[VIDEO] Najib tak dengar nasihat saya, ambil tindakan terhadap Jho Low — Khairy Jamaluddin


  • Massa
  • Khamis, 31 Okt 2024

Khairy (kiri) yang pernah memberi cadangan kepada Najib (kanan) untuk mengambil tindakan terhadap Jho Low.

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan bahawa beliau sudah memberi cadangan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengambil tindakan terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Khairy berkata, tindakan sedemikian membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengaku sudah ditipu sama seperti permohonan maafnya baru-baru ini.

Menurutnya, Najib bagaimanapun enggan bertindak dengan alasan Jho Low adalah ahli perniagaan yang sah dan berjaya.

BACA LAGI: Najib antara 11 individu bakal dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes 1MDB — Muhammad Shafee

BACA LAGI: Kes 1MDB: Najib diarah bela diri 25 pertuduhan penyelewengan

images (2)

Jho Low. — The Star

Katanya, selain Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta beberapa anggota kabinet lain secara konsisten mencabar dan mempersoalkan Najib berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Tidak lama selepas itu, Muhyiddin Yassin dan Mohd Shafie dipecat.

"Arahan kemudiannya diberikan kepada anggota kabinet untuk mengelak daripada membincangkan 1MDB.

"Semuanya diuruskan semata-mata oleh Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan," katanya dalam podcast Keluar Sekejap pada Rabu.

Khairy pada masa sama menjelaskan tentang situasi yang berlaku sekiranya permohonan maaf Najib diterima.

"Jika kita mengambil permohonan maaf Najib dan mendakwa dia ditipu, maka seperti yang ditegaskan oleh bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, kita perlu bertanya 'Mengapa Najib tidak mengambil tindakan selanjutnya apabila isu ini terbongkar? Mengapa menolak Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Peguam Negara, atau ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

"Tingkah laku itu tidak konsisten dengan seseorang yang mendakwa telah ditipu," tambahnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram