Bantuan tunai ganti subsidi, 5 skim pernah dilaksanakan kerajaan 


  • Massa
  • Rabu, 18 Okt 2023

Bantuan tunai bukanlah satu kaedah yang asing dalam sistem pemberian bantuan dijalankan kerajaan. — Gambar hiasan

SELEPAS hampir setahun berteka-teki mengenai kemungkinan pelaksanaan subsidi bersasar di dalam negara, perkara itu akhirnya terjawab menerusi pembentangan Belanjawan 2024 yang dikemukakan pada Jumaat lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan penyasaran semula subsidi akan mula dijalankan secara berfasa mulai 2024.

Antara subsidi disentuh dalam langkah rasionalisasi tersebut adalah melibatkan penggunaan petrol dan bahan makanan asas iaitu ayam serta telur.

Dalam ucapan pembentangannya, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, dasar tersebut perlu dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dilaksanakan kerajaan.

Katanya, ini kerana dengan kaedah semasa, subsidi disalurkan dilihat tidak sepenuhnya memenuhi objektif utamanya apabila ia didapati lebih memberikan manfaat kepada golongan kaya.

Dengan penarikan semula subsidi dijalankan itu, ia pastinya akan memberikan kesan langsung yang membawa kepada peningkatan kos sara hidup rakyat Malaysia.

Melihat kepada kemungkinan tersebut, ia tentunya bakal menimbulkan kebimbangan khususnya bagi isi rumah yang berpendapatan rendah atau sederhana.

Menjawab mengenai kekhuatiran tersebut, Anwar pada Selasa berkata, kerajaan sedang mempertimbang melaksanakan bantuan pindahan tunai sebagai pengganti kepada pemberian subsidi.

Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut, beliau tidak memberikan perincian mengenai bagaimana bantuan pindahan tunai itu akan dilaksanakan.

Untuk rekod, kaedah pindahan tunai atau bantuan tunai bukanlah satu kaedah yang asing dalam sistem pemberian bantuan dijalankan kerajaan.

Ini kerana ia sudah mula digunakan sejak 2012 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bermula daripada situ, program tersebut dilihat terus dilaksanakan beberapa kerajaan seterusnya sehingga kini meskipun dengan nama yang berbeza.

Bagaimanapun, pemberian bantuan tunai yang pernah dilaksanakan dijalankan dengan kaedah pemberian secara sekali gus atau berperingkat dalam tempoh setahun.

Disebabkan itu, tidak dapat dipastikan sama ada kaedah tersebut adalah mencukupi bagi membantu golongan yang terkesan ekoran rasionalisasi subsidi.

Ini kerana penarikan subsidi itu melibatkan penggunaan bahan asas seperti petroleum dan makanan yang digunakan secara harian oleh rakyat Malaysia.

Selain itu, turut menjadi perdebatan adalah mengenai jumlah sesuai bagi pindahan tunai untuk membolehkan tunai diberikan itu benar-benar mencukupi menampung jumlah perbelanjaan meningkat ekoran langkah rasionalisasi tersebut.

Berikut Majoriti senaraikan lima program bantuan tunai yang pernah dilaksanakan kerajaan sejak 2012:

1. Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)

WhatsApp Image 2023-10-17 at 18.37.55

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim — Gambar hiasan

BRIM buat pertama kalinya diperkenalkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan bagi 2012 dan ia merupakan program bantuan tunai terawal yang dilaksanakan di Malaysia.

Pada dua tahun pertama ia dijalankan, jumlah bantuan diberikan adalah sebanyak RM500 membabitkan isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 sebulan.

Dalam tahun-tahun seterusnya, nilai tersebut turut dinaikkan di samping turut melibatkan kelas pendapatan dan jenis isi rumah yang lebih meluas.

Sebagai contoh, pada 2015, kerajaan turut melibatkan kategori isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 dengan bantuan berjumlah RM450.

Pada tahun akhir pelaksanaannya menjelang 2018, jumlah bantuan disalurkan itu mencecah RM2,200 bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,000 sebulan.

Kategori penerima juga bertambah pada waktu itu apabila golongan individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah turut mendapat bantuan sejumlah RM600.

2. Bantuan Sara Hidup (BSH)

WhatsApp Image 2023-10-17 at 18.38.11

Petrol merupakan antara yang dijangka terlibat dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. — Gambar hiasan

Di sebalik pertukaran kerajaan yang berlaku pada 2018, program bantuan tunai yang dimulakan sebelum ini tetap diteruskan meskipun dengan nama yang berbeza.

Ia selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir membuat keputusan untuk mengubah namanya kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).

Malah, bagi tahun tersebut, jumlah diberikan juga adalah sama seperti yang diperuntukkan bagi BR1M menerusi Belanjawan 2018.

Pada 2019, BSH diteruskan dengan penambahbaikan agar bantuan diberikan lebih bersasar kepada golongan memerlukan.

Sebagai contoh, kadar tambahan diperkenalkan berjumlah RM120 untuk setiap isi rumah yang mempunyai anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang dengan anak OKU dikecualikan daripada sebarang had umur.

Pada waktu ini, penerima bantuan terbaharu kepada tiga kategori pendapatan meliputi sehingga isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah dengan jumlah bantuan terbanyak RM1,000 diberikan kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM2,000.

Bagi tahun 2020, BSH masih diteruskan dengan penambahbaikan membabitkan perluasan kepada individu dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan bagi bujang berumur lebih 40 tahun atau OKU berumur 18 tahun, masing-masing bakal menerima RM300.

3. Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)

Pada 2021, kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan BSH akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Dalam pada itu, jumlah pemberian bantuan diberikan mencecah RM1,200 bagi isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dengan seorang anak atau tiada anak sementara bagi isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima RM1,800.

Golongan bujang berpendapatan bawah RM2,500 dan berumur 21 tahun ke atas turut menerima RM350.

4. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)

Pada 2022, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan BPR pada tahun sebelum ini.

Peruntukan BKM membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.2 bilion dengan setiap penerima seramai 9.6 juta individu bakal menerima bantuan mencecah RM2,500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Jumlah bantuan tunai diberikan terbahagi kepada dua kategori isi rumah bergantung pendapatan dan bilangan anak.

Sama seperti sebelum ini, pelaksanaan bayaran juga dilaksanakan secara berperingkat.

Dalam pada itu, pengagihan bantuan tersebut turut diperluaskan meliputi warga emas tiada pasangan dan golongan bujang yang masing-masing menerima jumlah BKM sebanyak RM600 dan RM350, bergantung kepada had pendapatan.

5. Sumbangan Tunai Rahmah (STR)

WhatsApp Image 2023-10-17 at 18.38.23

BR1M yang mula dilaksanakan pada 2012 merupakan skim bantuan tunai pertama dilaksanakan dalam negara. — Gambar hiasan

Sama seperti kerajaan baharu sebelum ini, pentadbiran Anwar Ibrahim turut menjenamakan semula skim bantuan tunai yang dijalankan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Sama seperti BKM, jumlah tertinggi bagi bantuan ini pada 2023 adalah mencecah RM2,500.

Bagaimanapun, kerajaan turut membuat penambahbaikan apabila turut memperkenalkan bantuan tambahan berupa bakul makanan bernilai sehingga RM600.

Menerusi Belanjawan 2024, kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini.

Selain itu, kadar minimum STR bagi golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada bantuan tunai bagi menggantikan pemberian subsidi yang diumumkan Anwar pada Khamis akan turut dirangkumkan di bawah skim STR. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram