MENGAMBIL gambar merupakan antara cara paling mudah untuk menyimpan segala memori dan kenangan yang terlakar dalam hidup sejak dilahirkan ke muka bumi ini.
Setiap foto juga mempunyai cerita, kisah, emosi dan pengalaman berharga sama ada ketika bersendirian, berkumpul bersama keluarga mahupun menyambut acara-acara penting.
Melalui lensa kamera, kita boleh menangkap momen-momen yang mungkin terlihat seperti biasa, tetapi ia pastinya akan menjadi kenangan paling bermakna di hari tua nanti.
BACA LAGI: Sanggup berhenti kerja, jodoh ubah impian pengembara berbasikal dari Eropah ke Tanah Suci Makkah
Gambar-gambar yang dirakam dan disimpan menyimpan beribu kenangan.
Menjadi jurugambar juga tidak seharusnya memerlukan kepakaran tinggi, cukup sekadar mempunyai deria rasa dan kepekaan untuk menangkap detik-detik berharga.
Hampir 10 tahun mengembangkan minat dalam bidang fotografi, Arshad Shaharuddin berjaya meningkatkan kemahirannya dalam merakam setiap kisah di dalam gambar.
Jurugambar amatur berusia 62 tahun itu mengambil inisiatif sendiri dengan menggunakan platform media sosial dan internet sebagai rujukan dan cara untuk belajar terutama untuk menggunakan kamera DSLR (Digital Single-Lens Reflex).
Sejak 2019, Arshad mula berjinak-jinak menjual hasil gambar yang dirakam di platform antarabangsa seperti Shutterstock yang kebanyakan pembelinya adalah dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Arab Saudi dan beberapa negara lain.
Penduduk tetap di Desa Melur, Serendah selama hampir 30 tahun itu berkata, gambar memaparkan aktiviti manusia, landskap dan budaya masyarakat setempat antara yang digemari orang ramai.
Matahari terbenam di Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan gambar pertama yang terjual di Shutterstock dan dibeli oleh warga Seoul, Korea.
"Saya memang minat lama dan mula aktif ambil gambar dan jual secara dalam talian selepas pencen sejak Covid-19 melanda.
"Sampai ada satu masa, ada seorang pelanggan dari negara luar beli gambar saya di Shutterstock. Kebanyakannya bukan pembeli dari Malaysia.
"Pelanggan dari Israel itu beli gambar buah labu yang dihias sempena sambutan Halloween ketika saya melancong di Balkan sebelum pencen," katanya kepada Majoriti.
Selain menjadi jurugambar amatur, Arshad juga gemar melancong dan sudah menjejakkan kakinya di kira-kira 20 buah negara.
Arshad juga berkesempatan berkongsi kisah dan pengalaman tidak boleh dilupakan ketika bercuti di Balkan yang terletak di Timur Eropah.
Katanya, cara pergaulan dan budaya di negara empat musim itu bebas seperti negara Barat yang lain.
Gambar labu di Bulgaria, Balkan yang dibeli oleh seorang pembeli dari luar negara.
"Pemandangan di situ lebih-lebih lagi bila salji turun memang cantik dan ada juga budaya-budaya kita tak pernah dengar pun sebelum ini.
"Kalau Halloween, mereka memang akan sambut dengan ada 'ritual' pakai kostum, topeng dan banyak buah labu besar-besar.
"Waktu itulah saya ambil gambar dan ia dibeli oleh pelanggan terbabit," katanya.
Bukan itu sahaja, Arshad turut berkongsi pengalaman berharganya ketika melancong ke Kashmir, India dan Melbourne, Australia.
India merupakan antara negara yang sering dikaitkan dengan isu keselamatan dan ia tidak dinafikan oleh Arshad.
Arshad berkata, meskipun Kashmir mempunyai pemandangan yang indah dan cantik, namun ia tetap tidak dapat menyembunyikan ketakutannya sepanjang berada di negara itu.
Arshad bersama isterinya ketika melancong di Kashmir.
"Mula-mula sampai memang agak menakutkan sebab hampir keseluruhan kawasan diawasi dengan askar.
"Tepi jalan pun ada askar berjaga sebab pada ketika itu (awal 2023) mereka sedang bergolak. Tetapi, Alhamdulillah semuanya lancar.
"Di Melbourne pula, berlaku kejadian bila telefon pintar anak perempuan saya dicuri semasa membeli-belah.
"Syukur, pencuri itu patah balik dan pulangkan telefon pintar selepas kami call (hubungi) dia," kongsinya.
Pengalamannya di negara-negara tersebut secara tidak langsung memberi perspektif mendalam tentang disiplin, kebersihan dan sikap positif masyarakat di seluruh dunia.
Baginya, pengalaman itu juga menunjukkan bahawa terdapat banyak nilai-nilai kemanusiaan yang berbeza di setiap negara.
Gambar yang dibeli oleh pembeli AS dengan harga paling tinggi iaitu RM115 (AS$26.25).
Ditanya pula tentang etika mengambil gambar yang objeknya adalah manusia terutamanya kanak-kanak dan menjualnya di platform dalam talian.
Arshad menjelaskan bahawa kesemua gambar yang mempunyai manusia, logo atau jenama perlu dijual dalam bentuk editorial dan bukan secara komersial.
"Ada dua kategori gambar yang boleh dijual dan kedua-dua itu ada syarat berbeza.
"Editorial kebiasaannya tak boleh digunakan secara bebas, manakala komersial adalah sebaliknya.
"Justeru, gambar dijual secara editorial dilindungi dengan lesen dan aktanya tersendiri serta hanya boleh digunakan oleh syarikat atau agensi tertentu," ujarnya.
Sehingga kini, Arshad juga kerap menerima tawaran atau undangan untuk mengambil gambar oleh pihak penganjur majlis di kawasan perumahannya.
Padanya, upah bukanlah satu masalah dan hanya menerima bayaran seikhlas hati mengikut kemampuan penganjur majlis.
Arshad berkata, maksud di sebalik gambar itu adalah lebih penting berbanding jumlah bayaran yang diterimanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram