SEORANG askar veteran menemui ajal selepas payung terjun miliknya gagal berfungsi ketika dia melakukan terjunan dari tebing Pedra Bonita dekat Rio de Janeiro, Brazil.
Dalam tragedi itu, mangsa, Jose de Alencar Lima Junior, 49, maut di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Kejadian itu berlaku pada Ahad lalu dan turut dirakam oleh pengunjung yang berada di tempat kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin
Rakaman itu kemudiannya tular di laman media sosial beberapa hari selepas kejadian.
Melalui video tular yang dimuat naik sejak Jumaat memaparkan Jose yang juga jurulatih terjun udara berlari ke arah tebing sebelum terjun.
Memetik laporan media antarabangsa, Jose kelihatan hilang keseimbangan sejurus payung terjun mula terbuka sekali gus mengakibatkan peralatan itu gagal berfungsi dengan sempurna hingga menyebabkan dia terus jatuh ke bawah.
Seorang askar veteran menemui ajal selepas payung terjun miliknya gagal berfungsi selepas dia melakukan terjunan dari tebing Pedra Bonita dekat Rio de Janeiro, Brazil. pic.twitter.com/iuTs6lnvs2
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) November 8, 2024
Mayatnya ditemui Polis Rio de Janeiro dan pasukan penyelamat beberapa jam selepas kejadian itu dilaporkan oleh orang awam.
Difahamkan, Jose tiba seorang diri di taman negara tersebut dan mendaki laluan ke pinggir tebing, di mana aktiviti lompatan adalah dilarang.
Seorang saksi kejadian mendakwa, Jose tersandung kakinya pada lubang yang menyebabkan dia hilang kawalan sekali gus menyebabkan payung terjun tersebut gagal terbuka dengan sempurna.
Polis kini sedang menyiasat kes itu dan percaya bahawa peralatan Jose mungkin rosak semasa kemalangan itu.
Sementara itu, seorang pengajar di São Conrado Hang Gliding Club, yang mengendalikan aktiviti paragliding di Pedra Bonita berkata, Jose gagal menggunakan tanjakan lompatan yang ditetapkan.
"Mangsa tidak menggunakan tanjakan untuk berlepas. Tiada siapa yang mengenali mangsa dan kami tidak tahu tahap kemahirannya.
"Tempat yang dipilihnya untuk berlepas tidak sesuai bahkan adalah kawasan larangan. Kelab São Conrado Hang Gliding Club tidak bertanggungjawab atas insiden ini," katanya.
Jose, yang berkhidmat sebagai pasukan payung terjun dalam Briged Infantri Payung terjun Tentera Brazil, adalah seorang pengajar terjun udara berpengalaman yang tinggal di Jerman tetapi melawat keluarga di Brazil pada waktu kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram