Polis rakam keterangan 9 individu terlibat kes pelajar retak tulang dipijak senior UPNM


  • 112
  • Isnin, 11 Nov 2024

Mangsa yang merupakan pelajar tahun satu di universiti itu cedera pada 21 Oktober selepas dipanggil di padang kawad UPNM.

POLIS telah merakam keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes pelajar tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang diipercayai selepas dipijak penuntut tahun tiga.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kenyataan itu diperoleh daripada mangsa lelaki yang berusia 19 tahun bersama lapan yang lain sejak laporan dibuat pada 8 November lalu.

Menurut beliau, pihaknya akan merakam keterangan suspek yang juga seorang kadet kanan universiti itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada Isnin.

BACA LAGI: Belum selesai kes tekap seterika, satu lagi kejadian buli sampai patah tulang rusuk dan belakang didakwa berlaku di UPNM

BACA LAGI: Kisah di sebaliknya lebih penting, juruteknologi radiologi Balik Pulau cipta karya seni unik tanam rasa empati

"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya pada Isnin.

Rusdi dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

"Biar pihak berkuasa jalankan siasatan mendalam terlebih dahulu," tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan satu lagi kejadian buli sehingga membawa kecederaan berlaku ke atas seorang pelajar di UPNM.

Rusdi memaklumkan, laporan mengenai dakwaan buli itu dibuat kira-kira pukul 8.40 malam, pada Jumaat lalu.

Berdasarkan laporan, mangsa yang merupakan pelajar tahun satu di universiti itu cedera pada 21 Oktober selepas dipanggil di padang kawad UPNM. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram