'Bumi tidak diwarisi, tetapi dipinjam daripada anak-anak kita', Star Next-Gen Eco Innovators teroka perspektif baharu sisa plastik


  • Massa
  • Isnin, 23 Sep 2024

Program Star Next-Gen Eco Innovators mencerminkan Matlamat SDG ke-17 PBB, yang memberi tumpuan kepada perkongsian untuk pembangunan mampan.

SISA plastik boleh merosakkan planet kita dan Malaysia antara yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi krisis ini.

Dana Hidupan Liar Sedunia pada tahun 2022 melaporkan bahawa Malaysia menduduki tempat kelapan sebagai negara paling tercemar di dunia, ditambah dengan isu alam sekitar yang serius berkaitan sisa plastik.

Isu tersebut semakin getir apabila Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) mendedahkan bahawa setiap minit, sejuta botol plastik dibeli di seluruh dunia dan lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun.

BACA LAGI: Star Media Group rangkul Anugerah Ikon Kepimpinan SDG

BACA LAGI: SMG beri pengiktirafan buat pekerja berkhidmat lebih 15 tahun pada ulang tahun ke-53

SMG's STAR NEXT-GEN ECO-INNOVATORS campaign launch, in collaboration with Coca Cola. — FAIHAN GHANI/The Star

Coca-Cola Malaysia turut menyatakan komitmen untuk memberi sokongan kepada program Star Next-Gen Eco Innovators.

Para penyelidik memberi amaran bahawa menjelang 2040, plastik boleh menyumbang 19 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global.

Statistik yang mengejutkan itu bagaikan 'wake up call' untuk kita bertindak.

Sebagai bahan buangan ketiga paling banyak di planet ini, pencemaran plastik bukan sekadar pemandangan yang tidak menyenangkan, malah ia adalah ancaman kritikal kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

Dalam usaha menangani isu tersebut, Malaysia telah memperkenalkan projek Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) mandatori sebagai salah satu strategi utama yang diketengahkan dalam Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, untuk merevolusikan pengurusan sisa dan menggalakkan penyelesaian inovatif serta lestari.

Bagi melibatkan generasi muda dalam usaha kritikal berkenaan, Star Media Group Bhd (SMG) menganjurkan program Star Next-Gen Eco Innovators bertujuan mendekati pelajar universiti agar dapat menghasilkan penyelesaian yang inventif dan lestari.

Penglibatan mereka akan membantu meningkatkan kesedaran dan advokasi dalam kalangan pelajar universiti, di samping menggunakan minda kreatif dan pemikiran inovatif mereka sambil memupuk pemimpin dan inovator masa depan.

Edisi sulung program itu dimulakan dengan majlis pelancaran rasmi yang diadakan di Universiti Sunway, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt berkata, menggunakan tema 'Menukar Sisa Plastik kepada Penyelesaian Lestari', program tersebut mencabar pelajar universiti dan siswazah untuk menghasilkan idea penyelesaian secara kreatif bagi menangani cabaran perniagaan dunia sebenar.

"'Kita tidak mewarisi bumi daripada nenek moyang, kita meminjamnya daripada anak-anak kita'. Peribahasa lama ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk meninggalkan dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“Ketika kita berdepan cabaran yang semakin meningkat seperti perubahan iklim, pencemaran dan kekurangan sumber, prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bukan lagi satu kemewahan. Ia penting untuk kelangsungan perniagaan, komuniti dan ekosistem," katanya.

Ujar beliau, tema program berkenaan mencabar pelajar universiti untuk menilai semula cara manusia menggunakan, mengurus dan menyusun semula bahan plastik.

Jelasnya, golongan tersebut mempunyai kuasa untuk membentuk semula industri, mentakrifkan semula kelestarian dan membayangkan semula apa yang mungkin.

ECO1

Star Next-Gen Eco Innovators bertujuan mendekati pelajar universiti agar dapat menghasilkan penyelesaian yang inventif dan lestari.

“Program ini adalah panggilan untuk bertindak kepada anda semua, generasi inovator eko seterusnya.

“Menerusi semangat, inovasi dan dedikasi anda, kita boleh bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan dunia tanpa sisa,” kata Seng Fatt.

Dalam pada itu, Coca-Cola Malaysia turut menyatakan komitmen untuk memberi sokongan kepada program Star Next-Gen Eco Innovators.

Berdasarkan laporan kemampanannya, syarikat itu memaklumkan, pihaknya sedar akan tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan cabaran sisa plastik yang kompleks dihadapi oleh planet dan masyarakat.

“Kami bercita-cita tinggi menyusun strategi bagi memacu perubahan melalui ekonomi kitaran untuk pembungkusan kami yang dikenali sebagai ‘Dunia Tanpa Sisa’.

“Strategi ini adalah platform pembungkusan mampan global yang memberi tumpuan kepada matlamat asas, iaitu menjadikan 100 peratus pembungkusan kami boleh dikitar semula di seluruh dunia menjelang 2025.

"Selain itu, kita turut menyasarkan penggunaan sekurang-kurangnya 50 peratus bahan kitar semula dalam pembungkusan menjelang 2030 (Reka Bentuk).

"Mengutip dan mengitar semula satu botol atau tin untuk setiap yang kami jual menjelang 2030 (Kutip) dan mengumpulkan orang ramai untuk menyokong persekitaran yang sihat dan bebas sisa (Rakan Kongsi),” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Universiti Sunway, Profesor Datuk Dr Elizabeth Lee turut menekankan kepentingan kerjasama sesama industri.

Program seperti itu katanya, penting untuk melengkapkan generasi pemimpin dan inovator seterusnya dengan kemahiran serta pengetahuan untuk memperjuangkan usaha kelestarian pada masa hadapan.

SMG's STAR NEXT-GEN ECO-INNOVATORS campaign launch, in collaboration with Coca Cola. — FAIHAN GHANI/The Star

Sekitar pelancaran edisi sulung program Star Next-Gen Eco Innovators pada Sabtu lalu.

“Program ini mencerminkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-17 PBB, yang memberi tumpuan kepada perkongsian untuk pembangunan mampan.

"Ia bermaksud kita mesti bekerjasama untuk mencipta impak yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, di Universiti Sunway, kelestarian bukan sekadar konsep, sebaliknya ia adalah sesuatu yang menjadi amalan.

Tegas Elizabeth lagi, penting untuk bukan sahaja mengajar pelajar universiti tentang inisiatif lestari tetapi juga menjadi teladan supaya mereka boleh mengamalkan nilai-nilai itu, berkongsi dengan orang lain dan menjadi ejen perubahan dalam komuniti.

Anak muda pemimpin perubahan

Program Star Next-Gen Eco Innovators akan diadakan di universiti-universiti sekitar Lembah Klang, termasuk Universiti Sunway, Universiti UCSI, Universiti Taylor dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik.

Berlangsung selama satu setengah hari, ia akan memfokuskan bengkel pendidikan yang direka untuk menggabungkan isu sisa plastik dan kelestarian dengan pemikiran praktikal dan penyelesaian masalah yang inovatif.

Dibahagikan kepada lima orang dalam setiap kumpulan, pelajar universiti akan dibimbing oleh fasilitator dan jurulatih menggunakan teknik pemikiran lateral seperti model SCAMPER (Ganti, Gabung, Sesuaikan, Ubahsuai, Gunakan untuk kegunaan lain, Hapuskan dan Terbalikkan) untuk mencabar status quo dan meneroka kemungkinan baharu.

Pendekatan tersebut akan membantu mereka membayangkan ekonomi yang lebih kitar semula dan menilai semula cara bahan plastik digunakan, diurus serta disusun.

SMG's STAR NEXT-GEN ECO-INNOVATORS campaign launch, in collaboration with Coca Cola. — FAIHAN GHANI/The Star

Chu Rong berkongsi keterujaannya untuk menyertai program Star Next-Gen Eco Innovators.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Aktuari di Universiti Sunway, Lim Chu Rong, berkongsi keterujaannya untuk menyertai program Star Next-Gen Eco Innovators.

Akuinya, dia sudah lama berminat dengan inisiatif alam sekitar, setelah terlibat dalam pelbagai projek eko semasa di sekolah.

“Apabila menyedari bahawa program ini berkaitan dengan alam sekitar, saya tidak sabar untuk menyertainya kerana saya telah belajar lebih lanjut tentang prinsip ESG sejak memulakan universiti,” katanya.

“Memandangkan Malaysia adalah pengeluar dan pengguna plastik utama, program ini bukan sahaja akan membantu meluaskan pemahaman tetapi juga mendalami pengetahuan saya tentang ESG,” katanya teruja.

Seorang lagi pelajar, Carol Chang, yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kewangan, menyatakan bahawa program itu merupakan tempat pembelajaran yang ideal bagi pelajar universiti memperoleh pengetahuan tentang amalan lestari untuk generasi akan datang.

SMG's STAR NEXT-GEN ECO-INNOVATORS campaign launch, in collaboration with Coca Cola. — FAIHAN GHANI/The Star

Carol berkata,program itu merupakan tempat pembelajaran yang ideal bagi pelajar universiti.

“Generasi saya tidak banyak didedahkan dengan prinsip-prinsip ini, jadi ia merupakan peluang yang sangat baik untuk saya menceburi dunia ESG.

"Bukan sahaja saya akan belajar lebih banyak tentang ESG dan kelestarian, saya juga akan mengetahui cara mengintegrasikan prinsip dan amalan ini dalam kehidupan harian,” kata pelajar berusia 20 tahun itu.

Cadangan pengurusan sisa plastik daripada pelajar universiti akan dinilai berdasarkan inovasi, aplikasi dunia sebenar dan kebolehlaksanaan dengan impak positif jangka panjang.

Dua pasukan terbaik dari setiap universiti yang mengambil bahagian akan mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 29 November, dengan mereka akan membentangkan idea kepada pemimpin industri.

Semua pasukan terbaik akan menerima hadiah wang tunai dan trofi sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka, dengan pemenang hadiah utama membawa pulang RM10,000, tempat kedua menerima RM7,000 dan tempat ketiga (RM3,000).

Melalui inisiatif tersebut, SMG dan Coca-Cola Malaysia bukan sahaja menggalakkan generasi inovator eko seterusnya, tetapi juga menangani salah satu cabaran alam sekitar yang paling mendesak pada zaman ini. — The Star/MARK RYAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram