[VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta


  • Massa
  • Selasa, 08 Okt 2024

Najmi (baju Melayu, kelabu) memfokuskan bantuan terhadap institusi pengajian pondok dan golongan asnaf melalui Yayasan Allammiyyah. — Facebook/Yayasan Allammiyyah

BERMULA daripada kosong tanpa mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, Muhamad Najmi Mohd Aris, 49, tanpa disangka merupakan antara penyumbang zakat terbesar di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2023.

Mungkin ramai belum mengenali Muhamad Najmi atau lebih senang disapa Najmi Aris itu sebenarnya aktif menjalankan misi serta program kemanusiaan dan kemiskinan bagi membantu fakir miskin.

Mula menubuhkan Yayasan Allammiyyah pada 2014, Muhamad Najmi memfokuskan bantuan terhadap institusi pengajian pondok dan golongan asnaf dari sudut kewangan melalui zakat serta sedekah ke arah pembangunan pendidikan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu malu kerja sambilan jadi pengawal, Nurin antara 3 pelajar IPT contoh sanggup sengkang mata demi penduduk Desa Melor

BACA LAGI: Bagai dapat durian runtuh, lelaki warga emas terima wang tidak dituntut RM18,000

316829697_8358620950845918_5873107773346484610_n

Kisah Najmi (dua dari kanan) membantu golongan memerlukan menjadi inspirasi kepada masyarakat luar. — Facebook/Yayasan Allammiyyah

Yayasan itu turut berusaha mengadakan hubungan antarabangsa dengan figura berpengaruh di seluruh dunia menerusi Program International Community Engagement berkaitan kemiskinan dan kemanusiaan.

Berkongsi serba sedikit tentang kisahnya memulakan langkah tersebut, anak kelahiran Pekan, Pahang itu nekad keluar daripada zon selesa dan bekerja di Kuala Lumpur.

Ceritanya, Najmi mengambil keputusan untuk berhijrah di Subang Jaya sejurus selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menceburi bidang perniagaan hartanah sehingga kini.

Pengarah Urusan Wild Urban Sdn Bhd itu berkata, nekadnya juga didorong oleh larangan keluarga yang tidak membenarkan Najmi berhijrah kerana tidak mempunyai keputusan cemerlang dalam akademik.

Bukan itu sahaja, keputusannya untuk menubuhkan yayasan tersebut diinspirasikan daripada perjalanannya sebagai seorang penuntut pengajian pondok ketika zaman persekolahan di Pahang.

339430668_1587147801771445_774909248327618123_n

Pihak yayasan sentiasa berusaha menjalinkan hubungan dengan kelab bola sepak luar negara demi memberi peluang kepada anak-anak asnaf di Malaysia. — Facebook/Yayasan Allammiyyah

Mengambil peluang itu, Najmi mendapat ilham untuk merealisasikan impian anak-anak di bawah yayasan untuk bertemu dengan pemain bola sepak dunia kegemaran masing-masing.

Menilai corak penganjuran perlawanan bola sepak di seluruh dunia, sudah menjadi amalan bagi mengiringi kemasukan pemain ke dalam padang ditemani oleh kanak kanak.

Ia memberi peluang kepada kanak-kanak dipilih untuk mencipta cita-cita dan keinginan menjadi seperti idola mereka suatu hari nanti.

"Kami memberi fokus bantuan terhadap institusi pengajian pondok tradisional Melayu dan golongan asnaf dari segi kewangan keutamaan dalam pembangunan pendidikan.

"Kami juga berusaha menjalinkan hubungan antarabangsa dengan figura berpengaruh di seluruh dunia termasuk pemain bola sepak dunia, pemimpin, ulama dunia, penghibur dan lain-lain menerusi Program International Community Engagement," katanya.

Menurutnya, tujuan penubuhan yayasan itu adalah bagi membantu fakir miskin dan asnaf serta golongan kurang bernasib baik untuk lebih berjaya sehingga ke peringkat global.

