PASTINYA ramai pencinta alam yang memilih aktiviti glamping sebagai cara untuk meluangkan masa bersama insan yang tersayang.
Manakan tidak, aktiviti glamping menawarkan pengalaman yang berbeza daripada penginapan biasa iaitu membolehkan pengunjung meneroka lokasi baru sambil menikmati suasana alam semula jadi.
Lebih menarik, pengembara yang memilih perkhemahan glamping dapat berinteraksi dengan alam semula jadi melalui aktiviti luar seperti mendaki, berkelah dan menjelajah.
BACA LAGI: Kandungan gugur dan bayi kurang berat antara risiko ibu hamil kerap hadam kafein
Berbeza dengan aktiviti perkhemahan secara lama, glamping membolehkan seseorang menikmati pengembaraan tanpa perlu mengorbankan keselesaan yang menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang ingin berehat sambil meneroka.
Terdapat banyak lokasi glamping yang menarik di Selangor yang boleh dikunjungi untuk memperoleh memori terindah dalam hidup seseorang seperti:
1. Dusun Bonda Glamping
Dusun Bonda adalah sebuah tapak glamping (glamorous camping) yang terletak di Ulu Tamu, Batang Kali, Selangor.
Tempat itu menawarkan suasana percutian yang tenang dan semula jadi di tengah-tengah kehijauan dusun buah-buahan dan tepi sungai yang jernih.
Kemudahan glamping yang disediakan di Dusun Bonda berkonsepkan resort dalam hutan.
Ini membolehkan pengunjung dapat menikmati penginapan yang selesa di khemah glamping atau rumah pokok.
Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di situ termasuklah bermain di sungai yang terletak berhampiran sambil berbarbeku di tepi sungai.
Dusun Bonda adalah pilihan terbaik bagi mereka yang ingin merasai pengalaman berkhemah dengan gaya lebih mewah di kawasan semula jadi yang indah.
2. Qowiy Village
Qowiy Village Langat adalah sebuah kawasan penginapan dan rekreasi yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
Tempat ini menawarkan pengalaman percutian yang harmoni dengan alam semula jadi dengan memberi pengunjung istirahat di suasana hijau dan tenang di tepi sungai.
Qowiy Village menyediakan beberapa jenis penginapan seperti glamping dan kabin yang direka khas untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung sambil mengekalkan elemen semula jadi.
Penginapan ini sesuai untuk keluarga, pasangan, atau kumpulan yang ingin menikmati pengalaman alam tanpa meninggalkan keselesaan moden.
Terdapat 13 aktiviti yang ditawarkan buat pengunjung yang datang seperti berikut:
- Menunggang ATV di pelbagai jenis trek yang memiliki tahap kesukaran berbeza iaitu bermula dari resort, hutan bambu dan juga ke kawasan pedalaman yang memiliki sungai.
- Menunggang e-Scooter di kawasan sekitar Qowiy Village.
- Kolam renang yang sangat besar buat orang dewasa dan kanak-kanak.
- Mandi di kawasan sungai bersama keluarga dan kawan-kawan.
- Terdapat kawasan tasik yang membolehkan pengunjung untuk memancing.
- Bathbomb atau Scented Candle
- Hampir setiap unit dilengkapi jakuzi atau tab mandi
- Berbarbeku di sekitar glamping site atau di kawasan sungai.
- Terdapat juga tempat umum yang disediakan untuk membolehkan pengunjung berkaraoke bersama insan tercinta.
- Qowiy Village juga dilengkapi dewan serba guna yang membolehkan aktiviti seperti 'team building' dibuat.
- Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis buah seperti durian, rambutan, cempedak, pulasan dan manggis.
- Aktiviti menanam juga disediakan bagi individu yang ingin merasai pengalaman bercucuk tanam.
3. The Hid3out Ulu Yam, Selangor
The Hid3out adalah sebuah destinasi percutian glamping yang terletak di Ulu Yam, Selangor.
Dikelilingi oleh alam semula jadi yang tenang, tempat ini menawarkan pengalaman percutian di tengah-tengah kehijauan hutan dan sungai yang jernih, ideal bagi mereka yang mencari ketenangan dari kesibukan bandar.
Penginapan di The Hid3out adalah dalam bentuk khemah glamping, yang lengkap dengan kemudahan asas seperti katil yang selesa, lampu, kipas, dan ruang tempat duduk.
Walaupun berkonsepkan kembali ke alam, tempat ini masih memberikan kemudahan moden bagi keselesaan pengunjung.
Aktiviti yang boleh dilakukan di The Hid3out termasuk seperti menikmati pemandangan alam sambil bersantai di hammock (buaian gantung) yang disediakan.
Sama seperti di Qowiy Village dan Dusun Bonda, pengunjung juga boleh bersantai di tepi sungai atau berenang di dalam air yang jernih di kawasan ini.
The Hid3out sesuai untuk mereka yang inginkan percutian santai dan mendekati alam dalam suasana yang damai dan tenang.
4. River and Glamp
Penginapan di River and Glamp terdiri daripada khemah glamping yang selesa dengan kemudahan asas seperti katil, bantal, kipas dan lampu.
Khemah ini direka untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung sambil mengekalkan suasana semula jadi yang damai.
Antara aktiviti yang boleh dinikmati di River and Glamp termasuk bermain air dan berenang di sungai.
Ramai juga yang gemar untuk berkelah atau barbeku bersama keluarga dan rakan.
Mendengar bunyi air sungai sambil bersantai di hammock atau kerusi malas juga antara hal menyenangkan yang boleh dibuat.
Keindahan sekitar River and Glamp membolehkan pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan glamping.
5. Tadom Hill Resorts
Tadom Hill Resorts terkenal sebagai destinasi glamping yang sangat sesuai buat pengunjung yang ingin merasai pengalaman berkhemah dengan sentuhan kemewahan di tengah-tengah alam semula jadi.
Resort yang terletak di Banting, Selangor ini terkenal dengan landskap bukit batu kapur yang menakjubkan, tasik hijau yang tenang dan keindahan kawasan hutan tropika di sekitarnya.
Penginapan glamping di Tadom Hill Resorts menawarkan pelbagai pilihan unik yang mesra alam dan selesa, sesuai untuk pelbagai jenis pengunjung, termasuk:
1) Tadom Bamboo Tent
Khemah yang diperbuat daripada buluh dengan rekaan sederhana tetapi lengkap dengan kemudahan asas, memberikan pengalaman glamping yang selesa.
2) Hammock Sphere
Bagi mereka yang suka tidur di bawah bintang, tidur di hammock yang disediakan adalah pilihan terbaik.
3) Gendui Chalets
Calet tradisional yang diperbuat daripada buluh yang menggabungkan unsur semula jadi dan keselesaan moden.
Tempat ini juga sesuai untuk keluarga, pasangan, kumpulan rakan dan juga individu yang ingin berehat dalam suasana semula jadi.
Selain penginapan yang menarik, Tadom Hill Resorts juga menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi untuk pengunjung seperti berenang dan bermain rakit buluh di tasik.
Tidak hanya itu, flying fox, melompat dari platform tinggi ke dalam air atau bersantai di tepi tasik juga boleh dibuat apabila mengunjungi tempat ini.
Ramai juga dalam kalangan pengunjung yang 'enjoy' menikmati aktiviti lain seperti berkayak, memanah dan berjalan di sekitar bukit batu kapur.
Dengan kemudahan lengkap seperti tandas bersih, ruang BBQ dan dewan terbuka untuk aktiviti berkumpulan, Tadom Hill Resorts menjadi pilihan glamping yang sesuai untuk mereka yang ingin merasai pengalaman berkhemah tanpa mengorbankan keselesaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram