Lebih tenang hidup sederhana, jual mengkudu sara hidup, Nur Amira bukti wanita lasak boleh bahagia ikut cara sendiri


  • Massa
  • Sabtu, 09 Nov 2024

Nur Amira (kanan) dan suaminya (kiri) yang setiap hari masuk ke dalam hutan di sekitar kawasan rumahnya di Perak untuk mendapatkan produk jualannya.

SETIAP manusia mempunyai kisah dan perjalanan hidup berbeza, ibarat sebuah buku yang ditulis dengan pengalaman unik masing-masing.

Ada yang menghadapi cabaran sukar sejak kecil, ada pula memperoleh kejayaan selepas melalui fasa jatuh bangun yang panjang.

Setiap pengalaman itu juga membentuk diri seseorang insan di samping mengajar erti kekuatan, pengorbanan dan makna hidup sebenar.

BACA LAGI: Karnival MBMMBI strategi tingkat kemahiran dwibahasa pelajar, guru seluruh negara

BACA LAGI: Pentingnya simpanan ibu bapa, pelajar yatim piatu di UiTM dapat 'survive' hingga akhir semester

6143104724791051382

Nur Amira yang aktif memuat naik video aktiviti mengutip buah mengkudu dan tanaman lain setiap hari.

Biarpun dipandang hina oleh orang ramai, namun semangat Nur Amira Hanim menjalani hidup secara sederhana tidak pernah luntur dek kata-kata negatif.

Hidup penuh warna dan perjuangan adalah ungkapan sesuai yang dapat menggambarkan perjalanan hidup wanita berusia 27 tahun itu.

Menetap di Bagan Serai, Perak bersama suami tercinta, Zaini Ramli, 48, serta dua anak lelakinya yang masih kecil, tidak pernah sesekali terlintas dalam fikiran Nur Amira untuk mempunyai kerjaya mewah.

Cukup sekadar dengan menjual produk tanaman semula jadi seperti buah mengkudu (RM10 satu paket dengan empat biji di dalamnya) dan akar tunjuk langit (RM30 satu kilogram) sebagai sumber pendapatan pasangan suami isteri itu.

Screenshot (3781)

Nur Amira (kiri) bersama suami (kanan).

Pernah tular di media massa pada 2022 kerana memilih lelaki lebih berusia sebagai pasangan hidup, Nur Amira kini turut menjadi bualan ramai kerana sering menonjolkan sisi wanita lasak menerusi akaun TikTok @hanimzaini.

Kebanyakan video dimuat naik menunjukkan minatnya mengutip dan menjual produk tersebut yang diambil di kawasan hutan sekitar rumahnya.

Bermula sekadar suka-suka memuat naik video makan mengkudu sejak Mei lalu, Nur Amira akhirnya mendapat ilham untuk menjadikannya sebagai punca rezeki.

Di sebalik ketekunan dan ketabahannya, tersimpan sebuah kisah kehidupan yang penuh liku.

"Masa remaja saya tak sama seperti orang lain dan tak bercampur dengan orang ramai sebab saya membesar dalam keluarga yang berantakan atau broken family dan mak ayah juga dah berpisah.

"Lepas berkahwin dengan suami, saya jadi ceria balik. Jadi, saya tak percaya dekat siapa-siapa, takut nak berkawan dan sebagainya.

"Jadi, saya takut dan tak ada keyakinan bila nak percaya atau berkawan dengan orang sampai ada yang kata saya pendiam," katanya kepada Majoriti.

Kehidupan peribadinya hanya didedikasikan untuk keluarga kecilnya, khusus buat suami dan anak-anaknya.

Berdepan kecaman masyarakat yang menganggap masa mudanya lebih baik dihabiskan untuk bersosial dan bersantai, wanita itu tetap memilih untuk menumpukan hidup kepada keluarganya sambil membina perniagaan dengan suaminya.

Untitled design - 5

Buah mengkudu (kiri) dan akar tunjuk langit (kanan) yang dijualnya.

Ditanya pula tentang keadaan dua anaknya ketika Nur Amira dan Zaini ke hutan untuk memetik buah, Nur Amira, memberitahu, dia lebih memilih untuk membawa mereka bersama ke mana sahaja termasuk ketika bekerja di dalam semak sekali pun.

"Memang kami akan bawa kedua-duanya sekali dan tak bagi orang lain jaga sebab anak sulung ini pun sangat aktif.

"Saya pernah juga tak nak bawa, tapi mereka tetap nak ikut kami berdua. Tetapi mereka sangat memahami dan hanya duduk diam di tepi atau atas motosikal.

"Pada masa sama, mereka dapat lihat betapa susahnya ibu bapanya mencari rezeki dan belajar untuk lebih berdikari," katanya.

Menariknya, anak sulungnya yang berusia lima tahun sudah pandai mengenal abjad dan belajar sendiri meskipun tidak ke sekolah buat sementara waktu.

6143104724791051369

Dua anak lelaki Nur Amira dan suaminya.

Nur Amira menjelaskan bahawa mereka memutuskan untuk memberhentikan seketika persekolahan anak selepas kejadian dikasari oleh seorang cikgu.

Katanya, guru tersebut bertindak menarik baju sekolah anaknya sehingga terkoyak tanpa mendedahkan sebab yang kukuh.

"Saya dan suami pun tak suka bila orang buat begitu pada anak-anak, walaupun kami orang susah tapi tetap ada maruah.

"Jadi kami buat keputusan berhentikan dahulu sekolah dan mungkin akan hantar balik pada umurnya enam tahun.

"Kadang-kadang saya ada juga ajar dia di rumah, tetapi ada masa dia sendiri ambil buku untuk baca dan hanya bermain dengan adiknya," ujarnya.

6143104724791051374

Zaini tidak bergantung sepenuhnya pada jualan dan sanggup mengambil upah membersihkan semak bagi menambah pendapatan harian.

Walaupun berniaga kecil-kecilan adalah pilihan yang penuh cabaran, namun ia tetap memberi kebahagiaan dan kepuasan terhadap dirinya.

Jika jualannya tidak memberangsangkan, suaminya juga tidak segan untuk mencari pekerjaan lain di sekitar kampung seperti mengumpul sayur-sayuran, membersihkan kandang lembu atau mengambil upah memotong rumput.

Bagi mereka, selagi masih ada tenaga dan kudrat, selagi itu mereka akan berusaha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram