Kes buli tekap seterika pegawai kadet, penuntut UPNM mengaku tak bersalah


Tertuduh,  Amirul Iskandar (dua dari kanan) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

SEORANG penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap seorang pegawai kadet di institusi pengajian tersebut.

Tertuduh, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dengan pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut pertuduhan, Amirul Iskandar didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap yang panas.

BACA LAGI: Jumpa bomoh di Kedah lepas syak 'roommate' mencuri, ramai nasihat jangan semberono bertindak, ambil iktibar kes Zulfarhan

BACA LAGI: Kisah di sebaliknya lebih penting, juruteknologi radiologi Balik Pulau cipta karya seni unik tanam rasa empati

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, kem Sungai Besi.

Bagi kesalahan terbabit, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Saberi Othman sebelum itu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang tinggi kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius, sehingga menyebabkan mangsa mengalami lecur tahap dua dia bahagian kanan dada.

UPNM

Foto dipercayai memaparkan kecederaan dialami mangsa dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hakim menetapkan ikat jamin yang rendah dengan alasan kedua ibu bapa tertuduh merupakan pesara kerajaan, selain tertuduh masih dalam pengajian.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan dua orang penjamin, dengan syarat tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan pada 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa diminta oleh pegawai senior yang juga suspek bagi menggosok baju miliknya pada pukul 11.45 malam sebelum ditekap menggunakan seterika berkenaan pada dada.

Sebelum ini, perbuatan itu dipercayai terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Kejadian itu juga bukan kali pertama berlaku kerana rakyat pernah digemparkan dengan kes kematian tragis melibatkan pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap pada 2017. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram