NASI lemak merupakan antara makanan warisan di Malaysia yang turut mendapat tempat di persada antarabangsa.
Dikenali dengan rasa lemak santannya, ditambah aroma daun pandan yang wangi, makanan tradisi orang Melayu itu sering dihidangkan dengan sambal pedas, ikan bilis, telur rebus, kacang tanah dan timun.
Sambutan yang diterima terhadap sajian itu mendorong kebanyakan pengusaha nasi lemak cuba menyuntik elemen resipi baharu untuk mencipta kelainan sekali gus menarik perhatian pelanggan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Antaranya termasuk memasak hidangan yang dianggap sebagai penyatu budaya itu menggunakan beras basmati.
Nasi lemak tersebut adalah variasi nasi lemak yang menggunakan beras basmati sebagai gantian kepada beras biasa.
Beras basmati terkenal dengan teksturnya yang ringan, lembut dan butirannya yang lebih panjang, memberikan rasa dan persembahan nasi lemak yang sedikit berbeza.
Meskipun cuba berinovasi, terdapat segelintir masyarakat yang beranggapan, perubahan itu langsung tidak mencerminkan rasa sebenar nasi lemak.
Berdasarkan hantaran seorang pengguna media sosial dengan nama akaun Mohd Hairol, dia berpendapat bahawa nasi lemak beras basmati boleh dianggap sebagai 'penipuan' terbesar dalam dunia kulinari.
Menurutnya, selain kurang berlemak dan tiada rasa kanji, tekstur beras itu juga berderai dan kurang melekit.
"Saya tak faham kalian beria-ia puji sedap. Apa keluarga kalian semua tidak pernah buat nasi lemak ke?
"Tauke restoran dan peniaga gerai pun bukan main lagi berhempas pulas buat kandungan di media sosial, katanya nasi lemak dia rasa premium sebab guna beras mahal.
"Walhal nasi lemak yang sedap sebenarnya dibuat menggunakan beras wangi kerana ia (dapat) menyerap santan dengan sempurna menjadikan tekstur nasi ini lebih gebu, melekit, padat dan berkrim," katanya.
Turut senada, seorang lagi pengguna Facebook, Hafyzul Ariffin berkata, menggunakan beras basmati dalam hidangan nasi lemak seolah-olah 'menderhaka' kepada resipi sebenar.
"Kalau nak berderai sangat dan beras panjang-panjang pergilah makan nasi Arab atau nasi beriani.
"Ada tengok orang Arab masak nasi Arab pakai beras biasa? Tiada bukan? Mereka tidak derhaka (pada) resipi dan berpegang kepada paksi resam budaya yang kuat.
"Entah siapa yang mulakan trend ini. Sudahlah harga mahal, rasa pun lari," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram