[VIDEO] MARA bantu pelajar cemerlang tercicir MRSM, terlepas ujian sebab tiada kenderaan


  • Primer
  • Rabu, 16 Okt 2024

Nur Nasuha (dua dari kanan) ketika menerima panggilan daripada Asyraf untuk bantuan ke MRSM.

NASIB seorang pelajar cemerlang, Nur Nasuha Nusi, 12, yang tidak berjaya melepasi ujian kelayakan (UKMM) ke Maktab Sains MARA (MRSM) kerana kesempitan hidup kini berubah.

Ia selepas Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil keputusan untuk membantu menguruskan kemasukan Nur Nasuha ke MRSM.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi media sosialnya memaklumkan bahawa pihaknya melalui Bahagian Pendidikan Menengah dan MRSM Kuala Krai, Kelantan akan menguruskan pengangkutan untuk pelajar terbabit menduduki ujian kelayakan ke MRSM itu.

BACA LAGI: Pilih novel 'advanture' berbanding cinta, membaca bantu pelajar SMK Perempuan Pudu bina keyakinan diri bermula di sekolah

BACA LAGI: Pustakawan patut dianggap barisan hadapan, anak jati Tenom teroka ragam, kelebihan perpustakaan

Asyraf berkata, Nur Nasuha sebelum ini tercicir kerana tiada kenderaan untuk membawanya mengambil ujian tersebut.

"Kita akan bantu adik Nasuha masuk MRSM, ada duit belanja untuk persediaan masuk termasuk yuran sekali.

"Jangan jadikan alasan kemiskinan mahupun kekangan kewangan sebagai faktor penghalang untuk menyambung pengajian," katanya.

Beiau juga memberitahu bahawa pihaknya akan mengumumkan tarikh baharu UKKM kepada calon yang memohon penukaran tarikh ujian atas pelbagai sebab yang akan dimaklumkan pada 23 Oktober nanti.

Terdahulu, Nur Nasuha dilaporkan terlepas menduduki ujian khas iaitu International General Certification of Secondary Education (IGCSE) ke Tingkatan Satu 2025 di MRSM Kuala Krai pada 8 Oktober lalu kerana tidak mempunyai wang dan pengangkutan.

Nur Nasuha yang tinggal di Kampung Lubok Nibong, Pal Badol, Bachok, juga kecewa dan sedih apabila impiannya untuk mengubah nasib keluarga musnah apabila tidak berjaya menyambung pelajaran di MRSM.

Keadaan bapanya yang menghidap penyakit gastrik (gerd) sejak dua tahun lepas dan tidak bekerja sekali gus menyukarkan Nur Nasuha sekeluarga selama ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram