Anak kelahiran Manjung penuhi solusi rumah mampu milik dengan teknologi hijau


  • Bizz
  • Selasa, 05 Nov 2024

Yes Empire turut menerima pengiktirafan sebagai jenama yang paling dipercayai menerusi IDEA Award 2023.

BERGERAK seiring permintaan semasa antara resipi membolehkan syarikat keusahawanan sosial, Yes Empire Sdn Bhd (Yes Empire) menyediakan perkhidmatan dan teknologi yang memenuhi keperluan serta kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

Sejajar dasar penubuhan perusahaan tersebut untuk memberikan nilai tambah pada pasaran semasa, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yes Empire, Amirulmukminin Hamzah, kini proaktif merancang pelbagai perkhidmatan yang terbaik.

Inisiatif itu selari dengan matlamat bahawa keusahawanan sosial bukan sekadar sebuah perniagaan, malah merupakan perusahaan membawa manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar yang diperkenalkan kerajaan pada 2022.

BACA LAGI: Bermula di Simpang Renggam, istana belon 'fans' tegar JDT kini tawan seluruh Johor

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

1

Kepercayaan dan kepuasan hati pelanggan sentiasa kembali kepada kumpulan syarikat itu untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan selanjutnya.

Kini berdiri di bawah Yes Empire, terdapat lima cabang perniagaan lain iaitu syarikat Benahous, Benaccount, Benamora, Housemora dan Greenering.

Mengimbas perjalanan bisnes, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Telekomunikasi, Universiti Malaya (UM) itu berkata, Yes Empire mula diperkenalkan pada 2018.

Fasa awal Yes Empire memasarkan dan menjual rumah mampu milik di bawah jenama Benahous.

“Permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik di pasaran tempatan ketika itu membuatkan saya terpanggil untuk memulakan perniagaan syarikat hartanah,” katanya.

Jelas usahawan berusia 38 tahun itu lagi, mengikut pengumpulan data dikendalikan selama tujuh tahun, setiap 10 permohonan bagi pembelian rumah bernilai RM250,000 hanya dua pemohon yang layak diberi pembiayaan.

Copy of MOST TRUSTED BRAND - 2

Yes Empire turut menerima pengiktirafan sebagai jenama yang paling dipercayai menerusi IDEA Award 2023.

Kepercayaan

Perkara itu katanya, menunjukkan kelayakan dan kemampuan golongan B50 atau gabungan antara B40 dan M40 yang memerlukan bantuan.

Anak syarikat Benaccount atau Bina Akaun pula lahir pada 2020 sebagai bantuan solusi permasalahan profil kewangan pelanggan untuk memiliki rumah pertama.

“Perkhidmatan dikendalikan dalam talian itu berjaya membantu hampir 2,000 individu memiliki rumah pertama,” ujarnya lanjut.

Kepercayaan dan kepuasan hati pelanggan sentiasa kembali kepada kumpulan syarikat itu untuk mendapatkan bantuan perkhidmatan selanjutnya memberi ilham buatnya mewujudkan Benamora.

Pada tahun sama, anak syarikat itu ditubuhkan sebagai syarikat perkhidmatan pasca jualan untuk menyediakan pakej pengubahsuaian, hiasan dalaman dan pembinaan.

Ibarat satu ekosistem perniagaan yang bermula daripada permintaan, tambah Amirulmukminin, satu lagi anak syarikat Greenering ditubuhkan untuk memenuhi permintaan persekitaran hijau tahun lalu.

“Perkhidmatan anak syarikat ini menyediakan teknologi sejajar dengan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor perindustrian dan komersial.

“Inisiatif itu diambil bagi memberikan perkhidmatan untuk membantu pembangunan komersial menjimatkan penggunaan utiliti sebanyak 40 peratus.

“Konsep itu juga mengambil kira situasi semasa dalam membantu mengurangkan pemanasan global menggunakan teknologi sedia ada,” ujar bapa empat anak itu.

6

Pasukan Yes Empire memberikan taklimat berhubung topik kewangan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2022.

Sumbangan

Kumpulan syarikat sosial itu terus memainkan peranan sebagai penghubung kepada penyelidik di beberapa universiti tempatan yang menghasilkan produk inovasi untuk dipasarkan.

Biarpun banyak skop perniagaan beroperasi di bawah satu payung, jelasnya, keperibadian berorientasikan keputusan membolehkan dirinya sentiasa bergerak mengikut permintaan.

Selagi ada keberanian dan keinginan untuk belajar, anak kelahiran Manjung, Perak itu yakin perniagaan dikendalikan dapat menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar.

Berkongsi tip keseimbangan kerja dan kehidupan, usahawan tersebut amat menekankan ketenangan kerana ia adalah jawapan kepada segala-galanya.

“Buat generasi muda yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan, selain kelestarian, pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting kerana ia salah satu faktor memajukan bisnes.

“Konsep itu digunapakai oleh syarikat gergasi dunia kerana menerusi R&D, ia dapat membantu memberikan persediaan awal kepada bidang perniagaan dijalankan.

“Selain R&D, persediaan kewangan untuk pelaburan produk baharu juga membantu mengembangkan perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan,” bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram