SIAPA sangka jodoh mampu mengubah impian dan cita-cita seseorang biar ia setinggi langit sekali pun.
Sama seperti seorang pengembara yang terkenal dengan kisahnya berbasikal merentasi beribu kilometer ke sesebuah negara.
Mengimbau kembali detik-detik manis bertemu pasangan hidupnya, Ahmad Mohd Isa, 35, sanggup menukar cita-citanya berbasikal ke Eropah untuk ke Tanah Suci Makkah, Arab Saudi.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Percaya duit Tuhan bagi', realisasi impian anak asnaf jumpa CR7 lepas bayar zakat RM1juta
Ahmad sanggup membatalkan niatnya untuk berbasikal ke Eropah demi memenuhi impian isterinya. — Facebook/Ahmad
Meskipun kayuhan selama 15 bulan itu sudah berlalu tujuh tahun lalu, bekas arkitek itu masih dapat merasakan momen indah bersama isterinya, Noradilah Mohd Sapie, 36.
Ahmad pada awalnya menyimpan hasrat berbasikal ke London, United Kingdom ketika masih bujang tetapi dilarang ibu dan bapanya kecuali beliau berumah tangga terlebih dahulu.
Disebabkan terlalu terdesak ingin berbasikal, Ahmad menyerahkan kepada ibunya untuk mencari jodoh.
Namun, empat calon ditolaknya kecuali calon terakhir iaitu seorang ustazah dan mereka kemudiannya bernikah pada Disember 2014.
"Saya beritahu nak berbasikal ingat dia tolak, namun nak ikut. Cuma impian nak ke London bertukar ke Makkah.
"Ini kerana isteri menyimpan cita-cita menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah, tetapi tidak kesampaian dek perbelanjaan agak besar," katanya sambil menambah bahawa kayuhan itu dinamakan 'Kembara Memburu Hikmah'.
Ahmad (kanan) bersama isterinya (kiri) yang berbasikal beribu kilometer ke Tanah Suci. — Facebook/Ahmad
Bagi merealisasikan impian itu, Ahmad mengakui beliau sanggup berhenti kerja dan keluar dari rumah sewa.
Dengan berbekalkan RM1,900 sebagai modal, mereka memulakan misi dengan jarak kayuhan sekitar 50km hingga 70km sehari.
Pasangan suami isteri itu memulakan kayuhan dari Kuala Lumpur ke sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 8 April 2016, sebelum meneruskan dari negara Gajah Putih menuju ke Myanmar.
Kedua-duanya kemudian merentasi beberapa negara seperti India, Nepal, Pakistan, China dan Kyrgyzstan. Sebelum tiba di Arab Saudi pada 6 Julai 2017 mereka juga merentasi Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.
Kata Ahmad, pelbagai kejadian mereka harungi termasuk isterinya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pakistan selama tiga hari manakala beliau sendiri menerima lima jahitan pada mata sewaktu berada di Iran dan hampir diculik di Afghanistan.
Pasangan suami isteri tersebut sempat menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan. — Gambar hiasan/Facebook
Jual poskad
"Bagi saya setiap kejadian yang berlaku ada hikmah. Berbekalkan RM1,900 hakikatnya kami berbelanja RM70,000 sepanjang 15 bulan. Itulah dikatakan hikmah. Kami pergi tanpa sebarang ilmu perniagaan.
"Bayangkan, kerana ingin berjimat ada ketika bermalam di pondok usang tanpa dinding di tepi jalan. Apabila berada di luar zon selesa, ia membuatkan kami berfikir bagaimana ingin mencari pendapatan.
"Ketika itu timbul idea menjual poskad kepada rakyat Malaysia menerusi media sosial," katanya yang menjual pada harga RM15 sekeping, namun ada yang membayar harga lebih tinggi hingga RM2,000.
Menurut Ahmad, segala kepayahan dan ujian yang dilalui sepanjang pengembaraan itu berbaloi apabila dapat menjejakkan kaki ke Makkah.
Lebih menggembirakan apabila mereka tiba di Tanah Suci ketika Ramadan.
"Kami tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat Kaabah. Keletihan berkayuh selama 15 bulan hilang sekelip mata," jelasnya memaklumkan mereka bercadang berbasikal sekali lagi ke Makkah bagi menunaikan ibadah haji.
Mengakhiri perbualan, Ahmad berkata, kisah perjalanan mereka itu telah dibukukan dengan tajuk Ustazah Basikal dan sudah terjual sebanyak 35,000 naskhah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram