Tawar harga lebih RM2,000 sepasang baju batik, bekas kakitangan perbankan tak bimbang, sudah ada sasaran pelanggan


  • Bizz
  • Ahad, 03 Nov 2024

Erny Yusmiarty menggunakan teknik lukisan tangan (mencanting) untuk menghasilkan motif batik kerana permintaan tetap ada walaupun harga jualan agak mahal.

JIKA dahulu, batik hanya dianggap sebagai tekstil biasa yang digayakan para wanita ‘desa’ sebagai pakaian harian, kini tidak lagi.

Nilai batik pada hari ini telah dikomersial dan dipelbagaikan penggunaannya. Kraftangan itu mulai berkembang menjadi busana yang popular dan diterima dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Batik kini digayakan dalam pelbagai acara rasmi dan tidak rasmi, malah sering kali dilihat sebagai simbol warisan budaya yang berprestij. Ia juga telah menjadi pilihan fesyen dalam majlis perkahwinan, acara korporat serta perayaan kebangsaan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Batik Malaysia merupakan seni tekstil tradisi yang dihasilkan daripada kerja tangan dan menggunakan lilin sebagai bahan perantara untuk memisahkan atau halangan kepada kepelbagaian warna yang dicelup.

Secara umum, batik Malaysia dihasilkan melalui empat jenis teknik iaitu batik lukis, batik blok, batik skrin dan terkini batik alternatif.

Berkongsi pengalaman menjual batik sejak hampir dua dekad, pengasas dan pemilik jenama eksklusif, PiecesByRaeesa, Erny Yusmiarty Erizal berkata, dia enggan melihat tanggapan bahawa batik hanya untuk pemakai yang berusia, meracuni pemikiran segelintir masyarakat terutama pelanggannya.

Justeru, untuk menarik perhatian dan minat golongan muda bagi menggayakan busana batik, wanita berusia 42 tahun itu bijak untuk menawan hati pelanggannya dalam kalangan generasi hari ini dengan menampilkan corak dan warna yang bersesuaian mengikut kehendak dan selera.

Motif yang menjadi pilihan pelanggan di PiecesByRaeesa adalah flora dan tropika dengan sentuhan minimalis.

Teknik lukis tangan

“Selain material yang sedap dipakai, sebab utama seseorang itu suka memakai batik kerana motif dan warnanya yang cantik. Bukan itu sahaja, potongan dan rekaan busana juga perlu menarik dan mengikut kehendak semasa.

“Di PiecesByRaeesa, pelanggan saya terdiri daripada kalangan pelbagai peringkat usia, termasuk remaja. Sebab warna dan corak yang dihasilkan sesuai dengan usia mereka,” jelas ibu kepada empat cahaya mata itu.

Tambah wanita yang pernah bekerja di sektor perbankan selama 10 tahun itu lagi, motif yang menjadi pilihan pelanggannya di PiecesByRaeesa adalah flora dan tropika dengan sentuhan minimalis.

“Selain itu, motif abstrak turut menjadi pilihan, namun ditampilkan secara minimalis supaya tidak kelihatan terlalu ‘berat’. Warna yang digunakan guna adalah warna-warna pastel dan lembut, sesuai untuk cita rasa golongan muda,” jelasnya.

Istimewanya di PiecesByRaeesa, Erny Yusmiarty menggunakan teknik lukisan tangan (mencanting) untuk menghasilkan motif batik kerana permintaan tetap ada walaupun harga jualan agak mahal.

Snapinsta.app_464935534_1227040485181315_2166406010688157948_n_1080

Tekstil yang digunakan adalah daripada kain bermutu tinggi seperti sutera silk, sutera crepe dan kapas.

Sebelum ini katanya, jualan batik teknik blok (cetakan), kurang memberangsangkan kerana kurang digemari pelanggan.

“Tekstil yang digunakan juga daripada kain bermutu tinggi seperti sutera silk, sutera crepe dan kapas,” katanya.

Dalam pada itu, Erny Yusmiarty mengakui harga yang ditawarkan di PiecesByRaeesa memang agak mahal.

“Saya akui, harga sepasang baju yang dijual di PiecesByRaeesa bermula dari RM2,000 dan ke atas, manakala harga untuk sepasang baju yang ditempah khas pula RM3,000 dan ke atas. Namun, saya tidak bimbang kerana PiecesByRaeesa sudah menetapkan sasaran pelanggannya.

“Kami belum pernah lagi berdepan dengan pembeli yang merungut dengan harga yang ditawarkan. Sebab sasaran kami adalah untuk golongan yang mampu beli.

“Namun, produk akhir haruslah berkualiti tinggi agar berbaloi dengan harga yang dibeli,” kata Erny Yusmiarty.

Untitled design (26)

Harga sepasang baju yang dijual di PiecesByRaeesa bermula dari RM2,000 dan ke atas.

Sementara itu, bekas pensyarah di Jabatan Seni Reka Tekstil, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fatimah Ismail berkata, batik kini bukan sekadar kain basahan wanita.

“Istilah batik basahan asalnya merujuk pada pakaian harian wanita dahulu kala bermandian di sungai atau perigi dalam keadaan berkemban,” kata graduan Sarjana Seni Halus (Seni Tekstil), Universiti Syracuse, New York, Amerika Syarikat itu.Dari segi perkembangan di Malaysia, seni batik telah mengalami perubahan iaitu daripada teknik cetakan kepada batik lukis.

“Dahulu, batik di Malaysia menggunakan cetakan blok kayu atau tembaga, sebagai bahan pencetak di atas hamparan kain.

“Saya berpendapat, batik Malaysia memiliki ciri-ciri moden dengan mainan motif serta corak yang jauh versatil,” jelas Fatimah.Wanita berusia 75 tahun itu menjelaskan, berbanding batik seberang (Indonesia), kebanyakan motif batik di Malaysia menggunakan unsur bunga-bungaan.

“Warna-warna digunakan pada motif batik Malaysia lebih cerah berbanding batik Indonesia, selain coraknya lebih besar dan ringkas.

“Selain itu, batik Indonesia juga memiliki aroma tersendiri, bau ini dipercayai terhasil daripada campuran bahan dalam lilin dan kayu-kayuan seperti gaharu,” ujar Fatimah.

Warna-warna digunakan pada motif batik Malaysia lebih cerah berbanding batik Indonesia.

Ditanya sejauh mana saranan menggayakan batik tercapai, jika harga sehelai batik yang dijual terlalu mahal, Fatimah berpandangan, pengguna seharusnya bijak memilih mengikut kemampuan, namun masih tahu membezakan sama ada tekstil tersebut adalah batik, atau sekadar selembar kain yang diwarnakan.

Di pasaran misalnya, harga batik ditentukan daripada jenis kualiti kain sama ada menggunakan sutera asli atau kain kapas, serta teknik yang digunakan.

“Batik yang dianggap mahal itu adalah batik yang dihasilkan menggunakan teknik tulis dan bukan batik yang dihasilkan secara cetakan menggunakan blok. Batik sebegini memang bersifat eksklusif dan mahal harganya.

“Apa-apa pun, untuk menyeru masyarakat menghargai dan menggunakan batik tidak memerlukan belanja mahal. Semuanya bergantung pada poket masing-masing,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram