MESKIPUN di Malaysia tidak banyak didedahkan dengan kepentingan penghadang pintu sebagai langkah keselamatan di sekolah, namun ia sememangnya menjadi keutamaan di negara lain terumanya Amerika Syarikat (AS).
Hal ini kerana, terlalu banyak kejadian tembak-menembak dan pencerobohan terutamanya kawasan sekolah di AS.
Berdasarkan laporan agensi, terdapat sekurang-kurangnya 58 kes tembakan di sekolah AS setakat 15 Oktober 2024.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Kaki golf' berganding bahu, gigih angkat kereta halang laluan bas
Kejadian tembakan yang pernah menggegarkan daerah Texas, AS pada 2022. — Agensi
Sebanyak 14 kes di kampus kolej dan 44 kes di kawasan sekolah harian.
Semua insiden keganasan melibatkan senjata api juga akan melibatkan seorang mangsa dan kerosakan harta benda sekolah seperti bangunan, padang, parkir kereta, stadium dan bas.
Justeru, pihak sekolah di negara itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mula menekankan sistem keselamatan antaranya adalah memasang penghadang pintu mudah alih.
Langkah itu mula ketara dikuatkuasakan selepas tragedi seramai 19 murid dan dua guru terbunuh di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, AS pada Mei 2022.
Penghadang yang sering digunakan itu adalah berbentuk L, mudah dan pantas untuk dipasang serta dibawa ke mana sahaja.
Nightlock yang merupakan pembekal terbesar peranti itu kini banyak digunakan di lebih 4,000 daerah sekolah termasuk setiap sekolah di Michigan dan Ohio, AS.
Peranti yang berfungsi seperti kunci itu juga mudah digunakan serta tidak perlu mengambil tempoh lama untuk menghadang pintu daripada terbuka.
Penghadang itu dicipta dengan reka bentuk yang kecil dan ringkas tetapi mampu memastikan keselamatan setiap pelajar di dalam bilik darjah terjamin sekiranya berlaku kejadian tembakan dari luar.
Ia juga mempunyai ketahanan dan daya tahan yang tinggi serta boleh menahan kira-kira lebih 680 kilogram (kg) berat objek.
Peranti tersebut boleh digunakan dengan cara memasukkannya di tengah-tengah lubang kecil yang ditebuk pada pintu bawah dan lantai.
Penghadang yang mampu menahan tekanan tinggi dari luar. — Agensi
Kedua-dua lubang itu bagi memastikan penghadang dapat dihubungkan bagi menahan beban atau tekanan dari luar.
Kaedah itu sekali gus menerima reaksi positif daripada pihak berkuasa termasuk Sheriff Daerah Perry County, Nick Weems yang menyatakan ideanya untuk membeli peranti berharga RM282 (AS$65) di setiap pintu bilik darjah di daerah itu.
Ia tidak membimbangkan keselamatan sekiranya terjadi insiden tidak diingini seperti kebakaran kerana peranti tersebut dapat dialihkan dengan mudah.
Bagaimanapun, peranti itu hanya dapat diletakkan dari dalam dan tidak sesuai untuk menjadi alat keselamatan mengelakkan kecurian.
Namun, ia juga boleh diaplikasikan di sekolah Malaysia sebagai langkah berhati-hati dan mengelakkan sebarang risiko pencerobohan luar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram