BAKAT sememangnya memainkan peranan penting dalam seni. Ia tidak dapat dinafikan dapat memberi kelebihan kepada seseorang untuk menguasai seni dengan lebih pantas dan menghasilkan karya-karya yang unik.
Namun, bergantung pada bakat sahaja mungkin tidak mencukupi kerana ia perlu bergerak seiring dengan usaha, dedikasi serta latihan berterusan demi mencapai tahap kemahiran lebih tinggi.
Kebanyakan para penggiat seni seperti pelukis, pemain muzik dan penulis mencapai kejayaan bukan semata kerana bakat, tetapi juga hasil titik peluh mereka berusaha gigih, belajar pelbagai teknik baharu dan mencari inspirasi.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta
Menghasilkan seni memerlukan usaha dan selain bergantung pada bakat.
Sama seperti seni kaligrafi yang memerlukan ketelitian, kesabaran serta fokus yang tinggi untuk menghasilkan karya yang bermakna.
Menjadi tulang belakang anak-anak, seorang wanita bernama Lee Weng Han, 48, tidak pernah menyekat laluan mereka dalam mengejar segala impian yang ingin dicapai.
Weng Han juga berkesempatan berkongsi tentang cara dan didikannya kepada seorang daripada anak perempuannya, Chu Wen Xi, 16, yang mempunyai minat dalam bidang seni kaligrafi Cina.
Kata Weng Han, anaknya itu beperwatakan pemalu dan introvert terutama ketika di hadapan khalayak ramai.
Meskipun sikapnya yang agak pendiam, dia bagaimanapun berkata bahawa Wen Xi tetap memiliki kelebihannya yang tersendiri dalam bidang seni kaligrafi Cina.
Katanya, seni itu secara tidak langsung dapat membantu Wen Xi meningkatkan kemahiran sosialnya apabila kerap melibatkan diri dalam pertandingan dan kelas seni.
Wen Xi bersama antara karya kaligrafi yang dihasilkannya.
"Saya yang memang galakkan dia untuk mengasah bakat seni kaligrafi ini selepas tengok tulisannya yang tak begitu cantik pada usianya 6 tahun.
"Tambahan pula seni ini adalah tradisi penting dalam terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina dan bagi saya, ia memang perlu diwarisi secara turun-temurun.
"Disebabkan itu, saya dan suami mula galakkan dia untuk belajar dengan guru-guru profesional seperti sekarang di Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, membuat tulisan kaligrafi Cina bukan perkara mudah, tetapi ia dapat membantu anaknya untuk lebih yakin dengan kemampuan diri.
Sebagai seorang ibu, Weng Han juga menekankan bahawa kaligrafi bukan sekadar seni, malah ia melambangkan keperibadian seseorang itu.
Weng Han (dua dari kiri) yang sering menyokong minat anak-anaknya.
Sejak mempelajari ilmu kaligrafi, anaknya itu menunjukkan perubahan positif ketara apabila melibatkan disiplin diri, kesabaran dan mementingkan kualiti kerja yang lebih kemas.
"Saya ingat lagi ada seorang daripada cikgu dia kata, bila kita hasilkan kaligrafi yang cantik, ia boleh tunjukkan karakter diri yang kemas dan bersih," katanya.
Walaupun pada awalnya gugup untuk berkomunikasi, Wen Xi tetap berusaha mengatasi ketakutannya dan berusaha memperbaiki kelemahan diri.
Wen Xi berkata, keterujaan dan keseronokan menghasilkan seni kaligrafi selepas dapat berkenalan dengan rakan sebaya dari seluruh Malaysia.
Katanya, seni itu bukan hanya memberi manfaat dalam pendidikan, tetapi ia turut memupuk rasa hormat terhadap budaya atau tradisi kaligrafi lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda.
Wen Xi mula melibatkan diri dalam bidang seni kaligrafi Cina sejak berumur 6 tahun.
"Saya mula sertai kaligrafi dengan kumpulan belia dan saya dapat jumpa dengan orang dari pelbagai negeri.
"Daripada segi pendidikan pula, bukan sahaja untuk kaligrafi, tetapi ia bantu untuk saya lebih fokus ketika belajar di sekolah," jelasnya.
Pada masa sama, Wen Xi juga tidak menafikan pernah berdepan dengan cabaran sepanjang berkecimpung dalam bidang itu.
Menurutnya, antara perkara paling sukar adalah apabila mahu menukar corak menghasilkan kaligrafi itu.
"Pada awalnya memang pernah menangis kerana nak dapatkan hasil yang cantiik memang sangat susah.
"Kaligrafi Cina juga ada banyak jenis, jadi kalau dah biasa buat yang asas dan mahu tukarkan kepada peringkat lebih tinggi, ia akan mengambil masa," ujarnya.
Seni itu juga bukanlah terhad untuk masyarakat Cina, malah ia juga dipelopori oleh kaum dan bangsa lain seperti Melayu dan India.
Wen Xi (depan, kanan) yang memenangi hadiah tempat kelima dalam pertandingan seni kaligrafi di Masjid Wilayah Persekutuan pada 2020.
Kata Weng Han, kaligrafi membuka peluang buat mereka sekeluarga mengenal budaya masyarakat lain ketika menyertai pertandingan yang menggabungkan komuniti tulisan Jawi dengan kaligrafi Cina.
"Pertandingan itu diadakan di dalam Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sekitar 2020 dan kami diberi peluang untuk pakai tudung dan belajar budaya orang Islam.
"Apa yang buat saya terkejut lagi apabila ada cikgu Melayu yang boleh mengajar kaligrafi Cina, ia sememangnya dapat membuka mata tentang kelebihan seni ini.
"Melalui kaligrafi juga saya dapat jejakkan kaki di dalam rumah ibadah agama lain. Ketika itu, saya beli dua tudung untuk saya dan anak pakai masa pertandingan itu," katanya.
Justeru, Weng Han berharap agar minat anaknya dalam kaligrafi Cina akan terus dikukuhkan serta dapat menyumbang jasa kepada negara.
Katanya, jika diberi peluang, Weng Han berhasrat untuk membawa anaknya meluaskan lagi bakatnya di persada antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram