Bekas eksekutif akaun syarikat Jepun sanggup berhenti kerja, terokai pasaran industri pembuatan bakeri


  • Bizz
  • Selasa, 05 Nov 2024

Noor Ardilla mengakui bersyukur suami mendukung penuh keputusan untuk berhenti kerja dan menerokai pasaran industri pembuatan bakeri. — Instagram/ de.liacious

SOKONGAN figura seorang suami sememangnya memainkan peranan amat penting dalam membentuk perjalanan karier sang isteri.

Sama seperti Noor Ardilla Ab Rahman, 34, dia bersyukur pasangannya mendukung penuh hasrat untuk menerokai pasaran industri pembuatan bakeri.

Meminati bidang tersebut sejak di bangku sekolah lagi, ibu kepada seorang puteri berusia dua tahun ini memutuskan untuk meninggalkan kerjaya sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat Jepun dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur demi memberi fokus terhadap perniagaan yang mula beroperasi pada 2021.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Menceritakan detik awal penubuhan de.liacious, idea menjalankan bisnes yang bermula di rumah (home-based) itu juga tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Masa senggangnya ketika itu banyak dihabiskan dengan menghasilkan variasi pencuci mulut dan dikongsikan di media sosialnya.

"Selepas memuat naik foto-foto kek, tak sangka ramai yang berminat dan mencadangkan agar saya mengambil tempahan.

"Memanglah saya suka membakar (kek), tapi tidak pernah terfikir pula nak menjualnya. Sejak sekolah menengah, saya hanya buat secara suka-suka untuk beri kepada keluarga dan rakan terdekat sahaja.

"Namun saya cuba memberanikan diri untuk mengambil tempahan secara serius sehinggalah bisnes ini berkembang selama tiga tahun," katanya kepada Majoriti.

Untitled design (25)

Permintaan yang semakin meningkat membuatkan Noor Ardilla lebih yakin untuk beralih sepenuhnya ke dalam perniagaan ini. — Instagram/ de.liacious

Bagi Noor Ardilla, sokongan daripada keluarga, terutama suami, Hasnol Harith, 37, menjadi faktor utama kejayaannya dalam bidang pembuatan manisan.

Apatah lagi, dengan masa kerja yang lebih fleksibel, wanita ini masih mampu menjaga anak dan meluangkan waktu bersama keluarga kecil mereka, tanpa terikat komitmen dengan mana-mana pihak.

"Selain ingin lebih banyak masa dengan anak kecil, permintaan yang semakin meningkat membuatkan saya lebih yakin untuk beralih sepenuhnya ke dalam perniagaan ini," ujarnya.

Snapinsta.app_425439525_18375864832075376_763376173355132535_n_1080

Tart keju dan kek pandan gula Melaka antara pemanis mulut yang mendapat permintaan ramai. — Instagram/ de.liacious

Mesin pengadun sempena hari jadi

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu, sebuah mesin pengadun yang dihadiahkan suami tercinta sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-31 pada tiga tahun lalu menjadi titik tolak kepada permulaan bisnes tersebut.

Jelasnya, mesin pengadun pemberian suami memberikan satu semangat baharu untuk dia terus melangkah ke dalam dunia baharu, meskipun sedar akan risiko yang perlu ditanggung sebaik menginjak kaki ke alam perniagaan.

"Suami beri kejutan dengan menghadiahkan mesin pengadun ini kerana minat saya terhadap dunia pembuatan pencuci mulut.

"Pengadun ini memang banyak jasanya. Bermula dengan mesin tersebut, bisnes berkembang hingga saya mampu untuk membeli mesin pengadun lebih besar dan ketuhar industri yang bersesuaian dengan kuantiti pengeluaran buat masa ini," ceritanya sambil memberitahu pesanan pencuci mulut paling jauh pernah diterimanya adalah dari Nilai, Negeri Sembilan.

Snapinsta.app_447773051_18395830951075376_8876140948547150640_n_1080

Konsep 'dessert table' berfokus pada meja khas yang dipenuhi pelbagai jenis pencuci mulut yang dihias cantik. — Instagram/ de.liacious

Trend dessert table

Bercerita lanjut mengenai trend dessert table, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini turut tidak terkecuali untuk menawarkan servis sama.

Trend itu katanya, amat popular terutama dalam majlis-majlis seperti perkahwinan, sambutan hari jadi dan acara korporat.

Konsep ini berfokus pada meja khas yang dipenuhi pelbagai jenis pencuci mulut yang dihias cantik.

"Biasanya, saya akan letakkan kuih tart keju, kek, kek cawan, brownies, biskut dan manisan lain yang dipersembahkan dengan tema atau warna tertentu agar serasi dengan majlis.

"Dekorasi indah yang tersusun bukan sahaja memikat tetamu, tetapi juga menjadikan suasana majlis lebih meriah.

"Kehadiran ini memberi lebih nilai estetik dan memuaskan selera pengunjung dengan variasi hidangan kecil yang mudah dimakan," katanya yang turut menyediakan perkhidmatan chocolate fountain.

Snapinsta.app_461173244_18414692461075376_6958415992598888519_n_1080

'Dessert table' yang dihasilkan Noor Ardilla turut menyediakan perkhidmatan chocolate fountain. — Instagram/ de.liacious

Pernah down

Meskipun perniagaan tersebut memberikan kepuasan kepadanya, namun wanita berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu mengakui, dia turut berdepan cabaran yang ada kalanya menjatuhkan semangat keusahawanannya.

"Kadang-kadang, ada hari tanpa jualan langsung dan itu sangat mencabar. Pernah juga rasa down dan terfikir sama ada saya patut teruskan berniaga atau sebaliknya.

"Namun suami selalu kuatkan semangat saya untuk memastikan perniagaan ini terus bergerak.

"Pada masa-masa seperti itulah, saya perlu menguatkan strategi pemasaran dan saya juga belajar untuk menetapkan sasaran bulanan supaya dapat mengekalkan momentum perniagaan,” jelasnya.

Walaupun perniagaan memerlukan komitmen masa yang tinggi, Noor Ardilla bersyukur kerana dapat melakukan hal yang disukai dan berharap agar de.liacious terus berkembang serta menjadi pilihan ramai peminat pemanis mulut di sekitar Lembah Klang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram