AKADEMI Robotik JAZRO (JAZRO), yang diasaskan oleh Ir Dzulfarqeish Zainuddin kini menjadi pelopor dalam pendidikan robotik dan pengekodan di Malaysia dengan pendekatan unik yang menggabungkan elemen teknologi dan nilai spiritual.
Terletak di empat lokasi berbeza, akademi tersebut memberikan peluang kepada pelajar seawal usia tujuh tahun untuk menerokai dunia robotik dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Bercerita mengenai permulaan syarikat tersebut, Dzulfarqeish berkata, idea penubuhan akademi itu tercetus pada 2019 apabila dia berusaha mencari tempat pembelajaran robotik untuk anaknya semasa bekerja sebagai jurutera di Kerteh.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik
Pada masa itu ujarnya, ketiadaan pusat latihan yang berdekatan menyebabkan dirinya mengambil inisiatif untuk mengajar anaknya sendiri.
"Tidak lama kemudian, rakan-rakan dan guru anak saya juga menunjukkan minat untuk mempelajari ilmu robotik hingga akhirnya permintaan tersebut membuahkan idea untuk menubuhkan JAZRO.
"Ketiadaan program pendidikan robotik berstruktur di Malaysia memberikan jurang yang ketara di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk kemajuan teknologi," katanya kepada Majoriti.
Sejak itu, JAZRO yang memulakan operasi pada 2020 telah memperluas operasinya ke Kerteh, Kuala Terengganu, Chukai dan Cyberjaya dengan menyediakan pendidikan robotik kepada lebih 50,000 pelajar.
Menariknya, modul pembelajaran di akademi berkenaan dibangunkan sendiri oleh Dzulfarqeish dan pasukannya, yang terdiri daripada tutor robotik dalam bidang kejuruteraan mekanikal, mekatronik dan elektrik.
"Selain di empat pusat latihan ini, kami akan bergerak dari sekolah ke sekolah untuk memberi pemahaman secara teori dan praktikal kepada murid-murid berhubung pendidikan robotik.
"Dari situ, mereka akan dapat mempelajari ilmu ini secara lebih dekat dengan kaedah yang lebih santai," ujarnya.
Modul pembelajaran di akademi berkenaan dibangunkan sendiri oleh Dzulfarqeish dan pasukannya.
Mengulas lanjut tentang kurikulum, bapa kepada empat cahaya mata itu memberitahu, kurikulum direka untuk memenuhi keperluan pembelajaran yang pelbagai bagi memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang atau kebolehan mereka, boleh berkembang maju dalam persekitaran yang dipacu teknologi.
Ujarnya, akademi itu bukan sekadar pusat pembelajaran teknologi, malah ia juga berperanan sebagai platform yang membantu anak-anak mengembangkan potensi mereka dalam bidang robotik sambil mengasah akhlak mulia.
Di JAZRO, pendekatan berkonsepkan fun-learning yang mana pelajar mempelajari teknik pengekodan dan mencipta robot dalam suasana santai dan menyeronokkan, diaplikasikan.
"Setiap kelas juga dimulakan dengan pengenalan kepada tokoh Islam seperti Al-Jazari, yang dikenali sebagai pencipta robot pertama, di samping elemen moral seperti menghargai masa dan menghormati ibu bapa.
"Latihan di sini juga menekankan pengalaman praktikal dalam robotik dan pengekodan untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan kepintaran mereka," maklum anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan pendidikan robotik inklusif, JAZRO mengembangkan segmen perniagaannya dengan memasukkan elemen pendidikan robotik yang disesuaikan khusus untuk kanak-kanak autisme.
Dzulfarqeish berkata, latihan JAZRO juga menekankan pengalaman praktikal dalam robotik dan pengekodan untuk mencetuskan rasa ingin tahu murid.
Pembelajaran tersebut disampaikan oleh tutor terlatih khas dengan kerjasama ahli terapi pekerjaan bertujuan membantu kanak-kanak ini mengembangkan kemahiran kognitif, komunikasi dan sosial.
Ditanya bagaimana penerimaan kanak-kanak austime dalam sistem pembelajaran di JAZRO, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu lantas mengimbas kembali satu kejadian yang berlaku pada tahun awal syarikat itu mula beroperasi.
"Saya sendiri yang turun padang untuk mengajar, saya masih ingat lagi kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara di Kijal, Terengganu.
"Sekolah luar bandar tapi guru besarnya sangat bagus, beliau mahu ada wakil sekolahnya terpilih untuk pertandingan robotik, selain turut memberi galakan kepada ibu bapa murid.
"Terdapat seorang murid, yang saya ajar tapi dia langsung tak pandang mata. Namun tidak mengapa, saya teruskan mengajar teori seperti biasa," katanya.
Kemudian tambah Dzulfarqeish, semasa sesi praktikal, setiap murid dikehendaki menghasilkan pengekodan bagi mencipta dan menggerakkan robot.
Murid itu, ujarnya, berjaya menyelesaikannya dengan dengan laju berbanding murid lain.
"Saya dan guru-guru lain pun terkejut. Selepas dua bulan, ibu murid tersebut datang berjumpa dan maklumkan bahawa anaknya (menghidap) autisme.
"Ketika itu saya sedar bahawa golongan ini juga patut diberi peluang, kerana ada antara mereka yang berada dalam kategori high-functioning (mengalami masalah sosial namun boleh belajar seperti kanak-kanak normal lain).
"Jadi apabila kita tunjuk (ajar) sikit, dia dah boleh tangkap dengan cepat.
"Pelajar tersebut kemudian menyertai pertandingan robotik peringkat kebangsaan dan memperoleh tangga keempat keseluruhannya. Kami semua terkejut tapi itu adalah antara pengalaman manis yang boleh dikongsikan," bicaranya.
JAZRO mengumumkan pelaburan sebanyak RM1.2 juta daripada Gobi Partners melalui dana GDIV pada Oktober lalu.
Pelaburan RM1.2 juta
JAZRO, yang juga sebuah syarikat permulaan pendidikan robotik yang diinkubasi oleh Petronas Innovation Garage (PING) mengumumkan pelaburan sebanyak RM1.2 juta daripada Gobi Partners melalui dana Gobi Dana Impak Ventures (GDIV) yang disokong Khazanah Nasional Berhad, pada Oktober lalu.
Pelaburan strategik itu membolehkan syarikat tersebut mengembangkan tawaran pendidikannya dan menjangkau lebih ramai pelajar muda, memupuk generasi baharu inovator celik teknologi.
Dzulfarqeish bersama pengasas bersama, Yasser Rabanie dan Khoirun Nisah, berdedikasi untuk membolehkan pendidikan inklusif bagi semua kanak-kanak melalui program pendidikan robotik yang disusun khas.
Kini, Akademi Robotik JAZRO terus berkembang dengan matlamat untuk menarik penyertaan sekurang-kurangnya 500 pelajar dalam tempoh sebulan, di samping menjadi peneraju pendidikan robotik di Malaysia, selari dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0.
"JAZRO komited berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR4.0, seterusnya membolehkan anak-anak muda di negara ini tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global," ujarnya sebelum mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram