BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal dalam usahanya untuk menyemak semula keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa berkaitan penyelewengan RM232.5 juta terhadapnya.
Panel lima anggota Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi berkata, kuorum terdahulu mempunyai bidang kuasa diperlukan mendengar dan membuat keputusan terhadap rayuan pendakwaan dibawa kepada mereka ketika itu.
"Oleh itu, permohonan untuk semakan semula ditolak," katanya pada hari Rabu (11 September).
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Keputusan itu menyaksikan perbicaraan kes melibatkan Muhyiddin itu akan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Azizah berkata, permohonan semakan Muhyiddin adalah berdasarkan isu kekurangan bidang kuasa kerana beliau mendakwa panel mahkamah rayuan sebelum ini bertindak di luar bidang kuasa diberikan secara undang-undang.
Panel tersebut menyatakan bahawa dengan menggunakan tafsiran literal, Muhyiddin berpendapat keputusan hakim Mahkamah Tinggi (yang membebaskannya) dengan menggunakan bidang kuasa semula jadi hakim membatalkan tuduhan tersebut tidak termasuk dalam skop Subseksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964.
Tambahnya, ini kerana Mahkamah Tinggi tidak menjalankan kuasa semakan berhubung sebarang perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Untuk rekod, Muhyiddin dibebaskan Mahkamah Tinggi selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan sebelum perbicaraan bermula di Mahkamah Sesyen.
"Kami berpendapat tafsiran tersebut akan membawa kepada situasi tidak masuk akal yang tidak diinginkan Parlimen.
"Jika pemohon benar, bahawa tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan hakim yang membatalkan tuduhan dan membebaskan pemohon, ini bermakna Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad untuk membatalkan tuduhan jenayah dan membebaskan seseorang tanpa perbicaraan.
"Lebih-lebih lagi, ia akan membawa kepada situasi tidak masuk akal di mana pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang remedi kerana ketepatan dan kesesuaian keputusan hakim Mahkamah Tinggi tersebut tidak boleh dicabar," kata Hakim Azizah.
Panel tersebut menyatakan bahawa Subseksyen 50(1) CJA tidak boleh dibaca secara berasingan dan semua peruntukan berkaitan kuasa semakan Mahkamah Tinggi mesti dibaca bersama secara keseluruhan dan ditafsirkan secara harmoni untuk mengelakkan kekeliruan atau situasi tidak masuk akal dalam pelaksanaan undang-undang.
"Atas sebab-sebab tersebut, kami berpendapat rayuan responden (pendakwaan) terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi termasuk dalam skop Subseksyen 50(1) CJA," kata Hakim Azizah.
Pada 28 Februari lalu, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan Muhyiddin dan mengarahkan tuduhan tersebut dikembalikan. — Gambar hiasan
Hakim lain yang turut bersidang adalah Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Azhahari Kamal Ramli.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Muhammad Jamil Hussin membebas dan melepaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa.
Pendakwaan memfailkan rayuan pada hari sama di Mahkamah Rayuan.
Pada 28 Februari lalu, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan Muhyiddin dan mengarahkan tuduhan tersebut dikembalikan.
Pada 19 April, peguam Muhyiddin menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk meminta panel lima anggota mendengar permohonan semakan beliau kerana terdapat isu-isu penting mengenai bidang kuasa yang perlu diputuskan.
Dalam notis usulnya, Muhyiddin menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan adalah tidak sah atau menyalahi undang-undang kerana dibuat tanpa bidang kuasa yang diperlukan di bawah Seksyen 50(1) CJA.
Muhyiddin, 76, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU ketika itu untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, serta daripada seorang Datuk Azman Yusoff, untuk parti tersebut.
Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram