[VIDEO] Kaligrafi Cina guna elemen kain batik, pantun dan peribahasa Melayu bawa imej penyatuan budaya Malaysia


  • Massa
  • Khamis, 10 Okt 2024

Wee menunjukkan hasil kaligrafi Cina yang dihasilkan oleh penggiat seni Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia yang menggunakan motif batik.

SENI kaligrafi memainkan peranan penting dalam mencerminkan keanekaragaman dan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Ia menggabungkan tradisi kaligrafi daripada beberapa kelompok etnik termasuk Melayu, Cina, India dan Arab.

Seni tersebut bukan hanya melibatkan gaya tulisan yang estetika, tetapi juga menyampaikan makna mendalam berkaitan dengan kepercayaan, budaya dan sejarah melalui penulisan sajak atau puisi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perlu malu kerja sambilan jadi pengawal, Nurin antara 3 pelajar IPT contoh sanggup sengkang mata demi penduduk Desa Melor

Untitled design - 3

Seni kaligrafi menggambarkan kepelbagaian budaya di Malaysia. — Gambar hiasan

Meskipun tidak mempunyai perbezaan ketara selain jenis tulisannya, kaligrafi Cina merupakan seni tradisional yang sebenarnya sudah lama berkembang dalam kebudayaan masyarakat Tiong Hua.

Seni itu sangat signifikan buat kelompok etnik kedua terbesar di Malaysia dan sering mendapat perhatian terutamanya ketika musim perayaan seperti Tahun Baru Cina atau pameran seni.

Menariknya seni tersebut yang biasanya dipamerkan di tempat awam dianggap boleh membawa tuah kepada si pemiliknya.

Ia juga ditulis di atas kanvas putih atau merah dan digantung di dalam ruang dalaman bangunan seperti rumah tradisional, kedai-kedai Cina dan rumah ibadat mereka.

Bercerita lanjut tentang seni tersebut, Ketua Perhubungan Luar Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia, Ong Wee Chong, 70, menjelaskan bahawa perkembangan seni kaligrafi Cina di negara ini banyak dipengaruhi oleh gaya tradisional dari China.

6064547320520884629

Seni kaligrafi Cina di Malaysia banyak dipengaruhi gaya tradisional China.

Wee bagaimanapun berkata, terdapat perbezaan apabila melihat seni itu versi Malaysia terutamanya daripada sudut adaptasi dan elemen-elemen tambahan yang dimasukkan oleh penggiat seni tempatan.

Katanya, jika di China, seni kaligrafi itu kebiasaannya mengekalkan corak tradisional yang lebih minimalis atau fokus kepada kesederhanaan dalam bentuk dan komposisi kanvasnya.

"Bukan itu sahaja, tulisan kaligrafi Cina juga sering digunakan untuk menulis puisi klasik, kata-kata hikmah atau petikan falsafah lama.

"Ia juga biasanya dihasilkan menggunakan dakwat hitam di atas kertas tanpa ada penambahan warna.

"Walaupun penggiat seni kaligrafi Cina di Malaysia banyak yang ikut corak asal dari China, justeru kami berusaha untuk bawa perubahan dengan memperkenalkan lebih banyak unsur warna dan kreativiti dalam seni ini," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, perubahan yang dilakukan oleh persatuan itu adalah dengan membawa masuk warna-warna lebih ceria menggunakan corak batik di kanvas kaligrafi tersebut.

6064547320520884666

Selain mengubah corak kanvas, elemen puisi Melayu juga dimasukkan dalam seni kaligrafi Cina.

Kata Wee, ciri khas itu secara tidak langsung dapat memberi kelainan lebih-lebih lagi daripada segi visual serta menambah dimensi ekspresi lebih dinamik.

"Tujuan untuk gunakan pendakatan ini adalah kerana saya mahu memperkasakan lagi seni ini dan menjadikannya lebih menarik di mata masyarakat tempatan.

"Kami juga berusaha menjadikan seni kaligrafi ini lebih inklusif dan relevan dengan cita rasa rakyat kita.

"Disebabkan itu, kami mula terjemahkan pantun dan peribahasa Melayu dalam kaligrafi Cina supaya lagi ramai masyarakat Cina dapat belajar dan memahami budaya Malaysia," jelasnya.

Katanya, perubahan itu turut menggambarkan evolusi dan inovasi seni kaligrafi yang tetap menghormati pengaruh asalnya tetapi pada masa sama berusaha menerapkan identiti tersendiri sesuai dengan komuniti majmuk masyarakat di negara ini.

6064547320520884629

Kaligrafi Cina yang biasanya ditulis menegak dari atas ke bawah berbanding tulisan jawi memanjang dari kanan ke kiri.

Wee yang mempunyai minat mendalam dalam bidang kaligrafi itu sejak usianya 10 tahun itu menyimpan hasrat untuk mengembangkan lagi seni berkenaan secara meluas sehingga peringkat antarabangsa.

Berkongsi sedikit tentang pengalamannya lebih 60 tahun menceburi bidang itu, Wee mengambil langkah bagi memberi pendedahan terutamanya kepada generasi muda sekarang.

"Anak-anak muda zaman kini tidak kira Cina atau Melayu pun ramai yang saya jumpa tak tahu menulis tulisan ibunda mereka, hanya mahir bercakap.

"Oleh itu, kami lakukan usaha ini agar dapat memberi ilmu pengetahuan kepada seluruh anak-anak muda di samping menghargai budaya klasik di Malaysia," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram