[VIDEO] ‘Dulu suka sakat orang’, ibu perasan Ummul Ayuni Atiqah berubah pendiam, syak keluar ikut pintu belakang rumah sebelum hilang di Maran


  • Massa
  • Isnin, 11 Nov 2024

Ummul Ayuni Atiqah Mohd Khamis kali terakhir dilihat di Kampung Paya Chedung, Maran, Terengganu.

POLIS dan keluarga memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Ummul Ayuni Atiqah Mohd Khamis kali terakhir dilihat di Kampung Paya Chedung, Maran, Pahang.

Ibu mangsa, Saharah Mazlan, 39, berkata, perselisihan faham dengan keluarga dipercayai menjadi punca anak ketiga daripada enam beradik itu menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga hari ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas 'offer' main tanpa gaji, Liridon kongsi gol mantap gandingan bersama legenda AC Milan

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

Menurutnya, dia juga dimaklumkan bahawa kelakuan anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran itu berubah sejak seminggu lalu.

"Guru dan rakan-rakannya di sekolah ada cerita kelakuan anak agak berbeza berbanding sebelum ini.

"Kalau dulu dia jenis suka menyakat kawan, tapi sekarang dia banyak berdiam dan duduk menyendiri," katanya kepada Majoriti.

Ujar Saharah, pada hari kejadian, dia sedar anaknya sudah tiada di rumah sejak kira-kira pukul 2 petang.

"Saya syak dia keluar dari rumah ikut pintu belakang sebab tidak nampak pula dia keluar ikut pintu hadapan. Saya dah buntu di mana lagi nak cari anak," luahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Supritendan Wong Kim Wai berkata, orang ramai diminta membantu polis mengesan remaja perempuan berkenaan.

Maklumnya, remaja itu mempunyai tahi lalat di pipi kirinya, berbadan sederhana dan ketinggian kira-kira 50 sentimeter.

"Kali terakhir dia dilihat memakai blaus berkotak hitam-putih lengan pendek, seluar hitam dan sepasang sandal hitam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai gadis ini diminta menghubungi talian 09-4771222," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram