IBU kepada Nur Farisah Aslina Ismail, 16, yang dilaporkan hilang sejak Khamis percaya anak perempuannya itu bertindak keluar dari rumah di Bandar Baru Uda dekat Johor Bahru, Johor disebabkan perselisihan faham.
Saadah Abd Kadir berkata, kali terakhir dia ada bersama anaknya itu pada pukul 7.30 pagi Khamis di kediaman mereka.
Menurutnya, perselisihan faham itu berlaku apabila dia menegur anak perempuannya yang lebih mesra dipanggil Ina itu kerana perselisihan faham.
BACA LAGI : [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia
BACA LAGI : [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin
"Pada Rabu, dia meminta izin untuk keluar rumah dan saya tidak benarkan. Berlaku sedikit salah faham pada malam itu.
“Mungkin anak terasa hati dan merajuk dengan saya. Dia terus masuk ke bilik dalam keadaan marah. Pada pagi Khamis, suami (ayah tiri) ternampak anak seret beg dan bagasi keluar rumah dalam keadaan curiga.
"Dia (suami) tak kejar sebab takut dia terkejut dan lari. Ina sempat sembunyikan bagasi di belakang rumah jiran sebelum pergi ke kedai makan untuk bersarapan," katanya kepada Majoriti.
Jelas ibu kepada tiga anak itu lagi, suaminya sempat mengekori satu-satunya anak perempuan mereka itu ke kedai makan berhampiran sebelum dia menghilangkan diri.
"Suami sempat ikut dan tengok Ina makan di sebuah kedai. Kemudian dia termungkin nampak ayahnya dan terus melarikan diri.
"Sampai sekarang kami tidak dapat menghubungi Ina. Dia keluar rumah tak bawa telefon dan kad pengenalan. Saya risau jika ada perkara buruk yang terjadi kepadanya," katanya dengan nada sayu.
Pada masa sama, Saadah turut merayu orang awam dan juga rakan anaknya itu untuk segera menghubungi dirinya sekiranya ada maklumat berhubung anak bongsunya itu.
"Saya merayu, sesiapa yang ada maklumat atau tahu di mana Ina berada, tolong hubungi kami sekeluarga.
"Untuk Ina, pulanglah ke rumah. Semua orang sudah rindu dan risau," katanya.
Dalam perkembangan terkini, Nur Farisah akhirnya ditemui orang awam ditemui dalam keadaan selamat pada Sabtu.
Saadah berkata, dia menerima panggilan daripada pihak polis pukul 4.30 pagi memaklumkan anaknya sudah dijumpai.
"Alhamdulillah, Ina sudah dijumpai oleh orang awam dan dihantar ke Balai Polis Skudai.
"Dia ditemui berseorangan dalam kawasan masjid. Syukur dia selamat," katanya.
Ditanya tentang keadaan anak bongsunya itu, Saadah memaklumkan Ina kelihatan penat ketika ditemui.
"Ina tak banyak bercakap tetapi dia sempat meminta maaf. Buat masa sekarang saya nak dia rehat terlebih dahulu dan yang penting dia selamat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram