Mahkamah perintah Muhyiddin bayar Guan Eng RM1.35 juta kerana menfitnah


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memerintahkan Muhyiddin (kiri) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kerana memfitnah Guan Eng (kanan).

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat memerintahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kerana memfitnah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung penyalahgunaan kuasa dalam isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati Guan Eng telah membuktikan kesnya terhadap presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

Bekas menteri kewangan itu mendakwa kenyataan yang berunsur fitnah itu memberi gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan ia tidak sepatutnya dikenakan cukai.

BACA LAGI: Anugerah Impak Positif iktiraf pemimpin industri laksana agenda ESG negara

BACA LAGI: Beri komitmen teguh pacu elemen ESG, 64 syarikat terima Anugerah Impak Positif

Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Beliau sehubungan itu, memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng.

Ketika membacakan penghakimannya, Roz Mawar berkata, tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).

Roz Mawar berkata, Muhyiddin bagaimanapun tidak berbuat demikian dan terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Guan Eng selepas plaintif memaklumkan kepada beliau bahawa dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak benar.

"Peguam kepada defendan menghujahkan bahawa bahasa yang digunakan dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak bersifat mengapi-apikan.

"Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan sedemikian kerana konteks kenyataan yang dipertikaikan itu adalah dalam maksud semula jadi dan biasa, menimbulkan sentimen perkauman.

"Plaintif juga seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa. Beliau tidak goyah walaupun ketika diperiksa balas (semasa perbicaraan). Keterangan ketua bahagian cukai kementerian kewangan menguatkan kes plaintif dan melemahkan pembelaan defendan," katanya.

Roz Mawar berkata Muhyiddin juga sengaja mencampur-adukkan dakwaannya dengan rujukan yang mengapi-apikan bangsa dan agama sambil menekankan peranan Yayasan Albukhary dalam membantu umat Islam melalui kerja amalnya.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati bahawa Muhyiddin tidak layak menggunakan pembelaan keistimewaan bersyarat kerana kenyataan ini tidak dibuat dalam konteks yang sesuai dan sebaliknya sebahagian daripada kempen awam.

Menurut Roz Mawar, kenyataan itu dibuat sejurus selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Muhyiddin, dan ia mencadangkan motif yang tidak wajar untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang dihadapinya.

Peguam Muhyiddin, Chethan Jethwani, memberitahu media bahawa mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Guan Eng diwakili oleh peguam Guok Ngek Seong.

Pada 27 Mac tahun lalu, Lim memfailkan saman dan menamakan Muhyiddin sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata, Muhyiddin telah memfitnahnya dalam kiriman di Facebook selepas dibebaskan dengan jaminan oleh SPRM pada 9 Mac 2023.

Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan dari 2018 hingga 2020 semasa pentadbiran Pakatan Harapan, mendakwa kenyataan Muhyiddin juga memberi gambaran bahawa beliau telah membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Al-Bukhary. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram