SELEPAS bersara, ramai individu gemar mencari pekerjaan atau hobi baharu untuk mengisi masa lapang akibat terlalu bosan duduk terlalu lama di rumah tanpa sebarang aktiviti.
Situasi sama juga yang berlaku terhadap bekas pembantu juruteknik, Ani Hasan, selepas menamatkan 30 tahun perkhidmatannya di National Semiconductor Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd) sejak tujuh tahun lalu.
Selepas dua tahun berpencen, wanita berusia 56 tahun itu kemudian mengambil keputusan untuk menceburi bidang mengait yang dipelajari sendiri menerusi saluran YouTube.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Tudung saji dikait yang dihasilkan Ani turut mendapat permintaan ramai.
Meskipun hanya bermula sebagai hobi, Ani tidak menyangka bahawa aktiviti berkenaan akhirnya boleh dikembangkan menjadi sumber pendapatan tambahannya.
"Saya mula mengait kerana bosan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Ketika itu, saya baru berhenti kerja dan untuk isi masa lapang, saya belajar mengait sendiri.
"Saya mula menerima tempahan selepas memuat naik gambar hasil tangan di Facebook, apabila ada beberapa kenalan yang menempah bekas telur untuk majlis perkahwinan.
"Dari situ, saya dapat tempahan sedikit demi sedikit," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, dia juga memperoleh keuntungan ketika penularan wabak Covid-19 kira-kira empat tahun lalu.
Antara bunga kait yang ditempah pelanggan untuk kegunaan majlis konvokesyen.
Ujarnya, sewaktu pandemik, dia memanfaatkan kebolehan mengaitnya dengan menghasilkan penyambung pelitup muka yang menjadi antara barangan keperluan khususnya buat golongan wanita bertudung sepanjang tempoh tersebut.
Produk ini katanya, mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 100 penyambung pelitup muka berjaya dijual, dengan tawaran harga serendah RM3 hingga RM8 setiap satu, bergantung kepada reka bentuk.
"Kakitangan di Texas Instruments dikehendaki untuk memakai pelitup muka sepanjang waktu bekerja. Sebab itulah sambutan memang menggalakkan," katanya yang turut menjual tudung saji kait, rantai kunci berbentuk bunga dan bunga sempena konvokesyen.
Bekas botol air juga merupakan antara produk yang dijual Ani.
Badan lenguh akibat mengait
Wanita kelahiran Air Kuning, Gemas, Negeri Sembilan itu mengakui, mengait memberikan satu kepuasan dan terapi kepadanya, apatah lagi apabila hasil buatan tangannya dihargai dan mendapat perhatian orang ramai.
Bagaimanapun ujarnya, tidak dapat dinafikan, proses menggelungkan benang di sekeliling jarum untuk menghasilkan sesuatu produk sebenarnya bukanlah satu tugas yang mudah.
Ia menuntut kesabaran dan fokus yang tinggi sebelum benar-benar mampu menghasilkan produk berkualiti.
"Mengait tidak memerlukan pengeluaran modal yang banyak. Cuma ia lebih kepada penat kerana kita perlu fokus dan kadang-kadang badan akan jadi lenguh, terutama bahu, selain mata juga adakalanya pedih.
"Kebiasaannya jika saya betul-betul fokus, saya boleh mengait selama lima hingga enam jam tanpa henti," ceritanya penuh teruja.
Ani pernah menjual lebih 100 penyambung pelitup muka semasa penularan pandemik Covid-19.
Ditanya antara momen paling diingatinya sepanjang menceburi bidang ini, kongsi anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia pernah menerima tempahan sebanyak 400 bekas telur kait untuk sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Johor Bahru.
Meskipun penat kerana menghasilkannya berseorangan, Ani sama sekali tidak mengeluh, malah dia gembira dan berpuas hati apabila produknya semakin mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan komuniti pengait, malah turut ditempah untuk dipamerkan di majlis-majlis tertentu.
"Walaupun tempahan tidak datang secara konsisten setiap bulan, saya akan sentiasa mengait untuk menghasilkan produk kraf baharu sebagai persediaan untuk dijual pada bila-bila masa.
"Saya kait dulu dan simpan. Jadi kalau ada tempahan atau pameran, semuanya sudah siap sedia," ujarnya yang kini menetap di kampung kelahiran suaminya di Serendah, Hulu Selangor, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram