GOLF sering kali dilabel sebagai sukan yang mahal atas pelbagai faktor.
Antaranya termasuk kos peralatan asas seperti set kayu golf, beg dan bola adalah tinggi, terutama jika pemain memilih untuk tampil bergaya dengan jenama terkemuka.
Selain itu, kos pakaian khas yang direka untuk memberikan keselesaan dan prestasi juga cenderung dijual dengan harga mahal.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Pakaian golf luar negara yang sudah mapan biasanya mengenakan harga premium dek faktor jenama tersebut sudah diiktiraf di peringkat global, sekali gus meningkatkan lagi nilai pasaran pakaian tersebut.
Bagaimanapun bagi Mohammad Syafiq Rosle, tidak semua pakaian berjenama menawarkan kualiti seiring harga ditawarkan.
"Pada pertengahan 2023, saya terdetik untuk mengeluarkan produk golf tempatan kerana 'penat' membeli baju golf berjenama luar negara.
"Harganya mahal dan kualiti fabriknya rendah. Kebiasaannya harga sepasang baju mencecah RM190 ke atas dan hanya mampu dipakai selama enam hingga 12 bulan sahaja.
"Jika diperhatikan, hanya jenama yang sama sahaja memonopoli arena golf antarabangsa, tiada langsung jenama lokal dipakai oleh profesional dalam televisyen.
"Dari situ saya berminat dan bertekad untuk membuat produk golf 100 peratus buatan Malaysia yang memfokuskan pada kualiti," katanya kepada Majoriti.
Selain usahawan, Syafiq Bobby juga merupakan seorang pemain golf.
Program universiti
Bercerita lanjut, bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu berkata, minat mencipta produk yang bermanfaat kepada pengguna sebenarnya bermula sejak zaman belajar lagi.
Ketika menuntut di UTP, usahawan yang turut dikenali sebagai Syafiq Bobby itu menjadi antara mahasiswa yang aktif dalam menyertai program anjuran universiti.
"Saya antara pelajar yang pernah memegang dua anugerah SEDEX UTP (Science Expo UTP) yang kerap dianjurkan pihak universiti.
"Antara projek yang dibentangkan ialah smart parking for bicycle dan petroleum sludge as construction material.
"Ilmu berniaga secara khususnya, saya belajar daripada guru, 'sifu' bisnes dan rakan yang ditemui secara dalam talian," ungkap lelaki berasal dari Ampang, Selangor itu.
Produk keluaran Hard Hitter menggunakan kain premium iaitu fabrik jenis mikrofiber.
Ditanya mengenai fabrik yang digunakan, pengasas Hard Hitter itu memberitahu, kebiasaannya fabrik yang digunakan untuk menghasilkan baju golf adalah daripada jenis poliester.
Bagaimanapun ujarnya, daya ketahanan fabrik berkenaan rendah dan akibatnya, warna baju mula pudar selepas enam bulan, manakala kain mula rapuh selepas 12 bulan.
"Itulah kesan penggunaan fabrik kualiti rendah yakni tidak tahan lama," kata usahawan yang juga pemain golf itu.
Namun bagi anak sulung daripada lima beradik ini, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang sahabat yang memiliki kepakaran dalam bidang tekstil dan jahitan.
Katanya, rakan tersebut sering menasihatinya untuk menggunakan kain yang premium iaitu fabrik jenis mikrofiber bagi produk-produk keluaran Hard Hitter.
"Walaupun kainnya mahal, tapi saya berpuas hati kerana mampu berlaku adil kepada pengguna yang mengharapkan produk keluaran Hard Hitter tampil dengan kualiti tinggi selain harganya juga berpatutan.
"Hard Hitter membawa inovasi dalam arena sukan golf kepada pemain golf dari segi kualiti aksesori bermutu tinggi dan rekaan yang elegan untuk mencapai potensi penuh mereka," katanya menambah, Hard Hitter kini dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengeluarkan produk baharu.
Hard Hitter menjadi penganjur perlawanan di Kota Seriemas Golf and Country Club.
Penglibatan pempengaruh
Jelas Mohammad Syafiq lagi, Hard Hitter menggunakan pelbagai strategi pemasaran untuk meningkatkan kehadiran jenama, antaranya melalui pemasaran di platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok.
Dia pada awalnya berhasrat untuk menggunakan khidmat pempengaruh di Malaysia bagi tujuan mempromosikan produk berkenaan.
"Namun saya belum menemui individu yang saya berkenan, lalu memutuskan untuk menghasilkan (konten) sendiri menerusi akaun TikTok @syafiqbobby.
"Fokus konten saya adalah lebih kepada berkongsi pengetahuan yang bermanfaat kepada masyarakat.
"Alhamdulillah, sekarang media sosial saya mendapat sambutan di luar jangka. Malah mempunyai slogan yang tersendiri, iaitu Bogey is good.
"Bogey is good bermaksud untuk mengubah pemikiran golfer supaya mereka bijak mengendalikan stres ketika bermain golf," tuturnya sambil memberitahu jenamanya juga boleh didapati di pro shop (kedai golf) dekat Kota Seriemas Golf and Country Club, Nilai, Negeri Sembilan.
Hard Hitter menjadi pakaian rasmi kepada pasukan pengurusan kedi di Kota Seriemas Golf and Country Club.
Mengimbau antara cabaran yang ditempuhi dalam mengendalikan perniagaan, kongsi Mohammad Syafiq, dia pernah mengalami kerugian sekitar RM20,000 akibat kesilapan teknikal.
Namun ujian itu ujarnya, dijadikan sebagai pengajaran untuk memperhalusi setiap proses operasi.
“Yang penting adalah semangat untuk terus maju dan berani berubah ke arah yang lebih baik,” tuturnya mengakhiri cerita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram