MEMILIKI kekurangan sama sekali tidak menjadi penghalang untuk Mohd Saad Habizal, 41, memerah kudrat yang ada untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan.
Dilahirkan sebagai individu yang sempurna, kehidupan lelaki berusia 41 tahun ini mulai berubah apabila disahkan menghidap palsi serebrum dan masalah tulang belakang bengkok selepas mengalami demam panas pada usia tiga tahun.
Sebagai anak bongsu daripada lima beradik, Mohd Saad belajar untuk menerima ujian hidup dengan penuh keikhlasan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Meskipun berdepan dengan cabaran fizikal, dia tidak pernah menjadikan kekurangan tersebut sebagai alasan untuk bergantung harap kepada orang lain.
Dia yang masih bujang kini menetap di Taman Desa Keramat Au2, Keramat, Kuala Lumpur bersama kakak keduanya. Insan istimewa itu berusaha mencari rezeki dengan berniaga pelbagai jenis kerepek secara kecil-kecilan.
Kongsinya, dia memulakan perniagaan kerepek secara serius sejak 2016 setelah menamatkan perkhidmatannya sebagai pembantu operasi di Majlis Amanah Rakyat (MARA) akibat masalah tulang belakang.
Berasal dari Kuala Lumpur, bekas penuntut Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi itu kini memasarkan produk seperti kerepek ubi, pisang dan aneka kacang yang dibekalkan dari sebuah kilang di Banting.
"Pada mulanya, saya berniaga kerana suka-suka sahaja, tetapi kini saya buat bisnes ini secara sepenuh masa kerana enggan menambah beban kepada keluarga.
"Alhamdulillah sehari boleh terjual dalam 10 botol, dengan anggaran RM70,” katanya kepada Majoriti.
Berbekalkan motosikal roda tiganya, Mohd Saad 'menjelajah' sekitar Lembah Klang meliputi kawasan Ampang, Melawati, Keramat, Ukay Perdana, Kajang, Cheras, Bangi dan Semenyih.
Kebiasaannya, usahawan ini akan memfokuskan kawasan masjid dan surau terutamanya apabila hampir masuk waktu solat.
"Saya akan berniaga kira-kira dua hingga lima jam sehari, bergantung pada tahap kesihatan pada hari berkenaan kerana ada kalanya saya akan mengalami sakit belakang.
"Tempoh berniaga juga bergantung pada kebenaran daripada ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau surau tertentu," ceritanya.
Kerepek pisang (kiri) antara yang mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan pembeli.
Kisah tular di TikTok
Kisah Mohd Saad pernah tular di aplikasi TikTok sebelum ini apabila seorang pengguna TikTok @jarirharun berkongsi tentang kegigihan Mohd Saad untuk menyambut panggilan Ilahi dengan mendirikan solat di Surau Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa, Ampang.
Perkongsian tersebut meraih 3.4 juta tontonan dan lebih 10,000 komen daripada warga maya yang rata-ratanya turut terkesan dan terharu dengan semangat yang ditunjukkan lelaki itu biarpun dalam keadaan dirinya berstatus orang kurang upaya (OKU).
Beritahu Mohd Saad, walaupun diuji dengan kekurangan fizikal, ibu bapa mendidiknya untuk berdikari sejak kecil dan mengutamakan solat.
"Mak dan ayah selalu pesan untuk tidak meninggalkan solat kerana ia perkara wajib. Meskipun diri ini tidak sempurna tetapi akal fikiran saya masih waras.
"Dengan keadaan ini, saya boleh solat duduk kerana tidak boleh berdiri terlalu lama.
"Saya sepatutnya menjalani pembedahan tulang belakang, tetapi ditangguhkan dahulu kerana agak berisiko. Saya dimaklumkan doktor jika terhentak atau terjatuh saya berisiko lumpuh, sebab itu kena lebih berhati-hati," bicaranya.
Mohd Saad bersyukur kerana ada yang sanggup membantu mempromosikan produknya kepada rakan-rakan mereka.
Pernah dihalau
Mohd Saad yang juga mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi dengan baik mengakui, perjalanan untuk mencari rezeki ini bukanlah mudah.
Berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya sewaktu berniaga, Mohd Saad berkata, dia juga tidak lari daripada persepsi negatif segelintir individu terhadap peniaga tepi jalan.
Dihalau, barang jualan hampir dirampas pihak tertentu. Itu antara ujian yang pernah ditempuhi individu ini.
"Pernah satu ketika, saya didatangi anggota polis ketika berniaga di sekitar masjid.
"Saya dimaklumkan bahawa ada pihak lain yang membuat aduan tentang saya. Namun syukur tiada perkara buruk berlaku dan saya sendiri sebenarnya sudah tidak mahu ingat lagi peristiwa tersebut.
"Saya hanya mahu mencari rezeki halal dan serahkan segala dugaan ini kepada ALLAH SWT," luahnya sambil memberitahu dia ketika ini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Namun Mohd Saad bersyukur, walaupun pernah dihimpit situasi yang sukar, masih ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya.
"Ada yang sudi membeli produk saya dan membantu mempromosikannya kepada rakan-rakan mereka,” katanya.
Malah dia juga teringat satu peristiwa seorang hamba ALLAH SWT pernah membantu mengangkatnya dari motosikal ke lokasi perniagaan.
“Saya sangat terharu dengan tindakan tersebut. Ia bukan hanya meringankan beban saya, tetapi juga memberi keyakinan bahawa masih ada kebaikan dalam masyarakat,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram