KOLEJ Majlis Amanah Rakyat (MARA) bukan sahaja perlu menjadi institusi pendidikan yang dipercayai di negara ini tetapi juga menawarkan kemudahan terbaik, kata Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau yang merupakan Pengerusi MARA berkata demikian ketika mengadakan lawatan mengejut ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah pada Ahad.
Asyraf Wajdi berkata, tinjauan itu dilakukan tanpa memaklumkan hasrat tersebut kepada pengetua mahupun pengurusan kolej.
BACA LAGI: [VIDEO] MARA bantu pelajar cemerlang tercicir MRSM, terlepas ujian sebab tiada kenderaan
BACA LAGI: 47 pelajar keracunan di MRSM Terendak terima rawatan, punca masih disiasat
“Call (hubungi) pengetua beritahu saya sampai. Terpinga-pinga pengawal keselamatan tatkala saya tiba di pondok pengawal. Nasib baik dia tak tanya banyak seperti di MRSM lain sebab dia cam saya.
“Memang saya tak maklumkan langsung kehadiran saya kerana pagi tadi (Ahad) sengaja saya ambil flight (penerbangan) ke Langkawi untuk #TerjahMRSM Langkawi, sebelum naik bot ke Kuala Perlis mengadap Raja Perlis sebelah tengah hari,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Asyraf Wajdi, lawatan itu bertujuan memeriksa tandas dan beberapa fasiliti, selepas pihaknya menerima pelbagai aduan daripada ibu bapa mengenai keadaan di sekolah tersebut.
Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, antara aduan diterima termasuk isu tandas rosak, masalah bekalan air, dulang makanan kotor dan hal-hal lain yang menjejaskan kebajikan pelajar.
Akuinya, ternyata sebahagian aduan mereka ada kebenarannya.

Asyraf Wajdi turut membuat pemeriksaan di kawasan kantin MRSM berkenaan. — Facebook/DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
"Berkali-kali saya pesan kepada pihak pengurusan MRSM mahupun Institusi Pendidikan MARA lain agar beri keutamaan permohonan peruntukan untuk penyelenggaraan fasiliti asas yang melibatkan kebajikan pelajar dan guru termasuk tandas, peralatan belajar, asrama serta kelas.
"Masalah air di Pulau Langkawi yang tiada berkesudahan juga menyebabkan pihak Majlis MARA dan pengurusan telah pun meluluskan peruntukan khas bagi memastikan bekalan air tidak putus seperti penambahan tong menyimpan air dan juga membiayai kos lori air Syarikat Air Darul Aman (SADA)," tulisnya.
Ketika pemeriksaan dilakukan, beliau turut menyaksikan beberapa kejadian mengejutkan seperti salah satu pintu tandas tercabut sebaik disentuh, selain beberapa tandas lain tiada pintu, selain lampu dan sinki tidak berfungsi.
Asyraf terkejut apabila mendapati kemudahan di kolej itu amat memerlukan penyelenggaraan.
Dalam klip video berdurasi 4 minit 44 saat itu, beliau juga dilihat menghampiri tiga pelajar yang kurang sihat
Pada akhir perkongsian, Asyraf Wajdi berdoa dan menyuarakan keyakinan bahawa MRSM Langkawi akan kembali menjadi MRSM terbaik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi komitmen guru dan sikap positif pelajarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