353407567_569824995343318_5324953084114418765_n

Putri Ariani (dua dari kiri) kini terkenal dengan suaranya yang lunak ketika menyanyi walaupun dikategorikan sebagai OKU penglihatan (buta). — Facebook/Yayasan Allammiyyah

Niat itu diteruskan selepas dia berjaya membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) mengembangkan potensi diri seperti penerima Golden Buzz America's Got Talent 2023, Putra Ariani dan Johan Qari Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke -63 tahun.

Katanya, dengan perkongsian itu, yayasan dapat menggunakan ilmu tersebut untuk membantu asnaf dan fakir di Malaysia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada golongan terbabit.

"Figura yang dipilih juga merupakan ikon Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan banyak memberi bantuan kepada golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Program ini secara tidak langsung dapat memberikan kesedaran dan mampu menarik perhatian dunia untuk membantu kanak-kanak dalam yayasan.

"Kami juga pernah mengadakan pertemuan pertama bersama Cristiano Ronaldo, pemain bola sepak kebangsaan Portugal pada 2016.

"Rentetan daripada pertemuan tersebut, anak lelaki saya, Muhamad Raa, 7, menjadi pengiring legenda bola sepak antarabangsa, Cristiano Ronaldo dalam Kids on Pitch pada perlawanan bola sepak antara Juventus berdepan Genoa pada 2018," kongsinya.

325823307_1370104836862055_1629727323966022307_n

Najmi (tengah) bersama pengurusan Kelab Penyokong Juventus di Itali pada 2023. — Facebook/Yayasan Allammiyyah

Najmi berkata, pertemuan itu dibuat untuk kali kedua bersama Pelabur Qatar (QSI) yang merupakan pemilik Paris Saint Germain FC (PSG) di Qatar dan kali ketiga bersama PSG Akademi Bola Sepak Qatar pada 2023.

Lebih mengejutkan lagi apabila Yayasan Allammiyyah juga tidak meminta sumbangan daripada umum menggunakan separuh daripada keuntungan syarikatnya sebagai sumber utama.

Jelasnya, pihak yayasan sentiasa berusaha memastikan tiada halangan kewangan bagi mengekalkan bantuan secara berterusan kepada golongan asnaf dan fakir miskin.

Berdasarkan data PPZ MAIWP pada 2022, Najmi berjaya membayar zakat sebanyak RM700,000 yang merupakan hasil keuntungan perniagaannya.

Kata Najmi, kemampuannya untuk membayar zakat dalam jumlah yang banyak itu bukanlah semata datang daripada perniagaan tetapi dengan bantuan Sang Pencipta.

"Waktu Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tok guru saya ajar satu sahaja iaitu percaya duit itu Tuhan bagi.

"Dia kata 'Najmi niat semasa PKP nak bayar zakat RM1 juta, duit akan datang cari awak' dan ia terbukti betul apabila saya terima dua projek jual beli hartanah dalam dengan bayaran tinggi ketika itu.

"Pada masa itu saya berjaya bayar zakat sebanyak RM1 juta," kongsinya.

Disebabkan itu, Najmi percaya bahawa segala nikmat dan kemewahan dunia yang dimilikinya kini adalah hasil pertolongan daripada ALLAH SWT dengan niat murni iaitu mahu membantu golongan memerlukan.

Sehingga kini, Yayasan Allammiyyah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menjalinkan hubungan antara pendidikan tradisional pondo di hutan dan pendidikan universiti terkemuka di Malaysia.

Pada 23 September lalu, Penasihat Yayasan Allamiyyah, Sheikh Aleey Abdul Qadir bertemu dengan Pemegang Amanah Yayasan Allammiyyah, Profesor Ulung, Datuk Dr. Rajah Rasiah di Universiti Malaya (UM), Bangsar, Kuala Lumpur yang membincangkan dan menekankan kepentingan pendidikan rohani dalam kalangan pelajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram