PERNAH menggegarkan industri seni tanah air, nama Danial Chuer pernah meniti di bibir peminat muzik tempatan selepas merangkul gelaran naib juara program realiti Big Stage pada 2022.
Sekian lama menyepi, Danial atau nama sebenarnya Danial Chuer Hamasiah@Samsudin ternyata sedang bertungkus-lumus menjalani sesi pengajiannya sebagai pelajar konservatori muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Penyanyi berusia 23 tahun itu tanpa sedar kini berada di semester akhir dalam program Ijazah Sarjana Muda Komposisi Muzik.
BACA LAGI: Belajar tinggi-tinggi di luar negara bukan alasan 2 graduan tidak tabur bakti di tanah air sendiri
Danial Chuer yang pernah menyertai program realiti Big Stage pada 2022. — Instagram/Danial
Di samping menjalani kehidupan sebagai pelajar, anak jati Tawau, Sabah itu juga bergiat aktif menjalankan tugas sebagai penyampai radio di Era Sabah yang berpangkalan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Disebabkan lokasinya yang bertempat di Kuala Lumpur, Danial secara terbuka menerima tawaran untuk menjadi penyampai radio separuh masa bagi mengisi waktu lapangnya selepas tamat sesi pembelajarannya.
Tidak dinafikan, menjalankan beberapa tugas dalam satu masa memberikan sedikit cabaran buat Danial.
Namun, ia tidak menjadi satu halangan buatnya untuk terus fokus dalam pembelajaran dan mendapatkan anugerah dekan setiap semester.
"Bagi saya, kalau masa bekerja memang saya fokus 100 peratus, kalau waktu belajar, 100 peratus juga kepada pelajaran.
"Pada awalnya memang saya akui ia agak sukar, tetapi ini semua bergantung pada pengurusan masa masing-masing.
"Cara saya adalah dengan susun jadual untuk sebulan terus, senaraikan semua perkara atau aktiviti yang perlu dibuat dan perlu juga tengok kemampuan diri kalau boleh atau tidak buat kerja terus lepas waktu kelas," katanya kepada Majoriti.
Danial juga merupakan lepasan Diploma Muzik di UiTM Shah Alam. — Instagram/Danial
Katanya, dia akan sentiasa memastikan tiada pertindihan antara jadual kerja dan kelasnya, malah Danial terpaksa menolak sesuatu tawaran itu sekiranya ia betul-betul tidak dapat dielakkan.
Danial berkata, prinsip itu sedikit sebanyak membantunya mengekalkan prestasi akademik cemerlang sehingga dapat meraih anugerah Naib Canselor.
Meskipun masih berstatus selebriti, Danial menegaskan bahawa pendidikan tetap menjadi keutamaannya buat waktu sekarang.
Danial juga percaya bahawa pendidikan adalah satu alternatif yang penting walaupun masih berkerjaya.
Menurutnya, tanpa pendidikan Danial beranggapan bahawa dia sebagai selebriti juga mungkin sukar bertahan lama dalam industri.
Ditanya pula tentang rancangan masa depannya, Danial memberitahu bahawa dia berimpian untuk melanjutkan pengajiannya ke peringat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang muzik filem.
"Saya nak terlibat dalam komposisi muzik untuk filem seperti yang didengar dalam filem-filem blockbuster," ujarnya.
Dengan ilmu yang dipelajarinya dalam bidang muzik dan komposisi, Daniel berharap dapat menyumbang kepada industri filem tempatan melalui karya-karya kreatifnya untuk kekal relevan.
Danial yang kini hampir menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UiTM Shah Alam.
Sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Danial juga berusaha untuk menjadi contoh kepada rakan-rakan dan pelajar lain.
Katanya, gelaran dan statusnya tidak sama sekali mengubah karakter atau keperibadiannya sebagai seorang pelajar universiti seperti orang lain.
"Saya tunjukkan diri sebagai pelajar sahaja. Tak ada pun nak diva atau berlagak sampai tak datang kelas sebab menyanyi, tidak.
"Tak semestinya kita selebriti, kita tak boleh jadi wakil pelajar. Saya nak tunjukkan contoh yang baik kepada semua orang, tak kira hebat macam mana sekali pun kita dalam industri.
"Pendidikan tetap nombor satu sebab itulah yang akan membezakan kita dengan selebriti lain," jelasnya.
Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi, Danial bukan sahaja mengukir nama dalam industri muzik, tetapi juga memberikan inspirasi kepada generasi akan datang untuk menghargai pendidikan dan menguruskan kerjaya dengan bijak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram