karya seni mereka.

Oleh itu ujarnya, dia memutuskan untuk melakukan perkara yang sama dan bereksperimen dengan membuat batu bata tanah liat sendiri.

“Saya mencampurkan tanah liat dengan gentian pisang kering dan pasir untuk memperbaiki tekstur dan integriti strukturnya.

"Gentian pisang bertindak sebagai pengikat semula jadi untuk memegang tanah liat bersama-sama. Rahsianya terletak pada konsistensi campuran yang betul.

"Apabila dapat dicapai, ia diletakkan dalam acuan dan dibiarkan kering selama beberapa hari,” jelas artis yang sudah lapan tahun menetap di Batu Arang.

Y4

Kulit pokok pisang dihiris nipis, direbus dan ditumbuk untuk dijadikan kertas.

Eksperimentasi

Yen Pheng merupakan penerima pertandingan UOB Painting of the Year bagi kategori Malaysia pada 2019.

Dia juga menerima Program Pembiayaan Inspirasi Seni Visual Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya (Cendana) 2020, yang membolehkannya menjalankan penyelidikan mengenai seni, kraf tempatan masyarakat di Terengganu.

Wanita tersebut telah mengadakan hampir 20 pameran merangkumi secara berkumpulan dan solo, dalam tempoh dua dekad lalu.

Sebagai seorang artis, Yen Pheng gemar bereksperimen dengan bahan yang berbeza termasuk bekerja dengan logam, kertas pasir, kayu dan kini tanah liat serta gentian pisang.

Tambahnya, dia tidak pernah tahu nilai dan tidak menghargai fleksibiliti tanaman pisang itu sehingga menghadiri program residensi seni di Fukuoka, Jepun tahun lepas.

photos of artist Cheng Yen Pheng who creates bricks using sustainable material. (JUNE 20, 2024) — ART CHEN/The Star

Yen Pheng melaksanakan proses mengubah dahan mulberi menjadi kertas di tamannya sendiri.

Kembali kepada asas

Walaupun baru-baru ini dia mendalami ilmu berkaitan serat pisang, Yen Pheng menggunakan sumber semula jadi dalam karya seninya dengan mencuba pelbagai cara untuk berinovasi dan menggunakannya dalam mencipta seni yang lebih lestari.

Sejak 2019, telah menghasilkan kertas mulberi daripada batang pokok mulberi yang ditanamnya, selain turut memiliki bengkel di rumahnya.

Untuk membuat kertas mulberi, dahan daripada pokok mulberi dikupas teliti dengan tangan. Kulitnya kemudian dikeringkan di udara, kemudian dibiarkan untuk ditapai sebelum direbus selama beberapa jam. Setelah lembut, kulit kayu ditumbuk.

Selepas satu lagi pusingan penapaian, ia ditapis dalam air dan diletakkan ke dalam bingkai kayu jala dawai persegi. Akhirnya, bahan itu dibiarkan kering.

photos of artist Cheng Yen Pheng who creates bricks using sustainable material. (JUNE 20, 2024) — ART CHEN/The Star

Kertas mulberi terkenal dengan kekuatan, ketahanan dan teksturnya yang licin, menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan artistik dan praktikal.

Proses tersebut biasanya mengambil masa antara 10 hingga 20 hari, bergantung pada cuaca.

Proses yang sama digunakan untuk membuat kertas pisang.

“Di Malaysia, kita dikurniakan banyak bahan mentah. Gentian semula jadi seperti batang pisang, batang mulberi dan buluh semuanya sesuai untuk pembuatan kertas.

“Endapan tanah liat sangat sesuai untuk membuat barangan seramik. Pewarna yang diperoleh daripada tumbuhan tempatan boleh digunakan untuk mewarnakan fabrik.

"Namun di sebalik kekayaan bahan ini, kita masih belum memanfaatkan sepenuhnya potensi mereka dan mempromosikan penggunaannya dalam kraf tradisional atau kontemporari," katanya.

Justeru Yen Pheng berharap agar lebih ramai pihak akan mempelajari cara menggunakan pelbagai jenis kayu untuk menghasilkan kertas bagi menggalakkan kemampanan, selain memupuk inovasi dalam kaedah pengeluaran kertas mesra alam. — The Star/ SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram