Bisnes rentas sempadan AS-Malaysia, Mail-Boy penuhi hobi 'collectors' Hot Wheels, Barbie


  • Bizz
  • Jumaat, 08 Nov 2024

Wan Khalil berkata, pihaknya sentiasa memantau trend dan bersedia menyesuaikan strategi perniagaan mengikut keperluan pasaran.

DENGAN kemajuan teknologi dan perkhidmatan penghantaran antarabangsa yang semakin efisien, pengguna kini boleh mendapatkan barangan dari serata dunia secara mudah.

Kedudukan geografi bukan lagi penghalang untuk seseorang individu memenuhi kemahuan peribadi mahupun buat penggiat industri.

Beroperasi di tengah-tengah persaingan yang sengit, seorang rakyat Malaysia mula mencipta nama dalam bidang logistik dan penghantaran barang, dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran efisien dan dipercayai dari Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah dihalau pihak berkuasa tak lunturkan semangat bekas pelajar KV Bentong bantu ibu berniaga muruku

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Dengan kemampuan menyesuaikan diri terhadap perubahan pasaran dan keperluan pelanggan, perniagaan yang diusahakan Wan Khalil Wan Ahmad, 36, kini menjadi antara pilihan utama bagi individu dan perniagaan yang memerlukan perkhidmatan penghantaran rentas negara.

Ikuti wawancara Majoriti bersama pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Nuklear dan Kejuruteraan Mekanikal ini, yang berkongsikan resipinya meraih kepercayaan pelanggan terhadap syarikat kurier yang sudah beroperasi hampir 10 tahun.

Sejak bilakah Mail-Boy ditubuhkan?

Mail-Boy pada awalnya ditubuhkan pada 2009 oleh rakan, Taufik Hussein ketika kami masing-masing melanjutkan pengajian di Pennsylvania State University.

Saya kemudian menyertai syarikat ini dan mula berkecimpung dalam perniagaan yang menyediakan khidmat kurier ini pada 2012, sebelum syarikat tersebut diserahkan sepenuhnya kepada saya, dua tahun kemudian.

Keputusan itu dibuat selepas Taufik memutuskan untuk kembali semula ke Malaysia.

Pada mulanya, penubuhan Mail-Boy bertujuan membantu pelajar Malaysia di AS menghantar barang-barang mereka ke Malaysia.

Khidmat yang disediakan termasuklah penghantaran terus ke rumah atau pengambilan dari gudang di Malaysia.

Kini, saya menguruskan Mail-Boy bersama isteri dan 14 kakitangan yang kebanyakannya berada di Malaysia, termasuk beberapa lagi di AS.

Kami mempunyai dua gudang di AS dan satu lagi di di Balakong, Cheras.

WhatsApp Image 2024-11-05 at 14.45.23

Khidmat yang disediakan Mail-Boy termasuklah pengambilan dari gudang di Malaysia.

Sejak bilakah perniagaan ini mula berkembang dalam kalangan bukan pelajar?

Perniagaan ini mula berkembang dengan menerima tempahan bukan sahaja daripada pelajar, termasuk penggiat industri mahupun individu yang mencari barangan, khususnya pengumpul item tertentu dari AS.

Peningkatan besar dalam permintaan berlaku semasa pandemik Covid-19, apabila lebih ramai orang membeli barangan dari rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkhidmatan ditawarkan Mail-Boy menyediakan servis menyeluruh, termasuk pembelian barangan dari pasaran AS, berurusan dengan pengilang dan penghantaran barangan ke Malaysia.

Mereka juga menerima pembelian barangan industri dan hobi seperti permainan Hot Wheels, anak patung Barbie, termasuk barangan rumah antaranya pintu garaj dan penyaman udara dengan spesifikasi khusus, yang sukar didapati di Malaysia.

WhatsApp Image 2024-11-05 at 14.44.38

Antara pelanggan yang setia menggunakan perkhidmatan daripada Mail-Boy.

Kongsikan antara cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang mengusahakan perniagaan ini?

Antara cabaran dalam mengendalikan perniagaan ini termasuk apabila melibatkan kawalan eksport di AS, dengan beberapa barangan seperti kamera termal yang tidak boleh dieksport.

Mail-Boy menggunakan kaedah penghantaran laut dan udara, bergantung pada keperluan pelanggan, dengan tempoh penghantaran laut mengambil masa kira-kira satu bulan setengah, manakala udara sekitar tujuh hari.

Penghantaran kontena lebih sesuai untuk barang yang besar tetapi ringan seperti sofa dan tilam disebabkan cajnya adalah berdasarkan isi padu.

Sebaliknya, penghantaran udara lebih relevan untuk barang kecil dan berat.

WhatsApp Image 2024-11-05 at 14.44.54

Perkhidmatan ditawarkan Mail-Boy menyediakan servis menyeluruh, termasuk pembelian barangan dari pasaran AS.

Pernahkah anda berhadapan dengan insiden kehilangan barang pelanggan?

Walaupun kadar kehilangan barang sangat rendah, pihak kami sentiasa bersedia untuk menangani risiko seperti ini. Peratusan barang hilang dalam jagaan kami sebenarnya kurang dari 0.1 peratus.

Kami memantau pergerakan setiap kotak menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan audit dalaman. Jika berlaku kes kehilangan barang, kami akan menelusuri kembali rekod dan sering kali dapat mengesan barang tersebut.

Masalah kehilangan biasanya berlaku selepas barang diserahkan kepada perkhidmatan penghantaran tempatan, namun pelanggan boleh membuat tuntutan insurans sehingga RM300 per kotak.

WhatsApp Image 2024-11-05 at 14.46.38

Mail-Boy kini memiliki dua gudang di AS.

Berapakah kos yang diperlukan untuk memulakan bisnes penghantaran ini?

Bisnes ini bermula dengan kos minimum, hanya memerlukan sewa lori dan ruang penyimpanan yang menelan belanja sekitar AS$500 (RM2,100) hingga AS$1,000 (RM4,400).

Dari segi jumlah penghantaran, kami menerima sekitar 2,000 pakej setiap bulan pada tahun ini, dengan rekod tertinggi semasa Covid-19 dengan tempahan 7,000 pakej sebulan.

Kami sentiasa memantau trend dan bersedia menyesuaikan strategi perniagaan mengikut keperluan pasaran.

Perkhidmatan yang ditawarkan Mail-Boy bukan sahaja memberikan kemudahan kepada pelanggan tetapi juga membuktikan pentingnya kepercayaan dalam mengendalikan perniagaan logistik antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram