Berselisih faham dengan abang, 4 sekawan culik budak perempuan di Klang dipenjara 3 tahun


Empat rakan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah bersama-sama menculik seorang budak perempuan berusia 12 tahun.

EMPAT rakan termasuk dua remaja perempuan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah bersama-sama menculik seorang budak perempuan berusia 12 tahun kira-kira sebulan lalu.

Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan Alyaa Zahwa Salim, 18, Putri Nurul Suhaila Abdullah, 18, Muhammad Asran Ghazalie, 23, dan Muhammad Adha Abdullah, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh penangkapan dibuat.

Keempat-empat mereka didakwa secara bersama mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas pertuduhan menculik kanak-kanak itu daripada penjaganya yang sah di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor pada pukul 3 petang, 8 Oktober lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Mahkamah Thailand izin polis tahan 6 rakyat Malaysia selama 3 bulan

BACA LAGI: Pegawai polis didakwa bunuh pelajar di Ipoh tukar pasukan peguam

Mengikut fakta kes, semua tertuduh membawa mangsa menaiki kereta Perodua Myvi yang disewa ke sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur.

Mangsa ditinggalkan di kediaman itu selama empat hari sebelum dihantar pulang melalui perkhidmatan e-hailing pada 12 Oktober lepas.

Dalam mitigasi, peguam mereka, Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berkata, anak guamnya adalah pesalah muda dan memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik untuk kesalahan itu.

"Semuanya bermula kerana perselisihan faham antara salah seorang tertuduh dan abang mangsa.

"Mereka berniat untuk berjumpa abang mangsa sebelum membawa kanak-kanak tersebut pergi," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi membantah permohonan bon berkelakuan baik kerana kes itu menjadi tular dan mendapat perhatian umum.

"Penculikan adalah satu kesalahan serius, mangsa berusia 12 tahun dan cedera dalam kejadian berkenaan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram