PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi tanpa berselindung memberitahu mahu beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan ikhlas tanpa bayaran selepas melihat Sang Kenari tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Ahad lalu.
Luahan itu diberitahu oleh Liridon dalam ruangan media sosial KDA FC selepas penyokong membanjiri dengan komen harapan kelab Utara tanah air berkenaan dapat bangkit daripada keputusan itu.
"Telefon saya tidak berdering, saya amat bercita-cita untuk pulang. Saya sanggup beraksi tanpa bayaran gaji kerana saya hanya mahu membantu, inilah masa untuk Kedah kembali bersinar," katanya.
BACA LAGI: Istimewanya No.16, Syihan Azmi antara 3 bintang utama pakai nombor jersi keramat
BACA LAGI: Dikaitkan dengan pemain import bersara, Kelantan Darul Naim FC mahu rombak serangan pasukan?
Komen berkenaan jelas menerima respons baik daripada penyokong yang bercita-cita besar untuk menyaksikan pemain itu kembali menyarung jersi pasukan itu.
Manakan tidak, Liridon atau juga dikenali sebagai Mat Don pernah menjadi wira Sang Kenari apabila pernah beraksi buat kelab tersebut selama lima tahun bermula 2015.
Selain memiliki fizikal yang cukup baik, pemain berusia 32 tahun berkenaan memiliki kebolehan untuk mengawal tempo permainan dengan hantaran dan keyakinan dalam membawa bola ke kawasan berbahaya.
Liridon tertarik dengan peluang untuk kembali ke pangkuan Kedah.
Selepas meluahkan hasratnya itu, Liridon sekali lagi membuktikan bahawa dia masih berbisa apabila memuat naik video menjaringkan gol dalam satu perlawanan bola sepak dalam dewan.
Gol yang dilakukan Liridon itu boleh dilabel sebagai istimewa selepas bantuan jaringan itu dilakukan oleh legenda AC Milan, Kevin-Prince Boateng.
Untuk rekod, Boateng antara bintang dunia yang beraksi bersama kelab-kelab gergasi Eropah seperti FC Barcelona, AC Milan, Tottenham Hotspur dan Borussia Dortmund.
Dalam 526 penampilan, Boateng berjaya melakukan 78 jaringan dan 56 'assist' sebelum bersara daripada dunia bola sepak pada tahun lalu.
Liridon kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir beraksi dalam Liga Super buat Terengganu FC secara pinjaman dari JDT musim lalu.
Meskipun berkali-kali memasang cita-cita untuk kembali ke pangkuan Kedah, harapan itu tidak tercapai dengan pasukan berkenaan memiliki perancangan berbeza.
Tetapi, dengan skuad bimbingan Nafuzi Zain itu tidak memiliki lambakan pilihan di bahagian tengah, kemasukan Liridon sudah tentu akan membawa dimensi baharu buat KDA FC.
Kerelaannya untuk beraksi tanpa bayaran mahupun permintaan gaji yang rendah sudah tentu membuka pintu lebih luas memandangkan Kedah sedikit terpalit dengan isu gaji dua tahun kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram